Ad

Saturday 30 January 2016

Seni bina Masjid Kapitan Keling

OLEH ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA  |  29 Januari 2016 4:10 PM
FOTO terawal Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

PULAU Pinang merupakan antara sebuah negeri yang terkenal pada awal abad ke-20 Masihi dalam kalangan masyarakat Islam tempatan kerana ia merupakan sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang membawa jemaah haji Malaysia ke Mekah dengan kapal laut. Sebagai sebuah lokasi yang penting dalam laluan laut, ia berjaya menarik perhatian pelbagai golongan imigran yang berminat untuk datang dan menetap di pulau tersebut. Antara yang berjaya bertapak dan menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang ialah masyarakat Chulia.
Masyarakat Chulia ialah masyarakat Islam Tamil berasal dari selatan India yang datang ke Pulau Pinang dalam abad ke-19 Masihi. Mereka merupakan antara pedagang yang menguasai perdagangan kain pelikat dan rempah pada abad tersebut. Selain Pulau Pinang, mereka turut bertumpu di negeri-negeri Selat lain seperti Melaka dan Singapura.
ASIMILASI
Masyarakat Chulia telah berasimilasi dengan budaya dan cara hidup Islam tempatan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu melalui hubungan yang rapat seperti perkahwinan dan interaksi sosial. Mereka memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Islam di Pulau Pinang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan kebudayaan.
Salah satu sumbangan mereka yang menjadi mercu tanda Islam di Pulau Pinang pada hari ini ialah Masjid Kapitan Keling yang dibina pada tahun 1801. Rumah Allah itu dibina oleh seorang ketua masyarakat Chulia di Pulau Piang yang diberi gelaran Kapitan sama seperti yang diberikan kepada ketua masyarakat Cina di Tanah Melayu. Kapitan Keling Cauder Mohudden yang mempunyai rangkaian perniagaan dan kapal yang bernama Marakkayar telah mengasaskan pembinaan masjid tersebut di sebuah tempat yang dikenali sebagai Lebuh Pitt.
Bangunan masjid ini didirikan di atas sebidang tanah seluas 7.2 hektar yang diberikan oleh kerajaan British. Pelan asal bangunan masjid ini merupakan sebuah bangunan setingkat berbentuk segi empat dan mempunyai empat buah menara di setiap penjuru. Bangunan masjid asal menggunakan atap atau bumbung rabung pecah empat setingkat yang memayungi keseluruhan bangunan masjid.
ELEMEN SENI BINA ISLAM INDIA
Menara empat tingkat berbentuk bulat diletakkan di setiap penjuru bangunan masjid Kapitan Keling. Di setiap sisi atap diletakkan hiasan seperti mahkota yang mempunyai hiasan jali iaitu satu elemen seni bina Islam di India. Ia juga mempunyai sebuah kolam air di bahagian luar bangunan masjid untuk para jemaah berwuduk.
Namun begitu, bangunan masjid ini telah mengalami beberapa peringkat perubahan yang melibatkan penambahan bangunan dan pengubahsuaian fizikal dari tahun 1893 hingga 1916. Penambahan dan pembesaran masjid telah menjadikan bangunan asal Masjid Kapitan Keling tidak dapat dilihat lagi pada hari ini.
Penambahan dan pengubahsuaian masjid Kapitan Keling telah menzahirkan satu lagi bangunan masjid yang mempunyai seni bina yang agak berlainan di mana gaya bumbung rabung pecah empat telah ditukar dan ditinggikan bahagian bumbung utama iaitu di kawasan dewan sembahyang untuk diletakkan sebuah kubah. Pintu masuk juga dibesarkan dan diubah kepada bentuk segi empat sama menegak yang mempunyai hiasan menara kecil di sisinya dan kubah-kubah kecil di atasnya.
Masjid masyarakat Chulia juga turut boleh ditemukan di Singapura dan di Melaka. Sebuah pameran fotografi tentang masyarakat Chulia Pulau Pinang dibuka di Muzium Kesenian Islam Malaysia dari 28 Januari sehingga 28 Mac 2016.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/seni-bina-masjid-kapitan-keling-1.184757#sthash.bdNmsQKX.dpuf

No comments:

Post a Comment