Prestasi Hafizul pada prestasi latihan membanggakan. FOTO twitter TBG
BERNAMA
Petaling Jaya: Pemilihan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul untuk skuad bola sepak kebangsaan membuktikan tiada pilih kasih dari segi pemilihan pemain.
Jurulatih penjaga gol negara, Kris Yong Wai Hong berkata penjaga gawang berusia 23 tahun itu diberi peluang kali pertama menyertai skuad kebangsaan berdasarkan persembahan cemerlangnya bersama Perak dalam saingan Liga Malaysia.
Muhammad Hafizul merupakan antara 24 pemain yang disenarai pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee untuk aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' menentang Indonesia di Stadium Manahan, Solo, Indonesia Selasa ini.
"Walaupun Muhammad Hafizul kali pertama dipanggil, saya bangga dengan apa yang dia tunjukkan pada sesi latihan dan ini menunjukkan kita masih mempunyai ramai lagi penjaga gol dalam Liga Malaysia yang boleh beraksi pada tahap tertinggi.
"Bakat seperti dia mungkin kita terlepas pandang sebelum ini tapi pada kali ini saya benar-benar kagum dengan apa yang dia buktikan dalam sesi latihan," kata Yong di Wisma FAM, hari ini.
Pada masa sama, Yong turut mengingatkan Muhammad Hafizul untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang sekiranya mahu mengintai peluang merebut tempat dalam kesebelasan utama daripada dua penjaga gol senior iaitu Khairul Fahmi Che Mat dari Kelantan dan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dari Selangor.
Ditanya mengenai kriteria sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Yong menjelaskan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan prestasi semasa penjaga gol tersebut itu sendiri memainkan peranan penting.
Kriteria lain, katanya adalah komitmen diberikan pada sesi latihan bersama skuad kebangsaan, ketenangan mengawal pintu gol sewaktu perlawanan, keberanian, bersikap positif selain mempunyai kekuatan mental.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:23 PM
No comments:
Post a Comment