Ad

Sunday, 17 January 2016

Hang Tuah dibuktikan wujud, bukan mitos

16 Januari 2016 6:06 PM
Kuala Lumpur 11 Januari 2015-Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan
Kuala Lumpur 11 Januari 2015-Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan
Dr. Hashi m Musa menunjukkan salinan catatan surat yang membuktikan wujudnya hubungan antara Melaka dengan kerajaan Ryukyu.
PADA asasnya ‘menggali’ sesuatu peristiwa sejarah atau seseorang tokoh dilakukan menerusi kajian yang bersandarkan kepada sumber primer (sumber pertama) dan sumber sekunder (sumber kedua).
Sumber primer biasanya terdiri daripada dokumen, surat, catatan, watikah, warkah, manuskrip, peninggalan dan sebagainya yang dihasilkan oleh seseorang yang sezaman dengan peristiwa yang dikisahkan.
Sementara sumber sekunder pula merupakan tafsiran, kesimpulan serta andaian yang dibuat pengkaji mengenai sesuatu peristiwa berdasarkan sumber pertama. Sumber itu digunakan penyelidik lain sebagai rujukan, perbandingan atau ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta tafsiran terhadap kajian.
Sesuatu karya dianggap bernilai tinggi apabila kajian yang dijalankan berasaskan sumber primer.
Sumber sekunder juga amat penting dan digunakan di dalam mengukuhkan sesuatu kajian, namun pemilihan maklumat harus mengambil kira dari segi kualiti dan kesesuaian data yang digunakan sebagai pendukung data primer bagi memastikan maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.
Justeru itu, di dalam kajian mengenai Laksamana Hang Tuah, penyelidik dari Universiti Putra Malaysia iaitu pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Moden dan Komunikasi, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berpegang terhadap keyakinan yang menyatakan kewujudan Hang Tuah bersandarkan bukti yang diperolehi melalui sumber primer, selain turut disokong oleh maklumat dari sumber sekunder.
Sebagaimana kewujudan Julius Caesar, Alexander the Great dan Laksamana Cheng Ho atau Zheng He dibuktikan dengan catatan daripada sumber primer dan artifak yang ditemukan sezaman dengan mereka. Kewujudan Laksamana Hang Tuah juga didukung dan diperkukuhkan dengan sumber primer.
“Berdasarkan dokumen rasmi Rekidai Hoan yang diterima dari kerajaan Ryukyu, terdapat surat-surat yang membuktikan wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dan Ryukyu pada abad ke-15.
“Dokumen itu dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada.
“Ada 19 surat kesemuanya dan lapan daripada surat berkenaan diterima dari pihak kerajaan Melaka, sementara selebihnya dari pihak kerajaan Ryukyu. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak tiga yang ditulis oleh laksamana Melaka. Paling penting turut dinyatakan mengenai tarikh surat berkenaan dicatat” katanya.
Catatan surat pertama dalam dokumen 9 bertarikh Februari 1480 menyebut surat berkenaan adalah bagi pihak sultan. Meskipun, tidak menyebut laksamana, namun pengkaji tempatan malah dari Jepun percaya ‘bagi pihak sultan’ itu merujuk kepada laksamana.
“Dari segi terjemahan ayat itu turut menyatakan ‘Raja bagi Negeri Melaka dengan penuh takzimnya menghantar perutusan ini kepada duli yang maha mulia tuanku raja negeri Ryukyu...’. Akhir sekali dinyatakan bingkisan hadiah yang disertakan dan tertera di situ ‘bagi pihak raja’ yang merujuk laksamana.
“Surat kedua dalam dokumen 10 bertarikh April 1480 pula dengan jelas ada tercatat ‘laksamana’, namun tidak menyenaraikan senarai bingkisan hadiah yang disertakan.
“Saya berpendapat surat kedua ditulis oleh laksamana semasa di Ryukyu memandangkan dia tidak membawa bingkisan hadiah sebagaimana kebiasaannya akan membawa bingkisan hadiah sekiranya datang dari Melaka.
“Surat ketiga di dalam dokumen 15 yang bertarikh 17 Mac 1941 juga dicatat oleh laksamana,” katanya.
Meskipun, tidak dinyatakan nama Hang Tuah, namun berdasarkan catatan tersebut, laksamana yang dimaksudkan itu merujuk kepada Hang Tuah jika dipadankan dengan maklumat dari sumber sekunder.
“Jika merujuk kepada surat pertama, ada menyatakan ‘Beta kini berumur enam tahun, dan beta bersyukur di atas anugerah keamanan dan kebajikan ke atas negeri beta...’ Jadi, persoalannya sultan mana yang ditabalkan ketika masih kanak-kanak?
“Bagi menjawab persoalan itu, kita melihat Sejarah Melayu halaman 164 terdapat pesanan Sultan Mansur Shah sebelum mangkat ‘adapun pertaruhkulah anak kita Husin (kemudian ditabalkan sebagai Sultan Alauddin)...ialah gantiku...jikalau barang suatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian kerana ia budak, belum sampai akalnya, belum tahu adatnya’.
“Justeru, berdasarkan catatan itu, putera Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan satu-satunya sultan menaiki takhta ketika masih kanak-kanak lagi pada zaman kesultanan Melayu Melaka.
“Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin (1477-1488), Hang Tuah berpangkat laksamana pada ketika itu yang berusia antara 46 hingga 57 tahun. Bahkan, jika melihat kepada tarikh surat itu, ia dicatat pada 1480. Ini jelas menunjukkan tarikh catatan itu adalah pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin,” katanya.
Selain surat itu, kewujudan Hang Tuah juga dibuktikan dengan artifak berupa keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang merupakan sebahagian daripada bingkisan hadiah dari kerajaan Melaka kepada kerajaan Ryukyu.
“Di dalam terjemahan surat pertama, dinyatakan salah satu bingkisan hadiah ialah sejenis ‘dagger’ (pisau atau keris) yang diletakkan di tali pinggang. Ciri ini jelas merujuk kepada keris yang dibawa oleh laksamana pada 1480 untuk dihadiahkan kepada pemerintah Ryukyu.
“Keris yang ditemukan di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu itu membuktikan dengan jelas wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dengan Ryukyu,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/hang-tuah-dibuktikan-wujud-bukan-mitos-1.180036#sthash.Es4BkUIK.dpuf

No comments:

Post a Comment