ROZAMAN ISMAIL | 09
Januari 2016 6:03 PM
pemandu lori membawa bauksit
yang disyaki beroperasi secara haram
Pemandu lori membawa bauksit
yang disyaki beroperasi secara haram meninggalkan kenderaan itu lalu
menghilangkan diri setelah menghidu kehadiran pegawai Pejabat Tanah dan Galian
(PTG) Pahang di salah sebuah lombong bauksit di Bukit Goh, Kuantan, pada 7
Januari lalu. utusan/MAHATHIR ALI
SETELAH beberapa tahun menyedut
‘udara merah,’ para penduduk di sekitar kawasan perlombongan bauksit di
Kuantan, Pahang boleh ‘bernafas lega’ sekurang-kurangnya untuk tiga bulan
lagi. Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mengambil langkah yang betul apabila
bersetuju menghentikan segala aktiviti perlombongan buat sementara waktu.
Isu yang bertaraf ‘wilayah’
sahaja sebelum ini bertukar menjadi isu nasional apabila aktiviti tersebut
menjejaskan kehidupan masyarakat di kawasan itu. Persekitaran hidup mereka
diancam pencemaran bauksit yang teruk. Penduduk yang sudah tidak tahan hidup
menghirup debu bauksit setiap hari melampiaskan kemarahan mereka kepada pihak
berkuasa tetapi situasi tidak banyak berubah.
Sesiapa sahaja yang melewati
daerah Kuantan sama ada menggunakan jalan persekutuan mahupun Lebuhraya Pantai
Timur (LPT) boleh nampak dengan jelas ‘suasana’ kawasan perlombongan tersebut.
Lori tanah yang mengangkut bauksit bekerja siang malam sehingga menjadikan
seluruh kawasan berkenaan bertukar warna. Tanah bukit di kawasan ladang kelapa
sawit bertukar merah. Warna pokok kelapa sawit pun bertukar. Debu merah yang
tebal menyelubungi segenap sudut kawasan terlibat. Ketika cuaca berangin,
kepulan debu berarak dibawa angin. Keadaan lebih teruk ketika musim hujan.
Penduduk-penduduk di sekitar
kawasan perlombongan hidup tidak ubah di sebuah planet asing yang
segala-galanya berwarna merah. Pemandu kenderaan yang menggunakan LPT pun tahu
mereka sudah memasuki daerah Kuantan apabila warna lebuh raya yang mereka
gunakan tiba-tiba berubah menjadi merah!
Orang ramai yang sekali sekala
melalui atau menggunakan laluan di kawasan berkenaan pun tidak tahan melihat
situasi sedemikian. Tidak dapat dibayangkan bagaimana penduduk-penduduk
setempat melalui rutin hidup seharian dalam pusaran debu bauksit. Dan semua
orang pasti bersimpati dengan nasib mereka.
Pengenalan moratorium selama
tiga bulan bagi melaksanakan pelan penyelesaian pencemaran bauksit dilihat
sebagai langkah awal untuk menyelesaikan isu ini. Walaupun mungkin ada
segelintir pihak yang ‘tidak berapa seronok’ dengan pelan tersebut, ini adalah
tindakan drastik terbaik setakat ini. Dalam apa-apa tindakan sekali pun
kepentingan rakyat mesti menjadi keutamaan.
Isu ini sudah berkembang
daripada hanya sekadar isu pencemaran debu menjadi isu politik.
Dalam dunia media sosial
menjadi medium penyampaian maklumat paling pantas, kisah pencemaran bauksit
sudah merentasi sempadan Pahang dan Malaysia. Kesan buruknya besar dan mungkin
menjadi bertambah besar jika tiada tindakan diambil. Maklum sahajalah isu apa
pun bila dilagukan dengan rentak politik, iramanya lebih ‘menggegarkan.’ Apatah
lagi kalau di dalamnya sudah ada elemen-elemen rasuah.
Semua pihak mesti menghormati
tempoh `bertenang’ selama tiga bulan itu. Sekiranya tempoh tiga bulan itu tidak
mencukupi dan perlu disambung sehingga setahun, kerajaan Pusat dan negeri perlu
melaksanakan tempoh lanjutan itu. Memanglah akan ada pihak yang mendakwa mereka
mengalami kerugian kerana kehilangan punca pendapatan atau punca perniagaan.
Itu perkara kedua, masalah rakyat mesti dijadikan keutamaan.
Pelan penyelesaian yang
dicadangkan itu nanti juga perlu mengambil kira nasib penduduk terlibat. Penduduk
di kawasan perlombongan itu tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Mereka
mengalami banyak kerugian dari aspek mental dan fizikal. Isu ini memberi
tekanan yang hebat kepada penduduk terlibat. Trauma hidup dalam `debu merah’
ini akan menghantui mereka sampai bila-bila. Lantas apa sahaja tindak tanduk
dalam pelan penyelesaian mesti melibatkan setiap penduduk.
Pengurusan penyelesaian isu ini
perlu ditangani dengan tertib. Biar semua pihak mendapat manfaat. Rakyat dapat
menghirup semula udara bersih dan mereka yang bergantung kepada aktiviti
perlombongan ini pula memperoleh kembali sumber pendapatan masing-masing.
Dalam masa yang sama kerajaan negeri mampu menjana pendapatan dalam suasana
negeri yang tidak lagi tercemar. Alangkah cantiknya kalau perkara ini berlaku!
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/alangkah-cantiknya-kalau-tanpa-debu-merah-1.177731#sthash.MohjLf2B.dpuf
No comments:
Post a Comment