WARTAWAN SINAR HARIAN
8 JANUARI 2016
Fighters galas cabaran negara
Shukor (kanan) bersama pemain import baharu Fighters, Lutfulla Turaev.
KETUA pasukan Felda United,
Mohd Shukor Adan menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
memilih Felda United mewakili negara di Kejohanan Piala Emas Bangabandhu,
Bangladesh dari 8 hingga 20 Januari satu penghormatan buat pasukan.
Menyedari membawa imej Malaysia
pada kejohanan ini, Shukor memaklumkan tiada sebarang sasaran diletakkan
pengendalinya Irfan Bakti Abu Salim namun berjanji akan mempamerkan aksi
terbaik bagi menyuntik keyakinan awal menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim
2016.
“Piala Bangabandhu merupakan
persiapan pramusim Felda, sebab itu kita tidak sasar apa-apa. Cuma jurulatih
mahu kami memberikan persembahan yang baik demi menjaga nama Malaysia di
peringkat antarabangsa.
“Saya harap rakan sepasukan
dapat beraksi dengan cemerlang. Kita mungkin tidak boleh buat seperti Harimau
Muda tahun lepas sebab persediaan mereka cukup lama berbanding Felda United
yang hanya mempunyai 10 hari membuat persiapan,” katanya selepas majlis
menandatangani kontrak skuad Felda United yang dikenali sebagai The Fighters di
Dewan Perdana Felda, Selasa lalu.
Fighters diundi dalam Kumpulan
A bersama Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal manakala Bahrain, Maldives, Kemboja
dan pasukan Olimpik Bangladesh dalam Kumpulan B.
Felda United akan menentang
Nepal pada perlawanan pertama di Stadium Shams-Ul-Huda, Jessore pada 9 Januari,
sebelum berdepan Bangladesh (12 Januari) dan Sri Lanka (14 Januari).
Untuk rekod, skuad Harimau Muda
muncul juara kejohanan itu tahun lepas selepas menewaskan Bangladesh 3-2 pada
aksi final di Stadium Nasional Bangabandhu, Bangladesh.
Kemenangan itu adalah yang
kedua diraih Malaysia selepas muncul juara edisi pertama pada 1996 menerusi
kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Indonesia, PSM Makassar.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 8
JANUARI 2016
No comments:
Post a Comment