MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
2 JANUARI 2016
Piya akui tertekan berita palsu maut
kemalangan Piya menafikan kenyataan palsu yang menjadi viral di media sosial. -
Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR
KAPTEN pasukan The Red Warriors
(TRW), Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Piya akui
tertekan dengan penyebaran berita palsu mengatakan dia terlibat dalam
kemalangan maut.
Menurutnya, penyebaran berita
tersebut menyebabkan dia dan ahli keluarganya berada dalam keadaan tertekan
setelah tidak putus-putus menerima panggilan bertanyakan perkara itu.
“Saya diberitahu oleh ahli
keluarga yang mendapat panggilan daripada saudara-mara sekitar tengah hari
tadi. Ketika itu saya sedang tidur kerana pada sebelah petang saya akan pergi
ke padang untuk menjalani latihan.
“Ramai juga rakan-rakan
terdekat selain pihak media turut menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian
berhubung berita tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Berita mengatakan pemain
berusia 34 tahun itu terlibat dalam kemalangan maut di Kota Bharu menjadi viral
dalam laman sosial semalam, sekali gus mencetuskan kesedihan dalam kalangan
penyokong TRW.
[ARTIKEL BERKAITAN: Viral dakwa
Piya maut kemalangan tidak benar]
Akui terkejut dan tidak tahu
punca penyebaran berita palsu berkenaan, Piya turut menyifatkan ia turut mengganggu tumpuannya menjalani latihan
bersama pasukannya ketika ini.
Piya menambah, dia sangat kesal
dengan penyebaran berita itu dan menasihati semua pihak termasuk penyokong
setia TRW tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang belum sahih dalam
laman sosial.
“Nasihat saya, selidiklah
dahulu sesuatu perkara itu, jangan tulis sesuka hati selagi kita belum dapat
maklumat yang sahih. Tengok apa yang berlaku hari ini, menyusahkan semua
orang,” katanya sambil berharap penyokong Kelantan bertenang berhubung perkara
tersebut.
Sementara itu, Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang kini berada di
Makkah untuk mengerjakan umrah mengesahkan berita Mohd Badhri terlibat dalam
kemalangan maut adalah tidak benar.
“Berita dan gambar Piya
kemalangan adalah palsu. Ini gambar terbaru beberapa minit lalu bersama Pegawai
Media, Wan Badri (Wan Omar) dan keretanya.
Janganlah kita menyebarkan
berita karut kerana perbuatan fitnah itu berdosa. Semoga ALLAH SWT mengampunkan
kita semua,” katanya dipetik menerusi laman Facebook miliknya.
Sumber-Sinar Harian online
2.1.2016
No comments:
Post a Comment