TAN SRI ABDULLAH AHMAD
14 JANUARI 2016
TAN SRI ABDULLAH AHMAD
HARI ini genap 40 tahun Tun
Razak kembali ke rahmatullah. Setelah Allahyarham dilupakan dari ingatan
nasional (national conciousness) tiba-tiba memori dan jasanya dikenang.
Sebelah pagi seminar berkenaan
Tun Razak berlangsung, malam ini Astro TV menayangkan filem tentangnya dan juga
tahlil untuknya di Masjid Ar-Rahah di sebelah Angkasapuri di Kampung Kerinchi.
Masjid ini dinamakan sempena
balu Tun Razak, Tun Rahah Noah dan dibiayai sepenuhnya, saya difahamkan, oleh
anak bongsu mereka, Datuk Seri Nazir, bos besar CIMB.
Wajar memperingati Tun Razak:
30 peratus kekayaan negara mesti dimiliki Melayu dan Peribumi serta profesion
harus mencerminkan bilangan penduduk. Semua sedar matlamat ini tidak lagi
menjadi fokus kerajaan. Sedih!
Di mana pewaris politik Tun
Razak? Titah Sultan Perak Nazrin Muizzuddin Shah, relevan dan tepat sebab
baginda diplomatik kenyataannya agak lembut.
Jika Melayu Peribumi celik mata
dengan terang harta, tanah, rumah dan bisnes terus dikuasai orang dagang dan
pihak yang sudah pun dominan.
Sebenarnya neokolonialisme
sudah lama berada di Malaysia. Bijaknya Melayu dan Peribumi menang sorak
kampung tergadai! Pengemis dan broker di negeri sendiri.
Biasalah bagi bangsa Melayu
mudah lupa pada pemimpin yang banyak berbakti apa lagi sebab dia tiada lagi.
Melayu Baru asyik mengangkat
dan menyanjung pemimpin yang berkuasa sahaja (walaupun sanjungan itu tidak
jujur.) Kita senang lupa sejarah sebab tenggelam dalam kemewahan - benarkah
Melayu senang dan mewah? Melayu hanya melihat pada pemimpin yang memegang
jawatan.
Hilang jawatan hilanglah hormat
mereka kepada pemimpin itu.
Sebab saya berkhidmat dengan
Tun Razak dalam pelbagai jawatan dan status tidak putus selama 14 tahun
(1962-1976) tatkala saya baru berusia 25 tahun hingga Tun Razak menghembus
nafasnya terakhir di London 14 Januari 1976, saya dipohon membuat ucapan dalam
bahasa Inggeris, bahasa kedua saya, tentang kenangan dan pengalaman saya dengan
Allahyarham, suka dan duka, banyak menggembirakan daripada mendukakan.
Walaupun saya masih tidak
sihat, saya gagahkan diri menulis ucapan itu yang akan dibaca oleh isteri atau
anak saya dan kolum ini kerana saya sanjung memori arwah dan menghormati
balunya, Tun Rahah yang masih hidup dan sihat walafiat.
Tun Razak putera gemilang
Melayu dan pemimpin ikonik serta terbilang dalam kurun ke-20 selain daripada
Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Razaklah orang yang memujuk Tunku mengambil alih
kepimpinan Umno daripada Datuk Sir Onn Jaafar yang merajuk pada 1951.
Tunku enggan sebaliknya
mencadangkan Tun Razak (waktu itu Datuk dan baru berusia 29 tahun) sebagai
Presiden Umno.
Tun Razak bermati-matian
mahukan Tunku. Sekarang pemimpin berebut-rebut dan tikam-menikam antara satu
dan lain untuk memegang jawatan tanpa kira mereka layak atau berbakat. Kawan
jadi lawan. Itulah beda antara Melayu Lama dan Melayu Baru.
