Ad

Saturday, 23 January 2021

Shalin pasti akan dihargai

MyMetroArena



Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Segala keringat dan kejayaan yang disumbangkan oleh atlet boling negara, Shalin Zulkifli pasti akan dihargai dan sebarang usaha untuk menghargai sumbangannya akan diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Itu janji yang diberikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung penghargaan yang akan diberikan kepada Shalin.

Kata Wan Fayhsal, sudah pasti penghargaan kepada ratu boling negara itu adalah sesuatu yang amat diharapkan.

"Yang pasti penghargaan kepada Shalin adalah sesuatu yang pasti," katanya ketika diminta sama ada kementerian akan berusaha untuk mencalonkan nama Shalin sebagai penerima gelaran Datuk hasil sumbangannya selama ini kepada negara.

Terdahulu Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia, Datuk Abdul Razak Dawood berkata Shalin berpeluang cerah mendapat gelaran Datuk daripada pemerintah negeri jika namanya dikemukakan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) atau Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pejabat menteri besar untuk pertimbangan.

Ini kerana kelayakan memohon gelaran Datuk di peringkat Persekutuan lebih ketat dengan individu berkenaan perlulah berusia lebih 45 tahun dan dinilai berdasarkan bakti dan jasanya kepada negara.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Shalin layak menerima darjah kebesaran bergelar Datuk berikutan kecemerlangan sepanjang hampir tiga dekad mewakili negara termasuk tiga kali menjadi juara dunia dan lima kali dipilih Olahragawati Kebangsaan.

Malah nama Shalin yang mengumumkan persaraan baru-baru ini boleh dikatakan setaraf dengan dua jaguh sukan tanah air iaitu bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei dan jagoan skuasy, Datuk Nicol David.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:53 PM

AHF tangguh Trofi Juara-Juara Asia

MyMetroArena



BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan hoki lelaki dan wanita kebangsaan perlu menunggu lebih lama sebelum dapat kembali menyertai pertandingan antarabangsa berikutan penangguhan dua kejohanan utama Asia.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 April ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Menurut AHF, langkah beberapa negara di Asia mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung wabak itu turut menjejaskan persiapan pasukan dalam menjalani latihan.

"Ancaman situasi tidak menentu dan kurang baik dihadapi pasukan bertanding adalah satu faktor lain. AHF sentiasa berusaha menyediakan peluang seimbang kepada semua dan berikutan itu kami tidak dapat meneruskan kejohanan dalam keadaan tidak menentu ini.

"Akhirnya, varian baharu Covid-19 melumpuhkan dunia sekali lagi, dan kami tidak dapat meneruskannya dalam ancaman baharu ini," menurut AHF dalam laman sesawangnya.

AHF memaklumkan bahawa keputusan penangguhan kedua-dua kejohanan itu dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sambil menambah bahawa kedua-dua kejohanan membabitkan pasukan lelaki

dan wanita itu kemungkinan berlangsung pada September dan Oktober.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 8:42 PM

Ronaldo Pemain Terbaik Disember [VIDEO]


MyMetroTopic



Agensi

London: Juventus menobatkan Cristiano Ronaldo sebagai Pemain Terbaik (MVP) Disember 2020 selepas sekali lagi cemerlang membantu kelab dalam aksi Serie A dan saingan Eropah.

Bintang Portugal itu meneruskan kehebatan musim ini dengan meledak tujuh gol dalam hanya tujuh penampilan di semua kejohanan bulan lalu dan paling menarik apabila dua jaringannya membantu kemenangan gemilang menewaskan Barcelona 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Camp Nou.

"Sukar ditulis sesuatu mengenai Cristiano Ronaldo yang belum diperkatakan atau ditulis di mana-mana," menurut kenyataan kelab.

"Cukuplah mengatakan, prestasinya sukar ditandingi, 32 jaringan menerusi 32 penampilan dalam semua kejohanan. Sebagai tambahan, dia turut merekod jaringan kesembilan dalam dalam 10 aksi final terakhir bersama kami. Selain itu, CR7 meledak 20 gol dalam 31 aksi final (termasuk di tempat sendiri dan lawan).

