Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme
(kanan) cuba melepasi kawalan dua pemain T-Team, Nelson Marcelo (kiri) dan
Mohd. Faizal Muhammad dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Tok Gajah
kembali ke kedudukan pendahulu Liga Super selepas menundukkan T-Team 2-0 di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Pahang kini mengumpul 22 mata
untuk kembali berada dua mata di depan Terengganu, yang sempat berada di puncak
liga selama 24 jam, selepas 11 perlawanan.
Selain kembali mengungguli
carta liga, kejayaan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Titans di
laman sendiri.
Jaringan Matias Conti pada
minit ke-60 dan pemain gantian, Zeshan Rehman pada minit ke-88 memastikan skuad
Tok Gajah membawa pulang tiga mata berharga.
Selangor pula berkongsi 20 mata
dengan Terengganu apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Perak 1-0 di
Stadium Perak, Ipoh tetapi memerlukan sepakan penalti untuk meraih gol
kemenangan.
Sepakan penalti disempurnakan
oleh penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-21 setelah S. Veenod
dijatuhkan pertahanan Perak pasti melegakan jurulatih Red Giants, Mehmet
Durakovic kerana pulang dengan tiga mata penuh.
Skuad Bos Gaurus tambah malang
apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Shahrizal Mohd. Saad
dilayangkan kad merah pada minit ke-87 selepas melakukan kekasaran terhadap
Stilianos Pantelidis.
Aksi di Stadium Sultan Muhammad
IV, Kota Bharu menyaksikan tuan rumah, Kelantan turut meraih tiga mata berharga
selepas menundukkan ATM 1-0 menerusi jaringan tunggal pemain import, Mohamad
Shawky yang menanduk masuk hantaran kapten, Mohd. Badri Radzi pada minit ke-60.
Kemenangan tipis itu
bagaimanapun sudah cukup memberi makna kepada The Red Warriors selepas gagal
mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.
Sementara itu aksi di Stadium
Selayang menyaksikan Lions XII meraih tiga mata berharga selepas menundukkan
Sime Darby dengan keputusan 2-0.
Jaringan pasukan pelawat
diperoleh menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-54 dan Khairul Amri Kamal
sembilan minit kemudian.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140406/su_01/Tok-Gajah-kembali-ke-takhta-Liga-Super#ixzz2y3t2A8Zo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment