16 Januari 2016 6:16 PM
KEHEBATAN Hang Tuah atau Tun
Tuah sebagai seorang pahlawan ketika zamannya menyebabkan dia diangkat sebagai
laksamana istana pada usia remaja. Setelah berguru bersama empat sahabat
rapatnya, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu di Gunung Tundok berdekatan Gunung
Ledang, mereka pulang ke Kampung Duyong.
Kelima-lima mereka dikatakan
berguru dengan seorang lelaki bernama Seri Petala Adi Putera. Nama Hang Tuah
mula disebut-sebut sehingga ke dalam istana ekoran peristiwa dia menyelamatkan
Bendahara Tun Perak daripada amukan seorang lelaki berketurunan Jawa.
Setelah diangkat sebagai
laksamana, wujud perasaan iri hati dalam kalangan pemuda Melaka terhadap
kehebatan Tuah. Sejak dari itu, hidup Tuah dikatakan tidak asing dari asakan
fitnah yang datang satu per satu sehingga membawa kepada peristiwa dia dihukum
bunuh oleh sultan yang memerintah ketika itu.
Namun, menurut Pengerusi
Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, Hang Tuah
pada akhir zaman sebelum kejatuhan kerajaan kesultanan Melayu Melaka telah
membawa diri ke Palembang, Indonesia kerana merajuk dengan Sultan Mahmud.
“Oleh kerana itu, kita percaya
bahawa makam Hang Tuah berada di Palembang. Menerusi apa yang ditulis oleh
sepupu Hang Tuah, Tun Kola dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah Duyong, laksamana
Melayu terbilang itu terkesan dengan sikap dan perbuatan Sultan Mahmud yang
banyak melakukan perkara tidak betul pada masa itu,” katanya kepada S2
baru-baru ini.
Katanya, tindakan Hang Tuah
yang membawa diri ke Palembang itu juga merupakan kesan daripada fitnah-fitnah
yang dilontarkan kepadanya dan sikap sultan yang lebih mempercayai orang luar
daripada mendengar pandangan panglima istananya sendiri.
Malah, Hang Tuah sebenarnya
dikatakan merupakan bapa mentua kepada Sultan Mahmud apabila baginda berkahwin
dengan seorang anak Hang Tuah, Tun Sabariah. Maka, apabila Sultan Mahmud lebih
mengutamakan pandangan orang luar yang banyak mempunyai agenda tersirat, Hang
Tuah berkecil hati.
Lalu, beberapa tahun sebelum
kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, Hang Tuah membawa diri ke
Palembang dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam sehingga dia meninggal dunia
di sana.
Ironinya, Khalid berkata,
semasa Hang Tuah menjadi panglima perang istana, Melaka beberapa kali berjaya
menewaskan serangan Portugis yang begitu mendambakan Melaka sehingga penjajah itu
merasa gerun dengan kehebatan laksamana Melayu itu.
Manuskrip itu, katanya, ada
menyebut ibu bapa Hang Tuah iaitu Tun Mahmud dan Tun Lela Wati dan beberapa
pengikutnya belayar meninggalkan Palembang untuk mencari tanah baharu. Apabila
mereka tiba di Pulau Besar, bapa kepada Tun Lela meninggal dunia dan dimakamkan
di pulau itu.
“Tun Mahmud menamakan kawasan
yang dimudik di kuala sungai sebagai Kampung Duyong. Inilah kampung yang wujud
pada hari ini. Tidak lama selepas itu, Hang Tuah dilahirkan di situ.
“Hang Tuah berasal dari kampung
ini. Dakwaan mengatakan Hang Tuah berasal dari Tanah Besar China tidak benar.
Sebenarnya, Hang itu adalah gelaran bagi pahlawan Melaka. Ia bukanlah nama
berketurunan Cina ataupun sebagainya seperti yang diandaikan banyak pihak,”
katanya.
Katanya, berdasarkan apa yang
tertulis di dalam manuskrip itu, maka logik dikatakan dakwaan makam Hang Tuah
di Palembang itu mempunyai asas yang lebih meyakinkan bahawa pahlawan itu
meninggal dunia di Palembang. Pendek kata, kewujudan Hang Tuah bukan satu
mitos.
“Masyarakat di Palembang begitu
mengagumi Hang Tuah. Mereka tahu kisah pahlawan Melayu ini. Malah mereka yakin
Hang Tuah wujud berdasarkan bukti yang ada di sana. Jadi, bagaimana pula wujud
dakwaan bahawa Hang Tuah ini mitos atau tidak wujud? Itu sesuatu yang
menyedihkan,” katanya.
Menyentuh mengenai kewujudan
Hang Tuah, ujar Khalid, Hang Tuah merupakan simbol kekuatan orang Melayu sejak
sekian lama. Dia merupakan figura yang menguatkan lagi semangat orang Melayu.
Sewajarnya sejarah mengenai Hang Tuah diperkukuhkan dengan membangkitkan fakta
logik mengenai kewujudannya.
Bagi persatuan itu katanya,
mereka tampil dengan fakta dan bukti yang menunjukkan Hang Tuah merupakan
seorang insan yang pernah dilahirkan di bumi Melaka. Fakta sejarah yang dinukil
sendiri oleh saudara Hang Tuah, Tun Kola di Kampung Duyong.
Katanya, jika hendak disangkal,
masakan kerajaan negeri mengangkat Kampung Duyong sebagai perkampungan Hang
Tuah yang telah wujud selama 600 tahun.
Malah, terdapat bukti fizikal
seperti Masjid Laksamana Hang Tuah, Perigi Hang Tuah, beratus-ratus kubur purba
dan Sungai Duyong yang menjadi penghubung penduduk kampung itu dan seluruh
Melaka.
Tambah Khalid, sesiapa yang
mahu mengetahui kisah lengkap mengenai Hang Tuah dialu-alukan datang dan berjumpa
dengannya mahupun ahli persatuan tersebut yang rata-rata terdiri daripada
keturunan dan susur galur Hang Tuah di Kampung Duyong.
“Walaupun manuskrip asli
Hikayat Hang Tuah Duyong yang dikarang Tun Kola itu kini disimpan oleh
Perpustakaan Negara Malaysia, namun persatuan ini mempunyai salinannya. Malah,
ahli keluarga kami sempat menterjemahkan tulisan jawi kuno itu ke dalam tulisan
rumi untuk difahami orang ramai mengenai kisah Hang Tuah,” katanya.
Hang Tuah difitnah, meninggal
di Palembang?
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/hang-tuah-difitnah-meninggal-di-palembang-1.180007#sthash.0t6MeP1s.dpuf
No comments:
Post a Comment