"Yang terkini pada Rabu lalu, dia menjaringkan gol penting ketika menentang Napoli untuk membawa trofi Piala Super ke Turin.

"Oleh itu, tidak mengejutkan selepas sumbangan hebatnya itu bulan lalu, penyokong memilihnya menerusi Juventus.com sebagai pemenang MVP Disember.''

Ronaldo dijangka menerima trofi MVP sebelum perlawanan Juventus menentang Bologna dalam aksi Serie A malam ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 11:03 AM

Aaron-Wooi Yik ke final Terbuka Thailand

MyMetroArena



Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menembus kehampaan itu apabila mara ke final Toyota Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Beregu lelaki negara itu mempamerkan aksi penuh bertenaga apabila menang ke atas Rankireddy-Shetty 21-18, 21-18 dalam tempoh 35 minit.

Mereka berjaya menebus kekecewaan minggu lalu selepas tewas seawal pusingan pertama kepada beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk bertemu pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Di atas kertas kelebihan mungkin berpihak kepada Aaron-Wooi Yik apabila tidak perlu berhempas pulas menewaskan lawan ketika Lee Yang-Chi Lin terpaksa bergelut hingga ke set penentuan sebelum menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 14-21, 22-20, 21-12.

Bagi Aaron, dia mengakui kemenangan di separuh akhir bukan mudah dan perlu memberi tumpuan terutama kepada tiga pukulan pertama bagi mengelakkan lawan meraih mata.

"Fokus utama kami adalah untuk pastikan lawan tidak mendapat mata. Yang penting adalah tiga pukulan awal itu sebab serangan lawan tidak mudah untuk di atasi.

"Untuk itu kami perlu lakukan pukulan yang sukar untuk mereka melakukan serangan. Jadi kami kena pastikan tiada bola lambung untuk buka ruang kepada mereka membuat serangan dan mendapat mata," katanya.

Di tanya mengenai strategi yang akan digunakan apabila turun menentang pasangan Taiwan di perlawanan akhir, Aaron berkata, mereka akan berusaha untuk memberi yang terbaik kerana misi utama adalah untuk muncul juara.

"Untuk esok (hari ini) kami akan berikan yang terbaik. Sebelum ini kami pernah kalah kepada mereka tapi kali ini kami akan cuba menebus kekalahan itu semula.

"Kami akan berusaha sehabis baik untuk dapatkan kejuaraan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:15 PM

Luqman semakin selesa gaya Eropah

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir lima bulan berada di Belgium, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin akui permainannya semakin meningkat selain lebih berkeyakinan di atas padang.

Luqman, 19, yang menyertai kelab utama Liga Belgium, KV Kortrijk (KVK) menjelaskan aspek terpenting apabila beraksi di Eropah adalah kepantasan, di mana setiap pergerakan perlu dilakukan dengan cepat.

Katanya, bagi memastikan setiap pergerakan tidak lambat, keputusan pantas dalam membuat tindakan amat mustahak dan sekiranya lambat walau sesaat, pemain akan mudah kehilangan bola.

"Banyak benda saya belajar bila sampai di sini (Belgium). Paling penting, di sini pemain kena cepat berfikir.

"Kalau pegang bola lama-lama, memang susah. Di Malaysia, mungkin dah biasa pegang bola lama sikit, tapi di sini tak boleh macam itu.

"Kita kena bergerak pantas selain kena agresif. Macam saya main bahagian atas (penyerang), lagilah kena cepat. Kalau tak senang-senang saja pertahanan nak rampas bola," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengikat kontrak panjang selama lima musim dengan KVK bermula Ogos tahun lalu.

Dia tidak menunggu lama untuk mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan dalam liga utama di Eropah apabila diturunkan sebagai pemain gantian ketika KVK menentang RSC Anderlecht dalam Jupiler Pro League.

Untuk rekod, Luqman pernah disenaraikan antara 80 bintang muda bagi anugerah 'Golden Boy' oleh portal bola sepak Belanda, 433 serta 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian pada tahun lalu.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:33 PM

Friday, 22 January 2021

Rezeki ikan tapah gergasi

MyMetroMutakhir



Roselan Ab Malek

am@hmetro.com.my

PADA mulanya saya sangka ada kayu yang tersangkut pada jaring yang saya tahan kerana semalam hujan lebat dan banyak kayu hanyut dari hulu sungai.

