Ad

Saturday, 30 January 2016

Safiq, Amri tetap jadi pilihan

Kim Swee dijangka panggil pemain berpengalaman untuk hadapi Saudi
ROZAIDI ZULKIFLI  |  30 Januari 2016 12:14 AM
Safiq RAHIM (kiri) dan penyerang  Amri Yahyah dijangka akan dipanggil
Safiq RAHIM (kiri) dan penyerang  Amri Yahyah dijangka akan dipanggil
SAFIQ RAHIM (kiri) dan penyerang Amri Yahyah dijangka akan dipanggil untuk menganggotai skuad negara apabila mereka menjalani persediaan untuk menentang Arab Saudi.
KUALA LUMPUR - Pemain yang mempunyai banyak pengalaman di pe­ringkat antarabangsa dijangka bakal menjadi pilihan pe­ngendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab negara dalam aksi menentang Arab Saudi pada 24 Mac ini.
Meskipun tidak menyebut pemain-pemain yang bakal menjadi pilihannya, namun dapat dijangka pemain seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Safee Sali, Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah, Farizal Marlias dan ramai lagi yang mempunyai pe­ngalaman dalam peringkat antarabangsa berkemungkinan terus menjadi pilihan Kim Swee.
Bersedia menghadapi perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai jurulatih tetap Harimau Malaya pada 18 Januari lalu, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan akan memang­gil nama-nama baharu untuk menggalas cabaran negara tetapi bergantung kepada prestasi semasa mereka dalam kancah Liga Malaysia yang bakal membuka tirai pada 13 Februari.
“Buat masa ini saya tidak boleh menamakan mana-mana pemain yang bakal menyertai pasukan Harimau Malaya sama ada senior atau baharu, semua masih ada peluang sama rata.
“Tetapi apa yang menjadi kepastian adalah saya perlukan pemain yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa namun dalam masa sama saya perlu melihat prestasi pemain-pemain sama ada layak disenaraikan dalam skuad atau tidak,” katanya.
Dalam fasa pertama kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Arab Saudi diberi kemenangan 3-0 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran kekecohan dilakukan segelintir penonton di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu. Perlawanan itu dihentikan pada minit ke-88 ketika skuad negara ketinggalan 1-2.
Pengendali berusia 46 tahun itu berkata walaupun perlawanan menentang gergasi Asia itu sekadar aksi pelengkap jadual namun dia tetap mahu skuad negara memperagakan aksi lebih baik berbanding aksi pertama.
“Ramai orang tahu ini cuma perlawanan pelengkap jadual dalam kelayakan Piala Dunia 2018 tetapi kita perlu memastikan pasukan bersedia kerana pasukan Arab Saudi sememang­nya kuat dan yang pasti kita perlu tunjukkan prestasi lebih baik daripada sebelum ini.
“Mengikut jadual perlawanan terakhir liga sebelum lawan Arab Saudi adalah pada 13 Mac jadi kita ada 10 hari untuk berlatih sebelum bermain dengan Arab Saudi.
“Tempoh itu memadai untuk kita membuat persiapan dan saya jangka cukup masa. Pa­ling penting apabila dipanggil pemain itu tidak mempunyai masalah kecederaan,” ujarnya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-amri-tetap-jadi-pilihan-1.184803#sthash.beLbbjEI.dpuf

No comments:

Post a Comment