Oleh Mohd Nazllie Zainul Dan
Viannie Amin-bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Kesibukan
membantu ibu membuat kuih untuk dihantar ke kantin Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Sabah setiap hari, bukan halangan buat Nurul Syafiqah Suria, 18,
memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar Maktab Sabah itu
mengakui hanya mengulangkaji pelajaran pada sebelah malam kerana petang
dihabiskan membantu ibunya menyediakan kuih untuk dihantar ke UiTM di
Sepanggar, iaitu tempat bapanya bekerja sebagai polis bantuan UiTM.
Nurul Syafiqah, anak sulung
daripada dua beradik itu adalah antara 21 pelajar cemerlang Maktab Sabah
apabila memperoleh 2A+, 5A dan 3A-.
"Saya tak rasa ia sesuatu
yang membebankan sebab masa belajar tidak pernah terganggu hanya disebabkan
membantu ibu membuat kuih.
"Sebaliknya penat membantu
keluarga dan belajar itu berbalio dengan keputusan cemerlang yang saya peroleh
ini," katanya yang bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains dan
bercita-cita menjadi ahli farmasi.
Bapanya, Suria Kamis, 48,
berkata beliau terharu dengan pencapaian Nurul Syafiqah dan berharap anak
sulungnya itu dapat menyambung pengajian ke menara gading, seterusnya membantu
keluarga.
"Sebelum ini dia pernah
mendapat keputusan 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) namun keputusan SPM
yang diperoleh amat menggembirakan kami sekeluarga," katanya.
NURUL Syafiqah Suria berkongsi
kegembiraan menerima keputusan cemerlang dalam SPM bersama ibu dan bapa. - Foto
Mohd Nazllie Zainul
SUMBER-berita harian ONLINE 3 Mac
2015
No comments:
Post a Comment