Ad

Friday, 22 January 2016

Iskandar raih slot suku akhir

ISKANDAR melangkah ke saingan suku akhir Grand Prix Emas Masters Malaysia selepas menewaskan Xue Song di Pulau Pinang semalam.

JUARA kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masing-masing mengesahkan tiket ke suku akhir Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia di Arena SPICE semalam.

Kejohanan di George Town, Pulau Pinang itu menyaksikan Iskandar meraih slot suku akhir selepas menjinakkan pemain China, Xue Song menerusi catatan 21-17, 18-21, 21-12 pada aksi pusingan ketiga yang berlarutan selama 66 minit.

Menjelang suku akhir hari ini, Iskandar dijadualkan menentang pilihan kelapan dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long yang terdahulu menewaskan seorang lagi pemain negara, Goh Soon Huat dengan keputusan catatan 21-17, 21-13.

Sementara itu, Kian Meng-Pei Jing yang mara menerusi pusingan kelayakan menampilkan persembahan cemerlang ketika menundukkan pasangan Perancis, Ronan Labar-Emilie Lefel menerusi catatan 21-10, 21-17 dalam tempoh 38 minit.

“Kami belum pasti siapa lawan yang menanti esok (hari ini). Apapun, saya mahu teruskan persembahan terbaik saya,” kata Pei Jing yang berusia 23 tahun.

Hari ini, gandingan itu akan menentang Keigo Sonoda-Naoko Fukuman dari Jepun yang mengejutkan pasangan Korea Selatan, Solgyu Choi-Eom Hye Won.

Ditanya bagaimana beliau mengekalkan kecergasan, Kian Meng, 21, berkata: “Saya teruja beraksi di gelanggang sehingga membuatkan saya lupa tentang kepenatan.”

Kian Meng terpaksa bermain dalam empat perlawanan pada pusingan kelayakan pada dua hari lalu termasuk dua acara beregu campuran dan dua lagi bagi beregu lelaki bersama Low Juan Shen.

Nasib berbeza dialami sapasang lagi beregu campuran negara, Wong Fai Yin-Shevon Lai apabila tunduk 21-23, 10-21 kepada Shin Baek Cheol-Chae Yoo Jung dari Korea Selatan.– Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3xzbpMlMB Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment