Ad

Saturday 23 January 2016

‘Skuad yang tidak meyakinkan’

 Jalani

LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak sepatutnya menyenaraikan kesemua pemain muda dalam skuad kelayakan Piala Thomas pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad, India bulan depan.

Jelas pemenang Piala Thomas 1992 itu, badan induk itu sepatutnya menyenaraikan juga beberapa pemain senior supaya ada seorang ‘pemimpin’ yang mampu memimpin skuad itu apabila mereka berdepan dengan tekanan yang mampu menjejaskan prestasi pasukan.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu senarai pemain kelayakan Piala Thomas kerana tiada seorang pun pemain senior. Bagi saya perlu ada seseorang dalam pasukan itu dilihat sebagai pembimbing dan pemberi motivasi.

“BAM tidak boleh ambil mudah dalam perkara ini kerana seperti yang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) berkata, kalau mahu memberikan pendedahan ialah pada Sukan SEA.

“Piala Thomas ialah acara berpasukan yang paling berprestij dan semua mahu menjadi juara, jadi perkara ini melibatkan maruah negara kerana ia diagung-agungkan dan BAM sepatutnya persiapkan pasukan yang terbaik,” kata Jalani ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu BAM mengetepikan pemain-pemain utama dan berpengalaman seperti Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dengan menyenaraikan pemain-pemain muda.

Pemain-pemain yang disenaraikan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Thomas itu ialah Zulfadli Zulkiffli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven termasuk tiga beregu, Tan Kian Meng-Low Juan Shen, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas pada kempen 1992 di Kuala Lumpur dan pencapaian terbaik sejak kejayaan itu ketika meraih tempat kedua selepas tewas kepada Jepun pada aksi final di New Delhi, India dua tahun lalu.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock menegaskan BAM sepatutnya membariskan skuad campuran bagi menghadapi kempen kelayakan tersebut memandangkan pemain-pemain senior mampu memberi suntikan semangat kepada pemain muda.

“Pada pandangan saya, perlu ada pasukan campuran senior dan junior kerana pemain-pemain senior boleh membimbing serta memberi suntikan motivasi kepada pemain muda. Kita perlukan pasukan yang seimbang.

“Kita sepatutnya tidak membariskan keseluruhan pemain muda dalam skuad tersebut, saya lihat ini satu langkah yang kurang tepat dari mereka (BAM) memandangkan Piala Thomas adalah kejohanan paling berprestij dalam sukan badminton.

“Satu tugas besar buat pemain-pemain ini untuk menggalas misi negara pada kejohanan tersebut, kita meletakkan satu tekanan kepada pemain-pemain muda tersebut. Ia sepatutnya pasukan campuran kerana kita memerlukan pengalaman pemain-pemain senior,” katanya.

Bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek turut senada dengan Ewe Hock supaya BAM turut membariskan pemain senior memandangkan negara-negara lain pastinya mempertaruhkan pasukan terbaik pada aksi kelayakan nanti.

“Sepatutnya begitulah (gabung pemain senior dan junior) kerana pemain senior membawa pengaruh yang besar dalam pasukan. Peluang untuk layak menerusi kempen kelayakan agak tipis kerana kita hanya membariskan pemain-pemain muda.

“Tambahan pula, negara-negara lain pastinya membariskan pemain-pemain terbaik yang mereka ada terutamanya dalam acara perseorangan. Pemain-pemain utama mereka kebanyakannya pernah menjuarai kejohanan-kejohanan utama,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3y5Cn8vRY Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment