Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KEMAMPUAN pemain tempatan perlu
diberi keutamaan daripada mengambil pemain naturalisasi untuk beraksi dengan
skuad kebangsaan. – Gambar hiasan
LANGKAH mengambil pemain
naturalisasi untuk beraksi dengan skuad bola sepak kebangsaan belum tentu
membawa perubahan dalam pasukan. Ia sekadar jalan mudah dan tidak membawa
kebaikan untuk jangka panjang.
Menyedari hakikat tersebut,
pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar
kecil) dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak yakin kehadiran
pemain-pemain naturalisasi ini mampu membawa kejayaan kepada pasukan negara.
Menurutnya, Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji dan mencari punca kemerosotan bola sepak
negara yang semakin kurang menyengat di pentas antarabangsa kebelakangan ini.
“Pada pandangan saya, kelemahan
paling ketara ialah kegagalan kita mencungkil bakat baharu, sedangkan begitu
ramai golongan remaja berbakat dalam sukan bola sepak di seluruh negara.
“Kerja-kerja pembangunan pada
peringkat akar umbi tidak diberi keutamaan dan pemain muda pula tidak diberi
pendedahan yang mencukupi bagi mengembangkan bakat yang ada pada mereka.
“Saya lihat modul sukan
sekarang sudah tidak sama seperti 30 atau 40 tahun yang lalu. Dulu, pembangunan
pada peringkat akar umbi cukup penting bagi memastikan aliran pemain sentiasa
berjalan dengan lancar.
“Justeru, saya tidak nampak
kemasukan pemain naturalisasi akan memberikan manfaat jangka panjang kepada
bola sepak negara dan saya tidak menyokong cadangan itu. Jadi, saya fikir lebih
baik FAM memikirkan cara untuk memperkasakan lagi pembangunan peringkat akar
umbi berbanding mengambil pemain import.
“Mengapa perlu menggunakan
tenaga asing? Jika kita terlalu banggakan dengan Brazil, mereka (Brazil) pun
gagal menjuarai Piala Dunia 2014 dan apa yang saya maksudkan sekarang adalah
kita perlu yakin dengan keupayaan anak-anak tempatan.
“Saya fikir kaedah ini telah
merosakkan suasana bola sepak dunia dan memetik kata-kata legenda Brazil, Pele,
‘bola sepak moden sudah hilang serinya’. Jadi, saya kekal berpendirian bahawa
naturalisasi bukan penyelamat bola sepak Malaysia,” katanya.
Menurutnya lagi, pemain asing
yang berhasrat untuk beraksi dengan negara luar merupakan kumpulan pemain yang
tidak berpeluang mewakili negara kelahiran mereka, yang bermakna bahawa mereka
adalah pemain yang kurang berkualiti.
“Kalau FAM mengambil pemain
‘buangan’ di negara kelahiran mereka itu beraksi dengan skuad kebangsaan, ia
tidak akan membawa hasil lumayan kerana mereka bukan pemain yang berkualiti.
Pemain yang berkualiti tidak akan dilepaskan oleh negara mereka untuk beraksi
dengan pasukan lain,” tegas Kay Kim.
Menurutnya, apa yang penting
sekarang ialah FAM perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan yang akan
menguntungkan bola sepak negara untuk jangka panjang.
“Persatuan peringkat negeri
juga perlu memainkan peranan agar bakat yang ada di negeri masing-masing dididik
sebaik mungkin,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3hNjsGilC
Hakcipta terpelihara