Namun, apabila saya tarik, ‘kayu’ kelihatan bergerak-gerak dan saya mengagak ia adalah ‘benda’ hidup, mungkin biawak atau ikan besar, tak sangka ia ikan tapah,” kata nelayan, Farouk Omar, 40.

Katanya, dia bersama adiknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melayan ikan itu yang terlalu agresif supaya ia letih.

Apabila perilaku ikan itu mula lemah, saya kemudiannya menarik jaring dan terkejut melihat kepala ikan ‘bermisai’ muncul dari air.

Ini adalah kali pertama saya berjaya menaikkan ikan tapah gergasi seberat kira-kira 35 kilogram (kg) sejak 10 tahun menjadi nelayan sungai secara sambilan,” katanya yang berasal dari kampung Pedah di Jerantut.

Farouk berkata, dia menggunakan kaedah ‘menghanyut’, iaitu merentang jaring di tengah Sungai Pahang berhampiran kampungnya.

Apabila ada ikan yang melanggar dan tersangkut pada jaring, ia akan tenggelam timbul dan saya akan segera mendayung ke kawasan itu untuk mengangkat jaring.

Biasanya saya hanya mendapat pelbagai spesis ikan yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram sahaja, tetapi tadi jaring yang diangkat terasa sangat berat, saya memang jangkakan ia sesuatu yang besar,” katanya.

Farouk berkata, ikan sepanjang hampir 1.5 meter itu dijual pada harga RM60 sekilogram kepada penggemarnya ikan sungai sekitar Jerantut Feri.

Katanya, wang hasil jualan ikan itu akan disimpan untuk dijadikan modal bagi membina sangkar ikan bagi menternak ikan air tawar.

Saya berhasrat untuk menternak ikan air tawar, namun tidak cukup modal dan perlu menyimpan wang sedikit demi sedikit,” katanya.

Selain tapah, Farouk turut memperoleh ikan patin buah seberat tiga kilogram serta beberapa ikan sungai yang lain.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 12:59 AM

Mana ada batal!

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menafikan poster menyatakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini akan dibatalkan yang dimuatnaik di laman sosial.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang memberitahu pihaknya sedang berusaha untuk memastikan kalendar bola sepak Malaysia berjalan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Jelas Ghani, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MKN) masing-masing sedang melihat mekanisme terbaik menjalankan Liga-M selaras amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya lagi, beliau tidak terkecuali bersama dengan penyokong yang mahukan Liga-M musim 2021 berjalan.

Bagaimanapun, beliau cukup kecewa selepas melihat laporan palsu mendedahkan liga terpaksa dibatalkan sekali gus ia memberikan impak negatif kepada pihak penaja selain agensi-agensi kerajaan yang tampil membantu MFL dalam menjayakan perancangan liga tempatan.

"Pertama, saya mahu menafikan dengan laporan yang mengatakan Liga Malaysia musim 2021 dibatalkan dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan beliau tidak membuat kenyataan kepada mana-mana media akhbar atau blog tempatan.

"Untuk makluman, MFL sudah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Dalam mesyuarat itu, MFL dan MSN masing-masing membincangkan serta mengkaji mekanisme-mekanisme pelaksanaan Liga-M musim 2021 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan perjalanan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti yang dirancang selaras amalan SOP yang ditetapkan oleh KKM.

"Saya berasa kesal dengan segelintir pihak yang cuba mengagalkan usaha keras kami untuk memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan seperti biasa melalui perkhabaran palsu ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi.Dalam masa yang sama, Ghani mendedahkan MFL akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan bagi musim 2021 pada minggu hadapan.

"Perubahan daripada jadual itu dijangka akan berlaku berikutan penguatkuasaan PKP dan itu tidak boleh dinafikan tetapi pembatalan Liga Malaysia musim 2021, Insya-Allah tidak akan terjadi," ujarnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 9:05 PM