AGENSI - IMEJ bangkai kapal
karam yang berjaya dikesan pada kedalaman 3,700 meter di dasar Lautan Hindi
semasa operasi mencari pesawat MH370.
SYDNEY – Pasukan mencari
pesawat Penerbangan Malaysia MH370 di Lautan Hindi menemui sebuah kapal yang
karam pada kurun ke-19, namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda bangkai
pesawat berkenaan di kawasan pencarian.
Penemuan bangkai kapal pada
kedalaman 3,700 meter itu adalah yang kedua selepas kerja-kerja pencarian
pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sejak dilaksanakan dua
tahun lalu.
Pencarian di dasar laut yang
diketuai oleh Australia itu merupakan kerja-kerja operasi paling mahal pernah
dikendalikan di dasar laut yang seluas 120,000 kilometer persegi.
“Kerja-kerja mencari tersebut
dijangka berakhir pada pertengahan tahun ini,” kata Pusat Penyelarasan Agensi
Bersama Australia (JACC) yang menolak bahawa sebarang pencarian akan diperluaskan
tanpa petunjuk baharu.
Menurut JACC, sekiranya tiada
maklumat baharu yang mengenai lokasi spesifik pesawat itu, kerajaan bersetuju
untuk tidak melakukan sebarang usaha memperluaskan kawasan pencarian tersebut.
Kawasan pencarian itu tertumpu
di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi di mana pesawat itu
dipercayai terhempas.
Satu serpihan pesawat itu
pernah ditemui terdampar di Pulau Reunion di timur Madagascar pada Julai tahun
lalu sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa pesawat malang tersebut terhempas ke
dalam laut.
Pesawat MH370 hilang semasa
dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Misi pencarian pada Mei tahun
lalu menemui sebuah bangkai kapal kargo yang dipercayai karam pada abad ke-19,
manakala penemuan terbaharu, 19 Disember lalu dipercayai sebuah kapal besi yang
karam pada abad sama. – Reuters
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xDDl9NsQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment