Ad

Saturday, 2 January 2016

Desak kerajaan negeri hentikan aktiviti bauksit

DIANA SURYA ABD WAHAB
2 JANUARI 2016
 Sg Balok bauksit
Sungai Balok bauksit Muara Sungai Balok menjadi kemerahan selepas hujan lebat selama dua hari dipercayai akibat perlombongan bauksit di Kuantan. - Foto Bernama
KUANTAN - Pas mendesak Kerajaan Negeri Pahang supaya bertindak segera dengan memberhentikan segala aktiviti bauksit bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku dalam tempoh terdekat ini termasuklah isu pencemaran yang semakin ketara dan kemalangan jiwa.

Adun Berserah, Andansura Rabu berkata, pihak kerajaan juga perlu ada tindakan susulan supaya arahan pemberhentian operasi bauksit ini dapat dipatuhi selepas arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Liong Tiong Lai.

“Saya lihat arahan menteri seperti yang dinyatakan semalam, tidak membawa sebarang makna kerana sehingga saat ini, lori-lori pengangkut bauksit masih bermaharajalela di atas jalan raya.

“Pemberhentian sementara operasi perlu disusuli dengan tindakan memulihkan keadaan yg sedia ada, menyediakan peraturan dan garis panduan yang lengkap serta penguatkuasaan lebih berkesan.

“Kita bimbang, jika tiada sebarang tindakan, keadaan akan kembali seperti hari ini bila dibuka semula operasi nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sg Balok bertukar merah selepas hujan akibat bauksit]

Menurutnya, sebelum ini pencemaran sungai dan laut telah dibangkitkan oleh orang ramai namun pihak kerajaan sentiasa berada di dalam sindrom penafian dan tidak ada sebarang langkah pencegahan diambil.

“Akibatnya sungai dan laut sekitar pelabuhan, Balok dan Beserah telah bertukar warna menjadi merah dan kejadian seumpama ini tidak pernah dialami walaupun kita dilanda banjir besar.

“Ini menunjukkan tahap pencemaran yang berlaku sudah berada dalam luar kawalan sekali gus kerajaan negeri tidak boleh menafikan bahawa punca kejadian semua yang berlaku adalah daripada aktiviti bauksit ini,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, jika dilihat secara terperinci keadaan tempat perlombongan juga berada dalam suasana yang membahayakan.

“Memandangkan ia berada dalam lingkungan penempatan penduduk setempat maka ia lebih mengundang risiko, dan sekiranya tiada tindakan segera diambil, maka kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Adnan Yaakob perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi menangani  masalah ini dan memastikan nyawa rakyat serta alam sekitar tidak terancam seperti sekarang.

“Semua perkara ini boleh dielakkan dan berakhir sekiranya segala rungutan penduduk setempat diambil serius oleh pihak berkuasa serta bertanggungjawab...bimbang kemarahan penduduk yang semakin memuncak bakal menyaksikan sesuatu lebih buruk berlaku,” katanya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 2 JANUARI 2016

No comments:

Post a Comment