Ad

Tuesday, 19 January 2016

Musim terakhir Indra

Oleh Rodly Fadly-sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang veteran Indra Putra Mahayuddin mahu menjadikan Kelantan sebagai destinasi terakhir perjalanan karier bola sepakya sebelum menggantung but.

Indra, 34, kembali ke pangkuan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors bagi menghadapi musim 2016 selepas dua musim meninggalkan pasukan itu untuk mewakili FELDA United pada 2014 dan 2015.

Ini kali ketiga Indra menyertai Kelantan selepas kali pertama pada musim 2009-2010. Selepas meninggalkan pasukan itu selama semusim pada 2011 untuk menyertai T-Team, dia kembali ke pasukan itu pada 2012.

“Nampaknya jodoh saya masih panjang bersama Kelantan dan harap kali ini kekal hingga penghujung karier. Saya mahu mengakhiri sisa-sisa karier saya bersama pasukan ini. Malah, saya sudah bersedia untuk menetap terus di Kota Bharu selepas bersara kelak.

“Saya berterima kasih kepada Tan Sri (Annuar Musa) kerana masih menaruh kepercayaan kepada kemampuan saya. Memang, selepas meninggalkan pasukan itu pada hujung 2013 untuk menyertai FELDA, saya memasang impian untuk kembali ke sana.

“Jadi, bila Tan Sri menelefon dan menawarkan saya menyertai Kelantan, saya tidak berfikir banyak kali, terus menyatakan persetujuan. Tawaran itu bagaikan bulan jatuh ke riba.

“Ketika itu saya tidak memikirkan sangat soal bayaran walaupun mendengar pelbagai cerita mengenai masalah kewangan pasukan. Apa yang saya fikirkan ialah hendak bermain semula dengan Kelantan.

“The Red Warriors memang dekat di hati saya walaupun sudah dua musim meninggalkan mereka. Saya sentiasa terkenangkan saat-saat kegemilangan bersama pasukan itu terutama pada musim 2012 bila kami memenangi tiga piala iaitu liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Sudah tentu perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 menentang ATM (Angkatan Tentera Malaysia) adalah yang paling menjadi kenangan. Saya menjaringkan gol kemenangan 3-2 pada masa tambahan untuk membantu Kelantan muncul juara.

“Sekarang saya bertekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan. Saya yakin masih mampu memberi sumbangan besar apatah lagi kawan lama seperti Piya (Badhri Radzi), Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Farhan (Norfarhan Mohamad) dan Zairul Fitri masih bermain untuk pasukan itu.

“Dengan penajaan besar yang diterima baru-baru ini, ditambah dengan barisan pemain yang ada, saya yakin Kelantan akan kembali menjadi pencabar utama musim ini. Impian saya memenangi sekurang-kurangnya satu piala bersama pasukan itu,” kata Indra.

Sepanjang kariernya yang bermula pada 1998 bersama negeri kelahirannya, Perak, Indra sudah mewakili lima pasukan lain iaitu Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team dan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:09 AM
 
INDRA rancang menetap di Kota Bharu selepas bersara.


- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/108118#sthash.f5w8uNxp.dpuf

No comments:

Post a Comment