Ad

Thursday 28 January 2016

Huraikan konsep khalifah dan kaedah pemilihan khalifah al-Rasidin. [20m]

 Pemerintahan Khalifah al-Rasyidin bermula setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, iaitu
pada tahun 632 M. dan berlanjutan sehingga tahun 661 M.. Dalam tempoh ini, kerajaan Islam yang berpusat di Madinah diperintah oleh empat orang khalifah, iaitu Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan, dan Khalifah Ali bin Abi Talib. Selepas kewafatanNabi Muhammad SAW, masyarakat Islam hampir berpecah-belah kerana ingin memegang jawatan khalifah sebagai pemimpin negara dan umat Islam. Masalah ini dapat diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar. Ketokohan beliau mendorong masyarakat Islam memilih beliau sebagai khalifah yang pertama.

      Menurut Mahayudin Hj. Yahya dalam buku Tamadun Islam menyatakan perkataan khalifah berasal daripada perkataan khulafa, iaitu pengganti. Khalifah ialah satu jawatan untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW selepas kewafatan baginda. Khalifah merupakan pemimpin negara yang menguruskan pemerintahan dan pentadbiran. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul tetapi tidak menerima wahyu. Tugas khalifah ialah memelihara dan menegakkan agama Islam  serta mentadbir dunia selaras dengan hukum syarak.
Pelaksanaan institusi pemerintahan oleh khalifah mestilah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis.

      Sebagai seorang pemimpin negara, khalifah mesti memenuhi beberapa kriteria. Antaranya ialah ilmu. Seorang khalifah mestilah memiliki ilmu agama dan ilmu duniawi supaya dapat membuat satu hukum atau keputusan yang tepat. Beliau juga mestilah mempunyai unsur keadilan dalam semua aspek dengan berpaksikan al-Quran dan sunah. Seorang khalifah juga mestilah mempunyai kredibiliti dan keupayaan sebagai pemimpin. Beliau perlu mempunyai pancaindera dan fizlkal yang sempuma. Status dan personaliti tokoh juga diambil kira.

      Kaedah pemilihan khalifah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu syura dan baiah. Terdapat pelbagai kaedah dilaksanakan dalam pemilihan khalifah. Kaedah pertama ialah perundingan secara beramai ramai. Perundingan dan persetujuan diadakan tanpa ditetapkan calon terlebih dahulu. Rasulullah SAW tidak meninggalkan wasiat kepada sesiapa untuk dijadikan khalifah. Baginda memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk memilih pemimpin mereka. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, umat Islam berkumpul di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah pertama. Untuk mengelakkan permusuhan antara golongan Muhajirin dan Ansar, Saidina Umar al-Khattab mencalonkan Saidina Abu Bakar. Cadangan ini disokong oleh majoriti umat Islam dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq terus dibaiahkan dalam syura.

      Kaedah kedua ialah mengusulkan seorang calon oleh khalifah yang sebelumnya terlebih dahulu. Nama khalifah itu kemudian diputuskan dalam Majlis Syura. Perlantikan Khalifah Umar
al-Khattab sebagai khalifah kedua adalah dengan cara ini. Semasa Khalifah Abu Bakar sedang sakit, beliau mencadangkan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya bagi mengelakkan kemunculan golongan al-Riddah. Pencalonan ini dipersetujui oleh paru sahabat dan umat Islam. Selepas kewafatan Khalifah Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab dilantik melalui musyawarah dan menerima baiah daripada umat lslam.

      Kaedah ketiga ialah pengusulan sekumpulan calon. Khalifah sebelumnya akan mengusulkan beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat. Kaedah ini digunakan dalam pemilihan Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah ketiga. Khalifah Umar mengemukakan nama enam orang calon, iaitu Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abu Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas dan Zubair al-Awwam. Pemilihan calon diadakan selepas kewafatan Khalifah Umar. Saidina Uthman dipilih kerana kelebihan undi. Beliau terus dibaiahkan dan dilantik sebagai khalifah ketiga.

      Kaedah keempat ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Melalui cara ini, masyarakat
Islam mencadangkan keturunannya menjadi khalifah yang seterusnya. Cara ini digunakan dalam pemilihan Khalifah Ali bin Abu Talib. Selepas kewafatan Khalifah Uthman, berlaku pergolakan
dalam menentukan bakal khalifah. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali, penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah, manakala penduduk Kufah pula mencadangZlbair al- Awwam sebagai khalifah. Pemilihan dan musyawarah diadakan untuk menentukan khalifah. Saidina Ali Abu Talib dipilih dalam musyawarah dan Khalifah Ali menerima jawatan ini atas desakan para sahabat.


      Kesimpulannya, perlantikan khalifah pada zaman ini menunjukkan amalan demokrasi. Pemilihan dibuat dalam Majlis Syura dan kemudian dibaiah oleh umat Islam. Pada zaman kerajaan Bani Umaiyah sistem ini diubah dan jawatan khalifah menjadi warisan keluarga Bani Umayyah.  

No comments:

Post a Comment