Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Beri saya
peluang untuk buktikan,” kata jurulatih baru skuad Harimau Malaya Datuk Ong Kim
Swee yang bersedia menyahut cabaran tiga misi besar selepas dilantik oleh
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kontrak selama dua tahun.
Seperti diramal pengendali
berusia 45 tahun itu yang sebelum ini menjadi jurulatih sementara Harimau
Malaya dipilih untuk menduduki kerusi panas itu secara tetap selepas beliau
berjaya meyakinkan panel pemilih Jawatankuasa Bertindak Khas FAM pada sesi
temuduga semalam.
Kim Swee mengetepikan dua lagi
calon iaitu bekas jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan
Hodak dan bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts dalam sesi temuduga yang
dikendalikan oleh panel pemilih FAM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan
Negara (ISN) dan wakil media.
Bagi jurulatih kelahiran Melaka
itu, ia bukan tugas mudah untuk memenuhi sasaran layak ke pusingan akhir Piala
Asia 2019, memperbaiki ranking skuad kebangsaan dari tangga ke-171 ke 140 dunia
dan menjuarai Piala AFF 2016.
“Untuk layak ke Piala Asia 2019
kita perlu menunggu undian play-off. Saya harap kita mampu ke peringkat
kumpulan pusingan kelayakan ketiga kerana pusingan itu amat penting yang mana
pada 2017 kita akan mengharungi banyak perlawanan kompetitif.
“Bagi ranking pula bukan saya
cakap mustahil tapi ranking perlu mengambil masa, jika kita lihat ranking
negara kita tak jatuh mendadak kerana ia mengikut pasukan yang kita main dan
keputusan yang diperoleh.
“FAM juga meletakkan sasaran
dalam Piala AFF dan kita layak ke final sebelum ini sudah tentu kali ini kita
mahu menjadi juara. Di sini saya memerlukan bantuan banyak pihak bukan saja
untuk memantau prestasi pemain malah kekuatan pasukan lawan seperti Thailand,
Singapura dan Myanmar,” katanya kepada pemberita semalam.
Kim Swee yang membantu skuad
bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 pernah
dilantik selaku pengendali sementara pada awal 2014 selepas FAM tidak
menyambung kontrak Datuk K Rajagobal.
Sepanjang tempoh empat bulan,
Harimau Malaya tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan dengan seri dua kali
dengan Filipina dan menang ke atas Yaman 2-1 dalam aksi terakhir kelayakan
Piala Asia 2015.
Khidmatnya sekali lagi ditagih
badan induk itu selepas jurulatih Dollah Salleh meletakkan jawatan pada 4
September lalu untuk mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala
Asia 2019.
Menurut Kim Swee, beliau akan
memantau prestasi pemain apabila saingan Liga Malaysia bermula dan akan
memanggil pemain bagi latihan pusat pertama awal Mac ini.
“Kita akan menghadapi
perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019
menentang Arab Saudi pada 24 Mac jadi saya akan memanggil pemain bagi latihan
pusat pada 3 Mac.”
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 19 January 2016 @ 7:17 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/108409#sthash.f7dsPyZ2.dpuf
No comments:
Post a Comment