Ad

Wednesday, 6 January 2016

Juara carta manusia paling dahsyat diazab

Umat Islam wajib ambil iktibar daripada sikap mereka
OLEH ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ  |  05 Januari 2016 4:00 PM
 PENGIKUT dan keluarga Firaun merupakan antara tiga kumpulan manusia
PENGIKUT dan keluarga Firaun merupakan antara tiga kumpulan manusia
PENGIKUT dan keluarga Firaun merupakan antara tiga kumpulan manusia yang paling dahsyat diazab Allah di dalam neraka. - GAMBAR HIASAN
SIAPAKAH manusia yang paling dahsyat azabnya di akhirat kelak? Marilah kita lihat apa kata Abdullah ibn ‘Amru r.a.:
“Tiga kumpulan manusia yang paling dahsyat diazab Allah adalah orang munafik, pengikut nabi Isa a.s. yang kufur selepas turunnya hidangan langit dan para pengikut serta keluarga Firaun (Tafsir al-Tabari).
Mereka ini menduduki tangga teratas carta azab Allah kerana jenayah keji yang bersebati dengan mereka. Al-Quran memperincikan tabiat mereka agar tidak menjadi anutan apatah lagi ikutan kita:
1) Orang Munafik:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka,” (al-Nisa’[4:145]).
Munafik ada dua jenis, iaitu munafik asli dan Muslim yang terpalit ‘tahi munafik’. Kedua-duanya bahaya dan wajib dijauhi sejauh mungkin. Tahi munafik yang boleh terpalit pada Muslim banyak kali disebut Rasulullah SAW, antaranya: “Tanda sifat munafik itu ada tiga, apabila berbicara (mudah) menipu, apabila berjanji senang dilanggar dan apabila diberi amanah senang mengkhianatinya,” (Sahih Bukhari, Muslim).
Manakala Munafik asli pula adalah pendendam yang sangat membenci Islam seperti Abdullah bin Ubay bin Salul. Pantang ada peluang, pasti ada binaan Islam yang dipahat biar runtuh. Pasti ada orang Islam yang merana dianiaya mereka. Perjuangan mereka hanya satu iaitu memusnahkan Islam. Banyak sekali celaan Allah pada mereka, antaranya: “(Mereka yang munafik itu ialah) orang yang sentiasa menunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): “Bukankah kami turut berjuang bersama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian daripada harta rampasan perang)”. Dan jika orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu daripada (serang balas) orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang yang beriman,” (al-Nisa’ [4:141]).
Mereka ini sebenarnya kafir pada penilaian Allah dan jauh lebih bahaya dari orang kafir yang zahir di depan mata. Maka patut sekali mereka menempati dasar neraka bersama Iblis di akhirat kelak.
2) Pengikut dan keluarga Firaun:
“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Ghafir [40:46]).
Firaun memang jahat, namun dia seorang diri tidak mampu memperkotak-katikkan Bani Israil tanpa sokongan pengikutnya dari bangsa Qibti, Mesir. Entah sudah berapa ramai bayi Bani Israil disembelih mereka sejak Firaun mengeluarkan arahan bunuh. Bahkan arahan bunuh bayi Bani Israil turut diapi-apikan mereka: “Dan berkatalah pula para ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka,” (al-A’raf[7:127]).
Memang patut mereka diazab pedih semenjak melangkah ke alam barzakh lagi sebagaimana ayat 40 surah Ghafir di atas. Kejahatan dan kezaliman mereka memang tiada taranya.
3) Pengikut nabi Isa a.s. yang menikmati hidangan langit:
“Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripada-Mu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Mu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk,” (al-Ma’idah [5:114-115]).
Mendapat hidangan langit bukan calang-calang nikmat. Bukan semua berpeluang mendapat nikmat sebegini. Harganya sangat mahal dan memerlukan keteguhan iman yang konsisten. Jika ada yang masih meragui kerasulan nabi Isa a.s. selepas mendapat nikmat ini, selayaknya dia diazab Allah dengan azab yang paling dahsyat. Menurut para ulama Tafsir, golongan ingkar daripada umat nabi Isa a.s. selepas mendapat hidangan langit disumpah menjadi kera dan babi (Tafsir al-Tabari).
Kisah mereka bukan sekadar cerita penghias lembaran al-Quran tetapi menuntut kita agar belajar daripada kesilapan mereka. Sikap mereka seumpama ‘penyakit kronik jiwa’ yang boleh menyambar sesiapa sahaja pada setiap zaman. Oleh itu, umat Islam wajib memiliki ‘ubat ilmu dan antibodi iman’ bagi menangkis serangan virus rohani seperti yang pernah mereka hidapi. Jika begini cara kita dalam berinteraksi dengan kisah al-Quran, barulah al-Quran menjadi ubat jiwa yang mujarab menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat walaupun tanpa memakan produk murahan yang kononnya sudah ‘ditahfizkan dengan 30 juzuk al-Quran’.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/juara-carta-manusia-paling-dahsyat-diazab-1.176630#sthash.tduAMeFQ.dpuf

No comments:

Post a Comment