Kepimpinan bersama Tunku dan
Tun Razak (Timbalan Presiden) berlangsung penuh intim selama 19 tahun,
mempercayai dan taat setia antara satu dan lain. Tunku bagai bapa kepada Tun
Razak dan Tunku menganggap Tun Razak sebagai anak.
Tunku bertindak dalam
perkongsian kuasa ini lebih sebagai penaung daripada presiden dan perdana
menteri lantas memberi Tun Razak sepenuh mandat mengendalikan kerajaan dan
parti. Ibarat perahu takkan karam sebelah atau telur sesangkar, pecah satu
pecah semuanya. Begitulah hebat dan mesra perkongsian dan persahabatan mereka.
Sungguhpun, persahabatan kedua
mesra sekali peristiwa Mei 13, 1969 telah meletakkan permuafakatan erat itu.
Tun Razak dan Tunku tidak akrab lagi.
Setelah Tun Razak mengambil
alih jawatan Perdana Menteri 1970 dan Tunku ke Jeddah dan Makkah sebagai
Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam sedunia (OIC) hubungan kedua
semakin retak: perkara kecil menjadi besar. Seringkas seperti bisik Speaking:
“There was no love lost between them.” Persahabatan juga kasih sayang kalau
tidak dipupuk selalu akan pudar- lama-kelamaan padam.
Kejadian 13 Mei melancarkan Tun
Razak “as a leader on his own.” Maka terserlah bakat kepimpinannya yang
tersendiri. Walaupun tidak karismatik seperti Tunku, Tun Razak disanjung kerana
dia mempunyai “a sharp sense of power.”
Sungguhpun Tun Razak telah
meninggalkan kita 40 tahun silam, saya sentiasa mengingatinya sebab saya adalah
menteenya yang dididik dan diasuh sehingga nafas bercerai dengan badannya.
Apalagi tahun lepas parti DAP
telah menjemput saya untuk berucap di seminar yang memperingati kematian Tun
Razak yang ke-39 tahun. Sambutan hebat.
Pensyarah utama adalah saya dan
Lim Kit Siang. Adakah sambutan 40 tahun ini sedikit sebanyak ada kaitan dengan
sambutan yang didahului oleh DAP?
Apa pun saya sangat gembira
parti pemerintah dan parti pembangkang utama telah memperingati kehilangan Tun
Razak. Saya berharap kesinambungan peringatan hari kematian Tun Razak menjadi
acara rutin.
Tun Razak sentiasa mahu
bangsanya gemilang. Kalau saya ringkaskan hasratnya lebih kurang seperti isi
dan semangat puisi Usman Awang.
Bagaimanakah Melayu abad kedua
puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang
kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan
keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta
budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
Hasrat Tun Razak ini dan juga
cita-cita bangsa kita tidak akan tercapai. Jika orang Melayu terus
berpecah-belah dan orang bukan Melayu terutama bangsa Cina tak payah
disuruh-suruh, telah bersatu-padu menentang kerajaan dalam PRU13 dan saya yakin
keadaan tidak akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang.
Yang menyedihkan masih ada
4,189,754 bakal pengundi yang belum lagi mendaftar dan 43 peratus daripada
jumlah itu adalah orang Melayu! Bagaimana kita akan memperkuasakan kedudukan
politik kita yang semakin lemah itu?
Pada saya, kalau kita sayangkan
Tun Razak dan visinya wajarlah kita pada hari ini terutama kepimpinan Umno yang
diterajui oleh anak sulungnya membuat keputusan mendaftarkan muda-mudi Melayu
yang belum menjadi pengundi.
Jika tidak, saya bimbang visi
Tun Razak untuk gemilangkan bangsa Melayu dan negara Malaysia akan menjadi
idaman sahaja.
Saya mohon semua membaca
al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Allahyarham Tun Razak semoga rohnya
dicucuri nikmat dan rahmat oleh ALLAH SWT.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 14 JANUARI 2016
No comments:
Post a Comment