16 Januari 2016 6:26 PM
AZHAR MAD AROS
BENAR atau tidak? Kebanyakan masyarakat lebih banyak melihat gambaran watak Hang Tuah menerusi filem berbanding mengenalinya menerusi dokumen penting yang menyebut nama pahlawan terunggul itu berulang kali.
Kecenderungan mereka untuk menonton filem daripada membaca bahan berkenaan bagaimanapun telah mendorong segelintir penggiat bidang itu menghasilkan karya mengikut selera umum tanpa membuat kajian mendalam mengenai watak Hang Tuah yang menjadi lambang kegagahan masyarakat Melayu Melaka.
Lebih mengecewakan apabila terdapat sesetengah pihak yang bertindak memutar belit fakta sebenar Hang Tuah dan menokok tambah serta mereka cerita sehingga membuatkan Hang Tuah dilihat sebagai watak fiksyen dan kisah perjalanan hidupnya dianggap mitos atau legenda semata-mata.
Wal hal terdapat banyak sumber yang menceritakan kewujudan pahlawan itu sama ada dalam bentuk hikayat, manuskrip mahupun catatan sejarah. Antaranya Sulalatu’s-Salatin atau Sejarah Melayu, Tuhfat Al-nafis dan Hikayat Hang Tuah.
Meskipun, dokumen-dokumen berkenaan dicatat hanya selepas abad ke-15 dan bukan sezaman dengan Hang Tuah, namun data yang diperolehi dari catatan itu diterima pakai sebagai sumber sekunder.
Bahkan, bukti yang menjadi warisan berharga itu turut diiktiraf dunia menerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Terbaru, surat tulisan Laksamana Hang Tuah kepada kerajaan Ryukyu di Jepun pada abad ke-15 yang ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan membuktikan tokoh itu wujud dan bukan sekadar mitos semata-mata.
Surat berkenaan ditemui melalui kajian yang dilakukan Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa bersama Pensyarah Kanan fakulti itu, Dr. Rohaidah Kamaruddin di Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa baru-baru ini.
Dalam pada itu Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros (gambar) percaya selain dokumen itu, terdapat lebih banyak lagi bukti lain yang masih tersimpan dan belum ditemui di Okinawa.
“Mungkin lebih banyak lagi dokumen terdapat di sana yang perlu diselongkar, digarap dan dikaji bagi menambah nilai kajian dalam usaha membuktikan kewujudan laksamana itu adalah benar.
“Namun, usaha ini memerlukan peruntukan besar dari kerajaan bagi memudahkan proses pemerolehan dokumen yang dilihat penting di dalam membantu mengukuhkan lagi bukti kewujudan pahlawan yang menjadi lambang semangat jati diri masyarakat Melayu,” katanya.
Tambahnya, kewujudan Hang Tuah sebagai pahlawan terunggul di zaman pemerintahan Kesultanan Melaka perlu dipertahankan memandangkan ketokohan laksamana itu sudah sebati dalam pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu.
“Hang Tuah telah menunjukkan kehebatan, keberanian, kehandalan, kebijaksanaan dan taat setianya sebagai wira nasional yang mewakili masyarakat Melayu bukan sahaja pada zaman Kesultanan Melayu Melaka malah pada hari ini dan generasi seterusnya,” katanya.
Selain itu, Hang Tuah dipercayai turut dicatat dalam pelbagai lipatan sejarah negara-negara lain, namun masih belum dibongkar termasuklah seperti yang pernah diungkapkan oleh pelukis tersohor, Leonardo da Vinci yang hidup sezaman dengan Hang Tuah.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/banyak-bukti-perlu-diselongkar-1.180011#sthash.MNJG85dW.dpuf
No comments:
Post a Comment