13 JANUARI 2016
Tun Razak bangunkan negara walaupun hidap
leukimia Tun Razak
WALAUPUN didiagnosis menghidap
penyakit leukemia pada 1969, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein
telah mengabadikan hidupnya dengan bekerja sekeras yang mungkin untuk negara,
kata anak kedua Allahyarham.
Datuk Ahmad Johari, 62,
berkata, walaupun doktor meramalkan bapanya hanya mampu bertahan selama dua
tahun selepas disahkan menghidap penyakit tersebut, bapanya tetap tabah, malah
hidup lebih lama demi menjaga kesejahteraan rakyat.
Tun Abdul Razak yang memegang
jawatan Perdana Menteri sejak 22 September 1970 selepas Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj, meninggal dunia pada 14 Januari 1976.
"Allahyarham bapa saya
ingin benar untuk hidup lebih lama. Masih banyak yang beliau perlu lakukan.
"Menjadi perdana menteri
dan menjaga kepentingan rakyat ketika menghidap penyakit pasti sukar untuk
beliau menanggungnya. Allahyarham ketika itu pasti mempunyai semangat luar
biasa untuk menghadapinya," katanya kepada Bernama.
Ahmad Johari yang lembut tutur
bahasanya berkelulusan undang-undang seperti bapanya dan merupakan rakan kongsi
kanan di sebuah firma guaman utama di Kuala Lumpur.
Beliau berkata antara tugas
yang ingin dilakukan Allahyarham bapanya ialah melancarkan rancangan ekonomi
negara ketiga, menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Bali, menyelesaikan konflik
politik berikutan pendakwaan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor)
dan juga menangani pemberontakan komunis.
Ahmad Johari yang memperoleh
Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of Kent, United Kingdom,
mengimbas kembali detik-detik terakhir bersama Allahyarham bapanya apabila Tun
Razak berangkat ke London pada Disember 1975 dan kemudian dimasukkan ke
hospital di negara itu pada Januari 1976.
Pada masa itu, beliau berusia
21 tahun dan berada dalam tahun akhir untuk menghadapi peperiksaan
undang-undang.
Ahmad Johari berkata perbualan
terakhirnya dengan Allahyarham Tun Razak ialah antara 12 dan 13 Jan di hospital
itu apabila bapanya meminta beliau untuk membeli sut baharu.
Allahyarham Tun Razak meminta
anaknya itu mengambil beg bimbitnya lalu memberikan 40 pound.
Ahmad Johari berkata, beliau
menggunakan wang itu untuk membeli sut baharu sebulan kemudian dan memakainya
pada acara-acara penting sehinggalah sut itu tidak muat untuk dipakainya lagi.
"Ia merupakan hadiah
terakhir Allahyarham kepada saya," katanya dan menambah bahawa beliau
masih merindukan bapanya.
Ahmad Johari bersyukur
Allahyarham bapanya dapat menikmati hidup sepenuhnya dan berjaya melaksanakan
dasar-dasar yang membawa banyak manfaat kepada rakyat.
Allahyarham yang dilahirkan 94
tahun lalu, dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan' atas sumbangannya membawa
pembangunan kepada negara termasuk pembangunan luar bandar dengan menubuhkan
Felda.
Selepas rusuhan kaum pada 1969,
atau Tragedi 13 Mei, Allahyarham Tun Razak juga mencetuskan idea penubuhan BN bagi menggantikan 'Perikatan' supaya semua
parti politik mewakili semua etnik di Malaysia bersatu di bawah satu gabungan,
justeru membolehkan mereka fokus kepada usaha membangunkan negara dan
mengurangkan politiking.
Allahyarham meninggal dunia
pada usia 53 tahun dan beliau baru memasuki tahun kelima pelaksanaan
dasar-dasar utama yang diperkenalkan pasca 1969, seperti Dasar Ekonomi Baru
(DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membawa kepada penukaran bahasa
pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia di sekolah-sekolah
kebangsaan.
Di peringkat antarabangsa,
Allahyarham memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan diplomatik dengan
China pada 1974 dan Malaysia ialah negara anggota Asean yang pertama berbuat
demikian.
Allahyarham Tun Razak dan
isteri Tun Rahah Mohammad Noah dikurniakan lima orang anak lelaki dan yang
sulung merupakan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib. – Bernama
Sumber-Sinar Harian online 13
JANUARI 2016
No comments:
Post a Comment