Ad

Thursday 7 January 2016

Dah lepas panggil balik.

.Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memanggil semula bekas pemain Harimau Muda B dan C bagi menyertai Skuad Projek Sukan SEA 2017 mengundang masalah kepada pasukan negeri.

Berikutan kebanyakan pemain sudah mengikat kontrak bersama pasukan baru selepas Harimau Muda dibubarkan, apa yang mahu dilakukan FAM itu dianggap bakal menjejaskan perancangan pasukan terbabit.

Antara yang bakal menerima kesan skuad Liga Super Kedah apabila lima pemain mereka dipanggil menjalani latihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 dan dua daripadanya Mohamad Amirul Hisyam Awang dan Muhammad Ariff Farhan Md Isa tonggak muda sandaran Helang Merah.

“Memang dua pemain ini kita sudah pantau dalam tempoh dua, tiga tahun lalu untuk digunakan khidmat mereka musim ini. Memang sukar untuk melepaskan pemain yang sudah menandatangani kontrak kerana kita tidak ada pemain lain untuk menggantikan tempat mereka.

“Kita tidak mahu mengambil pemain lain yang hanya sekadar cukup syarat. Tapi dalam masa sama kita juga perlu mematuhi peraturan atau arahan FAM. Saya faham situasi ini kerana pernah bertugas dengan skuad kebangsaan (penolong jurulatih).

“Apapun kami mengharapkan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak,” kata jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Mengikut perancangan awal, FAM mahu memanggil semula bekas pemain Harimau Muda B dan C di bawah usia 22 tahun untuk diserapkan ke dalam Skuad Projek Sukan SEA 2017 dalam tempoh lama bagi mengharungi saingan Liga FAM atau Liga Perdana sebagai pendedahan.

Ketika ini 30 pemain daripada 39 yang dipanggil menyertai skuad itu sedang menjalani latihan pemilihan di Wisma FAM sejak Isnin lalu di bawah kendalian jurulatih dari Jerman Frank Bernhadt.

Turut berasa tidak senang dengan cadangan FAM itu Pulau Pinang yang berkemungkinan besar kehilangan lima pemain dengan dua daripadanya penyerang berbakat S Kumaahran dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Menurut pegawai Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang enggan namanya didedahkan, mereka tidak bersetuju melepaskan pemain itu bagi tempoh lama.

“Kita tak sedia lepaskan kerana kami perlukan khidmat mereka. Ini bukan soal mereka sudah ikat kontrak dengan Pulau Pinang atau tidak, tapi kami sudah tiada pilihan untuk mengambil pemain lain yang berkualiti.

“Saya rasa semua pasukan akan berdepan situasi ini. Mungkin lebih baik jika Harimau Muda tidak dibubarkan dulu. Ini, mereka sudah beri surat pelepasan kepada pemain. Sekarang selepas dua minggu, mereka nak pemain semula, mana boleh,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:58 AM
 
AMIRUL (kiri)harapan skuad Kedah.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/105477#sthash.dxprzJEQ.dpuf

No comments:

Post a Comment