-Oleh Norhadiani Baharom yanie@hmetro.com.my
Filem Cicakman 3 yang bakal
ditayangkan pada 12 Mac ini menyaksikan rombakan watak secara menyeluruh.
Yang pasti, ia bukan sekuel
kepada Cicakman 1 dan Cicakman 2. Kini, selepas tujuh tahun Cicakman kembali
digarap KRU Studios bersama Grand Brilliance dan Astro Shaw dengan adunan jalan
cerita serta perwatakan yang berbeza.
Ia menyaksikan watak Man dan
Cicakman dibawa Zizan Razak menggantikan Saiful Apek.
Selain itu, filem arahan Yusry
Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar ini juga memperkenalkan karakter baru iaitu
Superbro lakonan Fizz Fairuz yang mencetuskan elemen ‘the dark side’ dalam
filem ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, transformasi watak Superbro dari
lakaran kepada realiti membabitkan kos yang tinggi
“Kostum Superbro jauh lebih
mahal berbanding Cicakman kerana ia dihasilkan lengkap dengan sistem teknologi.
“Kostum untuk kedua-dua watak
itu saja mencecah ratusan ribu ringgit. Malah, kos paling tinggi untuk
pembikinan filem ini ialah dalam menghasilkan dua kostum itu,”katanya.
Menurut Yusry, mereka terpaksa
menghasilkan dua kostum untuk watak Superbro tetapi berbeza dari segi
penggunaan bahan.
Satu daripadanya akan dipakai
Fizz dan satu lagi dipakai pelakon lagak ngeri yang menjadi ‘stand in’ kepada
Fizz dalam beberapa babak.
“Kostum yang dipakai pelakon
lagak ngeri kami dibuat daripada getah untuk memudahkan pergerakan untuk adegan
aksi. Ia juga lebih berat berbanding kostum dipakai Fizz.
“Saya tabik kepada pelakon
lagak ngeri kami yang diterbangkan khas dari Thailand kerana dalam keadaan
kostum yang berat, dia mampu melakukan babak aksi termasuk berlawan,” katanya.
Selain itu, kostum untuk watak
Cicakman juga dihasilkan lebih dari satu dan salah satunya digunakan untuk
babak terbakar.
Fizz yang turut membawa watak
sebagai Inspektor Azman dalam filem ini mengakui dia menghadapi kesukaran untuk
berlakon setiap kali memakai kostum Superbro.
“Proses memakainya saja sudah
rumit. Itu belum lagi ketika berlakon dan melakukan pergerakan. Memang saya
tidak selesa, lebih-lebih lagi terpaksa memakainya selama tiga jam dalam
sehari,” katanya.
Fizz berkata, ada juga kejadian
skru di kostum itu tercabut dan proses memasang semula mengambil masa dan
mengganggu sedikit kelancaran penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata,
pihaknya mengharapkan Cicakman mampu setanding dengan watak superhero ciptaan
Marvel di Hollywood yang mendapat keuntungan bukan saja daripada penerbitan
filem tetapi juga barangan cenderahati atau ‘merchandise’.
“Cicakman 2 ditayangkan tujuh
tahun lalu. Kita boleh tampil dengan strategi pemasaran seperti ini tetapi agak
berisiko. Tambahan pula filem, selepas tamat penayangan selalunya orang akan
lupa.
“Perancangan kami yang
seterusnya adalah menerbitkan Cicakman dalam format drama bersiri. Sekiranya
percubaan ini berjaya dan Cicakman mampu dikenali sebagai satu jenama
sebagaimana Upin Ipin, pasti pelaksanaan itu dilakukan,” katanya.
Selain Zizan dan Fizz, Cicakman
3 turut dibintangi Lisa Surihani, Bell Ngasri, Rashidi Ishak, Adam Corrie,
Azizah Mahzan, Yus Jambu dan Sathiya.
Kostum Cicakman kurang kemas
Jika kostum Superbro dilihat
lebih berkualiti dan dilihat hampir setaraf dengan kostum watak terkenal
Hollywood, Robocop, lain pula ceritanya kostum untuk watak hero Cicakman di
mana pembuatannya kurang kemas.
Ketika menjelaskan perkara itu,
Yusry mengakui ia memang disengajakan dan ia sudah dibincang dengan Ghaz di
peringkat praproduksi lagi.
“Kita tampilkan watak Man
sebagai seorang lelaki yang berdepan masalah rumah tangga dan suami yang
‘loser’ sebelum dia secara tak sengaja mendapat kuasa luar biasa Cicakman.
“Menerusi dua filem Cicakman
sebelum ini, berbanding Saiful Apek yang membawa watak itu, saiz tubuh Zizan
dilihat lebih tegap. Disebabkan itu ada babak menunjukkan Man tidak boleh
memasang zip kostum sebenar Cicakman,” katanya.
Menurut Yusry, ada juga babak
menunjukkan Man mencari kostum Cicakman di kedai pakaian. Jadi dari segi logik,
pasti kostum yang dijumpai tidak kemas,” katanya.
Membezakan antara Cicakman 3
dengan sebelumnya, garapan jalan cerita kali ini tidak menampilkan komedi
semata-mata tetapi diimbangi isu kekeluargaan bagi mencapai sasaran khalayak
penonton.
Pembikinannya juga menggunakan
teknik Imej Janaan Komputer (CGI) selain dikuatkan dengan babak aksi.
Zizan dan Fizz tak kisah guna
‘stand in’
Adakah Zizan dan Fizz puas
berlakon dalam Cicakman 3 kerana sebahagian babak membabitkan mereka
menggunakan pelakon lagak ngeri sebagai ‘stand in’?
Bolehkah mereka terima jika ada
peminat dalam kalangan kanak-kanak menganggap mereka adalah pelakon sebenar
watak itu sedangkan apa yang dipamerkan bukan 100 peratus dilakukan mereka
sendiri?
Menurut Zizan, watak Cicakman
dan Superbro adalah rekaan semata-mata. Jadi penggunaan pelakon lagak ngeri
bukan sebagai satu helah atau menipu.
“Saya mengaku memang tidak
pandai melakonkan babak aksi. Bukan saya tidak mencuba langsung, cuma ada
bahagian yang terlalu teknikal dan perlu dilakukan oleh pelakon lagak ngeri
atas aspek keselamatan,” katanya.
Bagi Fizz pula, dia tidak puas
melakonkan watak Inspektor Adam dan Superbro biarpun watak itu nampak hebat
dalam filem.
“Bukan tidak mahu buat tapi
tidak dibenarkan buat. Saya harus akur dengan keputusan itu bagi mengelak
timbulnya sebarang masalah kepada pihak produksi apabila tercedera,” katanya.
Sementara itu, Yusry berkata,
biarpun ada babak tertentu pelakon lagak ngeri muncul sebagai ‘stand in’,
tetapi untuk babak ‘close up’ seperti pergerakan tangan harus menggunakan
pelakon asal kerana pergerakan yang mereka lakukan memberikan rasa.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 6 Mac 2015 @ 11:15 AM
KOSTUM Cicakman yang dipakai
Zizan dilihat kurang kemas berbanding Superbro.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/35108#sthash.kWk63EUw.dpuf
No comments:
Post a Comment