ARKIB : 06/05/1998
SEKOLAH Melayu Gelok, tempat penulis mengambil peperiksaan darjah enam.
Dekat pekan Pangkalan Hulu ada sebatang jalan raya yang menuju ke pekan Betong di selatan Thailand.
Pekan ini selalu dikunjungi oleh anak muda dari merata tempat kerana di tempat itu terdapat bermacam-macam barangan buatan Siam dan jadi daya tarikan, khususnya untuk pemuda yang mahukan keseronokan.
Lenggong dikatakan dibuka oleh orang Melayu Pattani dari selatan Thailand. Dulu Pattani ialah sebuah kerajaan Melayu yang terbesar, di situ ada raja yang bergelar sultan. Seluruh wilayah Pattani diambil oleh orang Melayu.
Tidaklah diketahui dengan tepat bila orang Melayu Pattani datang ke Lenggong. Tetapi yang tercatat dalam rekod sejarah bahawa Tun Saban anak Tun Perak adalah pemerintah Hulu Perak pada abad ke-16. Jadi pada abad itu, sudah ada orang Melayu yang bermastautin di Hulu Perak. Sejak bila mereka mendiami sepanjang Sungai Perak dan dari mana mereka datang tidaklah diketahui dengan jelas.
Saya pernah menjelajah ke seluruh Hulu Perak untuk mendapatkan beberapa fakta yang bersumberkan sejarah lisan dan sumber lain-lain. Namun tidak banyak yang saya perolehi, kecuali beberapa cerita lisan.
Datuk saya bernama Haji Sendek pernah memberitahu saya tentang orang Melayu di Lenggong. Menurutnya, kebanyakannya daripada orang Melayu Lenggong berasal daripada orang Melayu Pattani yang berhijrah ke Hulu Perak setelah kerajaan Melayu Pattani ditewaskan oleh Siam.
Bapa kepada datuk saya bernama Omar bin Salleh.
Dia berhijrah dari sebuah kampung di Pattani bersama-sama kaum keluarganya. Mula-mula moyang saya itu membuka Kampung Hulu Jepai di kariah Gelok di dalam daerah Lenggong juga. Di situlah Haji Sendek dilahirkan kira-kira pada tahun 1873. Begitulah apa yang diterangkan oleh datuk saya kepada saya sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1955 ketika berusia 82 tahun.
Kedatangan orang Melayu Pattani ke Hulu Perak tidaklah serentak, tetapi secara bergelombang mengikut keadaan dan suasana. Menurut orang tua saya, pada pertengahan abad ke-19, kampung saya, iaitu Kampung Sekolah, telah didiami oleh orang Melayu Pattani dan sejak itulah terdiri sebuah masjid.
Dulu masjid lama Lenggong bertiang dan lantainya tinggi dari bumi, dan bentuknya sama seperti bentuk masjid lama di Pattani.
Banyaklah yang diceritakan oleh orang tua saya. Dia mendapat cerita tersebut daripada datuk saya, yang diriwayatkan pula oleh moyang saya ketika datuk saya berusia kira-kira 12 tahun. Sama ada benar atau tidak cerita itu tidaklah saya peduli sangat.
Dulu cerita lisan ialah sumber yang diterima benar.
Kata orang tua saya, kalau tidak berpandukan cerita lisan, apakah sumber lain yang ada? Bahkan, katanya, cerita nabi pada zaman dulu juga bermula dengan cerita lisan, lalu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Setelah ada orang yang pandai menulis, barulah kisah nabi itu ditulis sama ada di atas batu, daun, kayu, kertas dan sebagainya.
Orang kampung saya dan kampung di daerah Hulu Lenggong boleh dikatakan semuanya berketurunan Melayu Pattani. Tanyalah sesiapa sahaja yang lahir di Lenggong dan Hulu Perak. Sebahagian besar akan mengatakan, 'Aku Melayu Pattani'.
Orang Melayu di kampung saya bertutur dalam loghat Melayu Pattani, yang tidak banyak bezanya dengan dialek Melayu Kelantan. Namun pada masa ini banyak perkataan Melayu Pattani tidak digunakan oleh generasi muda, terutama yang lahir selepas merdeka.
Lama-kelamaan perkataan Melayu Pattani tidak pernah digunakan lagi, kecualilah dituturkan oleh orang tua di kampung yang terletak jauh sedikit dari pekan.
Dulu, perkataan seperti ge, geno, kelik, selepar, serobor, koring, tobek, duk, kesot, pek, cagut, kerawak, kerabat, kokok, korok, kerobak, kohor, betoting dan banyak lagi digunakan oleh penduduk kampung di seluruh Hulu Perak. Perkataan tersebut semakin tidak digunakan. Generasi sekarang berasa malu menggunakan perkataan itu sewaktu berbual dengan kawan-kawan mereka di sekolah.
Loghat Melayu Pattani digunakan hanya sesama keluarga di rumah. Hal itu pernah saya beritahu kepada kawan saya, Prof. Dr. James Collins, seorang pakar dialek Melayu yang pernah bertugas profesor pelawat di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.
Saya mengesyorkan agar beliau menjalankan kajian tentang dialek Melayu Pattani di Hulu Perak, sekurang-kurangnya bolehlah dialek itu dibukukan. Saya mengutip beberapa contoh perbualan yang biasa digunakan oleh orang kampung saya seperti yang dirakamkan di bawah:
1. Geno, hang tak klik ke Hari Raya ni. (Bagaimana hang (kamu) tidak balikkah pada Hari Raya ini).
2. Lekas hambat biyak tu nanti dia kerawak pokok. (Lekas kejar biawak itu, nanti dia memanjat pokok).
3. Hang dok kat mana, (Hang duduk dekat mana).
4. Hang ni koring dan berselepor dan serobow (Mulut kamu selekeh, dengan muka bercalar-calar dan pengotor sekali).
Inilah serba sedikit yang dapat saya catatkan tentang daerah kecil Lenggong yang didiami oleh orang Melayu yang berasal dari Pattani. Kini Pattani menjadi sebahagian daripada tanah kerajaan Thailand.
N.A. HALIM
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JHF8fbv1 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment