Ad

Sunday 31 January 2016

Ola Bola...cerita beginilah yang kita mahu

KOPI PANAS
ROZAMAN ISMAIL (ROZAMAN. ISMAIL@UTUSAN.COM.MY)  |  30 Januari 2016 6:10 PM
SEORANG rakan menulis di laman Facebooknya: “Lu­pakan politik Malaysia yang membuatkan kita ‘sakit jiwa dan meluat.’ Pergi tengok Ola Bola yang akan membuatkan kita lebih menyayangi dan lebih menghargai menjadi rakyat Malaysia.”

POSTER rasmi filem Ola Bola yang mengisahkan perjuangan pasukan bola sepak Malaysia memburu tempat ke Sukan Olimpik Moscow 1980. GAMBAR IHSAN ASTRO SHAW
Tulisnya lagi: “Amat payah nak tengok filem Malaysia yang boleh menyentuh emosi penonoton akhir-akhir ini. Tetapi Ola Bola boleh buat penonton menangis. Ini adalah naskhah yang bersifat Malaysia sepenuhnya. Tanpa membezakan warna kulit atau bahasa perbualan seharian, Ola Bola menyatukan semua kaum. Saya bagi lima bintang.”
Penulis membaca catatan itu dengan penuh minat sementelah lagi penulisnya bukanlah seorang yang meminati sukan bola sepak, walaupun beliau pernah berkawan baik dengan penyerang pasukan kebangsaan Safee Sali. Amat jarang rakan FB penulis ini memberi pujian lima bintang kepada naskhah filem tempatan sesuai dengan statusnya sebagai orang lama yang sangat berpe­ngalaman dalam dunia hiburan tanah air.
Minggu lepas penulis berpeluang menonton tayangan filem Ola Bola terbitan Astro Shaw yang mengisahkan perjuangan pasukan bola sepak Malaysia era 80-an memburu tempat ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Filem ini mengembalikan nostalgia bagaimana pasukan negara menewaskan Korea Selatan dalam satu perlawanan penuh debaran.
Selain memang meminati sukan bola sepak, ada sebab lain yang mendorong penulis menonton filem ini. Penulis ialah sebahagian daripada sejarah kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun tersebut. Penulis antara berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyaksikan secara langsung menerusi kaca tele­visyen, perlawanan penuh drama­tik itu.
Gol kemenangan pasukan negara yang dijaringkan oleh pemain penyerang James Wong hasil lorongan pemain sayap kiri Hassan Sani akan kekal sampai bila-bila dalam ingatan ini. Ketika itu satu Malaysia bergema!
Setelah sekian lama disajikan dengan tema cinta terhalang, cinta tak kesampaian, anak derhaka menjadi kaya, peperangan sesama gengster atau perlumbaan motor dan kereta mat rempit, Ola Bola wajar diberi pujian kerana mengetengahkan satu tema perpaduan, perjuangan, semangat kerjasama sejati bagi mencapai kejayaan dalam bidang sukan demi Malaysia.
Tema sedemikian walaupun kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi digarap dan disampaikan secara mendalam dan penuh makna serta sangat dekat dengan latar masyarakat majmuk di Malaysia. Jalan ceritanya menyentuh pera­saan setiap penonton.
Sebak dan terharu melihat semangat perjuangan tidak ber­belah-bahagi para pemain dalam pasukan kebangsaan ketika itu. Lihat sahaja pada babak ketika mereka dibawa menaiki helikopter di akhir sesi latihan intensif untuk ke Stadium Merdeka.
Sesiapa sahaja pasti sebak mendengar lagu Inilah Barisan Kita, yang mengiring perjalanan mereka. Lagu yang sama terus gamat berkumandang di Stadium Merdeka pada malam perla­wanan penuh bersejarah itu. Inilah Barisan Kita juga mengiringi detik kejayaan gemilang pasukan negara.
Sehingga kini lagu tersebut terus menjadi pembakar sema­ngat atlet negara yang bertanding dalam apa jua acara sukan.
Filem tersebut bukan sekadar bercerita tentang sukan bola sepak. Ola Bola menceritakan kehidupan harian rakyat Malaysia pelbagai keturunan ketika itu. Filem ini turut mengangkat tema persahabatan, perjuangan penuh ranjau, kekeluargaan dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Chow Kwok Keong, Ahmad Ali, Muthu Kumar, Eric Yong, Ong Tiam Chai dan Muhammad Abu adalah watak-watak dalam Ola Bola yang datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Walaupun mereka anak penoreh getah, penjual kelapa dan anak kepada tauke balak yang kaya-raya, kesemuanya berkongsi satu semangat dan harapan yang sama iaitu mengharumkan nama pasukan bola sepak negara.
Dalam filem itu digambarkan setiap pemain ada masalah hidup tersendiri tetapi demi bola sepak Malaysia segalanya diketepikan.
Kwok Keong sebagai contoh berhadapan dengan dilema sebagai anak sulung yang perlu membantu keluarga dan pada masa yang sama mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Muthu pula daripada keluarga yang miskin menyebabkan cita-citanya untuk berjaya dalam bola sepak ditentang hebat ayahnya.
Eric Yong pula walaupun berasal dari golongan berada dan kaya, sanggup mengetepikan semua itu demi cinta kepada sukan bola sepak dan semangat mahu menyumbang bakti kepada pasukan kebangsaan.
Filem ini benar-benar memaparkan semangat 1Malaysia. Para pelakon pelbagai keturunan bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing tetapi berkongsi satu matlamat iaitu memastikan Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.
Filem ini memberi mesej mudah, selagi kita bersatu dan be­kerjasama, kita boleh mencapai apa sahaja kejayaan. Kecintaan kepada bola sepak menyebabkan mereka melupakan segala perbezaan latar belakang dan pandang­an bagi memastikan pasukan kebangsaan berjaya.
Sukan khususnya bola sepak adalah medium perpaduan yang terbukti paling berkesan, walaupun apa yang dipaparkan dalam Ola Bola sukar dilihat lagi dalam era ini.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/i-ola-bola-i-cerita-beginilah-yang-kita-mahu-1.184994#sthash.ZyZr645f.dpuf

No comments:

Post a Comment