MUHAMAD MAT YAKIM
1 JANUARI 2016
MUHAMAD MAT YAKIM
SAYA tidak begitu rapat dengan
Aziz Desa, yang kembali ke rahmatullah Ahad lalu. Berjumpa pun sekali-sekala.
Namun dalam hubungan yang tidak begitu rapat itu, saya boleh bercerita mengenai
kebaikannya yang bagi saya, itulah petanda sebenar bahawa dia memang seorang
yang sangat baik.
Bagi yang kenal Aziz dari jauh,
dia mungkin dianggap seseorang yang guraunya kasar, lontaran kata-katanya
kadang kala agak pedas.
Akan tetapi bagi saya yang
berasal dari negeri yang sama, itulah tipikal kami anak Utara. Mulut ‘teqhejaiy’,
melawak ‘kasaq’!.Di sebalik penampilannya itu, Aziz sebenarnya cukup meraikan
rakan-rakan.
Suatu pagi 16 tahun lalu, dia
hubungi saya bertanya sama ada berminat ikuti rombongan ke Iran.
“Tinggai satu seat saja. Kalau
nak pi, habaq cepat, Malam ni juga berlepas,” katanya. Saya diminta beri
jawapan segera sedangkan isteri saya
ketika itu bekerja di luar kawasan. Hari itu dia akan balik. Ketika hantar
anak-anak ke taska, saya katakan kepada mereka, “malam ni mak balik… kita makan
kat luar.”
Berkali-kali saya cuba hubungi
isteri, baru dapat. Selepas menjemputnya di tempat kerja dan hantar balik ke
rumah, saya mengemas pakaian dan bergegas ke KLIA.
Malam itu juga terbang ke
Tehran, kemudian Isfahan. Seminggu di sana, saya sebilik dengan Aziz. Arwah
memang tidak reti duduk diam. Ada sahaja kerja dibuatnya.
Pernah berjalan waktu siang,
tengah malam dia sibuk hubungi stesen radio Langkawi FM untuk melaporkan
aktiviti kami di sana. Dia terpaksa curi waktu tidur untuk disesuaikan dengan
waktu di tanah air kerana laporan itu disiarkan secara langsung.
Balik ke tanah air, Aziz bawa
keluarganya ke rumah saya termasuk ibunya yang bersusah payah mendaki tangga
untuk ke tingkat tiga. Semasa saya bawa keluarga ke Langkawi, dia hubungi saya
ajak ke rumahnya dan bertanya saya nak makan apa. Ketika itu dia baru sahaja
mendarat dari Kuala Lumpur.
“Hang nak makan apa, hang habaq
la, aku nak teruih pi kedai beli barang …”
Saya tidak pun beritahu dia
mahu ke Langkawi dan dia dapat tahu hal itu daripada rakan di sana. Malam itu,
saya bawa famili ke rumah Aziz di mana hidangan sudah menanti penuh meja.
Isteri Aziz memang pandai
masak. Mereka pernah buka Yosh Café di Megan Philleo, Jalan Yap Kwan Seng,
Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Langkawi. Saya pernah sekali ke kafe itu.
Kira-kira 10 tahun lalu, sebaik
mendapat tahu Aziz sedang sakit, saya bersama seorang rakan terus ke rumahnya
di Seksyen 20, Shah Alam.
Walaupun niat kami sekadar mahu
menziarahinya yang sakit, tetap ada makan besar juga. Dalam sakit, Aziz masih mahu merai kawan-kawan. Semasa kami
tengah sedap membalun, dia tiba-tiba berkata: "Ikut cakap doktor, hangpa
makan ni aku tak boleh duduk dekat, takut berjangkit …” Itulah Aziz, sukanya
dia menyakat sama banyak dengan kesukaannya membelanja kawan-kawan makan.
Walaupun kami tidaklah begitu
rapat, kebaikan Aziz tetap menyentuh dan jadi ingatan saya.
Dia pernah pelawa saya tinggal
di rumahnya yang di Seksyen 20 itu. “Hang jaga sudahlah,” katanya. Walaupun
dekat dengan pejabat, saya tolak hajatnya kerana lebih selesa tinggal di rumah
sendiri.
Beberapa minggu sebelum dia
‘pergi’, kami agak kerap berhubung. Aziz minta saya tengokkan ruang untuk dia
menulis dalam Sinar Harian. Sebelum ini, dia pernah jadi stringer di Langkawi.
Antara berita yang pernah ditulisnya adalah
mengenai kecurian mesin basuh di rumahnya sendiri.
Kali terakhir kami berjumpa lebih
dua tahun lalu ketika dia jadi emcee majlis perkahwinan rakan kami di FRIM
Kepong. Saya yang baru sampai terkejut dengar nama diumum untuk ambil cendera
mata daripada pengantin.
“Mat Yakim ni orang Kedah, kena
bagi ikan kareng (ikan laga) kat dia. Dia suka ikan kareng.” Rupa-rupanya Aziz
Desa pengacaranya.
Melihat gambarnya berkerusi roda di Facebook,
saya tergerak hati untuk menziarahnya di Langkawi. Namun bersebab jarak yang
jauh, saya tangguh menunggu keadaan benar-benar selesa untuk ke sana. Tetapi
ALLAH menjemputnya lebih awal.
Ini pengajaran untuk saya
bahawa dalam keadaan semacam ini, janganlah tangguhkan ziarah kerana ia mungkin
akan buat kita terkilan sepanjang hayat.
Mat Cermin sudah pergi
mendahului kita dengan seribu satu cerita kebaikannya. Moga ALLAH ampunkan
dosa-dosanya, berikan dia sebesar-besar ganjaran atas kebaikannya. Segala
pesannya yang baik jadikan pengajaran.
Yang jauh kita dekatkan, yang
dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasi-serasikan.
Cermin-cermin diri, lihat
wajah, renung peribadi...
Itu kata-kata hikmah
ditinggalkan untuk kita. Betapa besar pahalanya mempertemukan mereka yang
terpisah, ada sesetengahnya sejak lahir menerusi Jejak Kasih. Berbahagialah
kamu di sana, Aziz Desa.
Sumber-Sinar Harian online
3.1.2016
No comments:
Post a Comment