SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
15 JANUARI 2016
kencing berdiri Islam mementingkan kesihatan
umatnya dan kencing berdiri mendatangkan banyak mudarat.
PERLU difahami kita bukan bahas
mengenai hukum kencing secara berdiri, kerana Imam An-Nawawi juga ada menyebut
dalam penjelasannya terhadap Imam Muslim, walaupun ada hadis-hadis yang
menyebutkan larangan buang air kecil sambil berdiri adalah lemah, kecuali hadis
'Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan, bahawa beliau
berkata: "Siapa yang menyampaikan kepada kalian bahawa Rasulullah SAW,
namun Imam Nawawi berpendapat bahawa ia tidak membawa larangan secara umum.
Keringanan yang diberikan Islam
Ustaz Asrulnizam Abas yang juga
Perunding Latihan di Inner Inspiration Training & Consultancy berkata, apa
yang penting ialah sejauh mana anda menitik beratkan soal penjagaan ketika
membuang air kencing tadi.
Ini kerana jika anda kencing
secara berdiri, kadar percikan air kencing tersebut lebih banyak berbanding
jika anda kencing secara duduk.
"Jika tidak berhati-hati
pula, sisa air kencing melekat pada pakaian. Bukankah Islam sentiasa memudahkan
umatnya dalam setiap urusan, tetapi anda perlu melakukan perkara yang dapat
mengurangkan kekotoran najis tersebut.
"Tak dinafikan ada dalam
kalangan kita yang mungkin menghadapi keuzuran tubuh badan, tidak mampu
mencangkung atau mungkin yang patah kaki, sukar untuk kencing dalam keadaan
duduk pada setiap masa.
Oleh kerana itulah anda perlu
jelas perihal adab-adab ketika kencing dan tahu mengenai cara bagaimana untuk
mengelakkan diri anda daripada menanggung najis air kencing tadi.
Sekiranya anda berhati-hati
setiap kali masuk ke tandas untuk kencing, maka di sinilah keringanan diberikan
terhadap percikan-percikan air kencing yang berkadar kecil dan tidak dapat
dilihat tompokannya pada mata kasar," katanya.
Kencing secara berdiri jika
dilihat dari perspektif kesihatan pula, menurut Pensyarah Kanan Perubatan,
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ruhi Fadzlyana Jailani, ia memberi
risiko kepada masalah kencing tidak lawas yang akan membawa kepada gejala
bengkak prostat.
Menurutnya, berdasarkan
saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan, lebih 50 peratus
daripada lelaki yang disaring mempunyai gejala pembengkakan prostat.
Antara tanda-tanyanya ialah
pancutan air kencing tidak laju, kencing yang tersekat-sekat, air kencing yang
menitis di penghujung waktu kencing dan berasa tidak puas kencing dan kerap
untuk ke tandas.
Wanita kencing berdiri
ALLAH jadikan lelaki dan wanita
mempunyai keistimewaan tersendiri. Keunikan tubuh badan dan fizikal kaum Adam
dan Hawa adalah mengikut fungsi dan peranan mereka kepada ALLAH. ALLAH jadikan
wanita mempunyai rahim untuk hamil dan menanggung bayi untuk sembilan bulan
lamanya, tetapi tidak pula pada lelaki.
Kemudian ALLAH memberikan
perbezaan kerangka dengan kekuatan yang berbeza untuk lelaki memandangkan
peranan mereka dalam memimpin. Itu belum lagi diteliti dari aspek dalaman,
kekuatan emosi wanita berbanding lelaki, dan juga kebolehan berfikir wanita dan
lelaki. Itu semua menunjukkan tidak semua perlakuan lelaki boleh ditiru oleh
wanita.
Ustaz Asrulnizam menambah,
lebih-lebih lagi dalam konteks bersuci dan membuang air kecil, apabila
dinisbahkan wanita kencing berdiri seperti lelaki ia nampak sangat tidak sopan
dan berlawanan dengan kelembutan dan sifat penuh adab seorang wanita.
"Kempen yang melibatkan
wanita supaya kencing berdiri ini bukanlah perkara baru di dunia Barat. Mereka
telah memulakan kempen ini sejak tahun 1999 lagi dengan alasan cara buang air
kecil yang diamalkan sebelum ini (cara duduk) adalah melambatkan. Ini kerana
mereka beranggapan tiada salahnya jika seorang wanita juga mengamalkan cara
buang air sebagaimana lelaki. Jika lelaki boleh, maka pastinya wanita juga
boleh.
"Pelbagai jenama seperti
Go Girl, Shewee, PiEz (Pee EZ) dan lain-lain
wujud di pasaran semata-mata untuk menggalakkan wanita sedunia
mengamalkan kaedah kencing berdiri.
Sehingga hari ini aktiviti
kencing berdiri dalam kalangan wanita bukan lagi sesuatu yang pelik di
kebanyakan negara maju. Bagi mereka segalanya mesti pantas dan mudah. Tidak
perlu difikirkan sangat kesan buruk yang bakal diterima kelak," katanya.
Menurutnya, inilah yang perlu
difahami oleh umat Islam khususnya wanita, jika cara buang air kecil ini
menjadi satu trend pada wanita Muslim dalam satu jangka masa nanti ia
menyumbang kepada terhakisnya kesopanan dan harga diri.
Kita melihat hari ini
sebahagian wanita berasakan tiada masalah mereka merokok, hisap vape atau
shisha kerana dilihat sebagai budaya yang 'cool'.
Padahal inilah proses yang
menghakis rasa malu wanita Muslim sehingga mereka rasa selesa terikut-ikut
dengan budaya Barat yang tidak sopan.
Bayangkan, jika aktiviti
kencing berdiri mula menular ke dalam budaya Islam yang sememangnya menjaga
maruah seorang wanita, apa lagi adab sopan yang anda boleh lihat?
Sumber-Sina Harian online
16.1.2016
No comments:
Post a Comment