KOPI PANAS
ROZAMAN ISMAIL (ROZAMAN.
ISMAIL@UTUSAN.COM.MY) | 30 Januari 2016 6:10 PM
SEORANG rakan menulis di laman
Facebooknya: “Lupakan politik Malaysia yang membuatkan kita ‘sakit jiwa dan
meluat.’ Pergi tengok Ola Bola yang akan membuatkan kita lebih menyayangi dan
lebih menghargai menjadi rakyat Malaysia.”
POSTER rasmi filem Ola Bola
yang mengisahkan perjuangan pasukan bola sepak Malaysia memburu tempat ke Sukan
Olimpik Moscow 1980. GAMBAR IHSAN ASTRO SHAW
Tulisnya lagi: “Amat payah nak
tengok filem Malaysia yang boleh menyentuh emosi penonoton akhir-akhir ini.
Tetapi Ola Bola boleh buat penonton menangis. Ini adalah naskhah yang bersifat
Malaysia sepenuhnya. Tanpa membezakan warna kulit atau bahasa perbualan
seharian, Ola Bola menyatukan semua kaum. Saya bagi lima bintang.”
Penulis membaca catatan itu
dengan penuh minat sementelah lagi penulisnya bukanlah seorang yang meminati
sukan bola sepak, walaupun beliau pernah berkawan baik dengan penyerang pasukan
kebangsaan Safee Sali. Amat jarang rakan FB penulis ini memberi pujian lima
bintang kepada naskhah filem tempatan sesuai dengan statusnya sebagai orang
lama yang sangat berpengalaman dalam dunia hiburan tanah air.
Minggu lepas penulis berpeluang
menonton tayangan filem Ola Bola terbitan Astro Shaw yang mengisahkan
perjuangan pasukan bola sepak Malaysia era 80-an memburu tempat ke Sukan
Olimpik Moscow 1980. Filem ini mengembalikan nostalgia bagaimana pasukan negara
menewaskan Korea Selatan dalam satu perlawanan penuh debaran.
Selain memang meminati sukan
bola sepak, ada sebab lain yang mendorong penulis menonton filem ini. Penulis
ialah sebahagian daripada sejarah kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan pada
tahun tersebut. Penulis antara berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyaksikan
secara langsung menerusi kaca televisyen, perlawanan penuh dramatik itu.
Gol kemenangan pasukan negara
yang dijaringkan oleh pemain penyerang James Wong hasil lorongan pemain sayap
kiri Hassan Sani akan kekal sampai bila-bila dalam ingatan ini. Ketika itu satu
Malaysia bergema!
Setelah sekian lama disajikan
dengan tema cinta terhalang, cinta tak kesampaian, anak derhaka menjadi kaya,
peperangan sesama gengster atau perlumbaan motor dan kereta mat rempit, Ola
Bola wajar diberi pujian kerana mengetengahkan satu tema perpaduan, perjuangan,
semangat kerjasama sejati bagi mencapai kejayaan dalam bidang sukan demi
Malaysia.
Tema sedemikian walaupun
kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi digarap dan disampaikan secara mendalam dan
penuh makna serta sangat dekat dengan latar masyarakat majmuk di Malaysia.
Jalan ceritanya menyentuh perasaan setiap penonton.
Sebak dan terharu melihat
semangat perjuangan tidak berbelah-bahagi para pemain dalam pasukan kebangsaan
ketika itu. Lihat sahaja pada babak ketika mereka dibawa menaiki helikopter di
akhir sesi latihan intensif untuk ke Stadium Merdeka.
Sesiapa sahaja pasti sebak
mendengar lagu Inilah Barisan Kita, yang mengiring perjalanan mereka. Lagu yang
sama terus gamat berkumandang di Stadium Merdeka pada malam perlawanan penuh
bersejarah itu. Inilah Barisan Kita juga mengiringi detik kejayaan gemilang
pasukan negara.
Sehingga kini lagu tersebut
terus menjadi pembakar semangat atlet negara yang bertanding dalam apa jua
acara sukan.
Filem tersebut bukan sekadar
bercerita tentang sukan bola sepak. Ola Bola menceritakan kehidupan harian
rakyat Malaysia pelbagai keturunan ketika itu. Filem ini turut mengangkat tema
persahabatan, perjuangan penuh ranjau, kekeluargaan dan masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia.
Chow Kwok Keong, Ahmad Ali,
Muthu Kumar, Eric Yong, Ong Tiam Chai dan Muhammad Abu adalah watak-watak dalam
Ola Bola yang datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Walaupun mereka
anak penoreh getah, penjual kelapa dan anak kepada tauke balak yang kaya-raya,
kesemuanya berkongsi satu semangat dan harapan yang sama iaitu mengharumkan
nama pasukan bola sepak negara.
Dalam filem itu digambarkan
setiap pemain ada masalah hidup tersendiri tetapi demi bola sepak Malaysia
segalanya diketepikan.
Kwok Keong sebagai contoh
berhadapan dengan dilema sebagai anak sulung yang perlu membantu keluarga dan
pada masa yang sama mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Muthu pula daripada keluarga
yang miskin menyebabkan cita-citanya untuk berjaya dalam bola sepak ditentang
hebat ayahnya.
Eric Yong pula walaupun berasal
dari golongan berada dan kaya, sanggup mengetepikan semua itu demi cinta kepada
sukan bola sepak dan semangat mahu menyumbang bakti kepada pasukan kebangsaan.
Filem ini benar-benar
memaparkan semangat 1Malaysia. Para pelakon pelbagai keturunan bercakap dalam
bahasa ibunda masing-masing tetapi berkongsi satu matlamat iaitu memastikan
Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.
Filem ini memberi mesej mudah,
selagi kita bersatu dan bekerjasama, kita boleh mencapai apa sahaja kejayaan.
Kecintaan kepada bola sepak menyebabkan mereka melupakan segala perbezaan latar
belakang dan pandangan bagi memastikan pasukan kebangsaan berjaya.
Sukan khususnya bola sepak
adalah medium perpaduan yang terbukti paling berkesan, walaupun apa yang
dipaparkan dalam Ola Bola sukar dilihat lagi dalam era ini.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/i-ola-bola-i-cerita-beginilah-yang-kita-mahu-1.184994#sthash.ZyZr645f.dpuf