Ad

Friday, 22 January 2016

Buka pintu semua pemain

 Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih sama pemain pun sama. Itulah andaian awal segelintir penyokong Harimau Malaya yang menganggap pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih baru tidak akan membawa perubahan kepada pasukan.

Namun pengendali berusia 45 tahun itu yang ditawarkan kontrak dua tahun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pintu untuk mana-mana pemain menyertai skuad kebangsaan sentiasa terbuka jika mempamerkan prestasi baik bersama pasukan atau kelab masing-masing.

“Skuad kebangsaan akan menghadapi Arab Saudi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 Mac ini dan kemudian mungkin bermain pada perlawanan play-off.

“Untuk masa singkat ini saya akan memanggil pemain tonggak pasukan sebelum ini serta beberapa pemain lain yang saya akan serapkan.

“Bila Liga Malaysia bermula, mana-mana pemain yang menonjol sudah pasti saya akan panggil dan walaupun pemain tonggak tapi hanya duduk di bangku simpanan mungkin tidak dapat bersama pasukan.

“Bagaimanapun bergantung kepada posisi kerana kami sedar posisi penyerang selalunya didominasi pemain import, mungkin saya akan panggil juga pemain itu atas beberapa faktor seperti pengalaman walaupun jarang beraksi,” kata Kim Swee kepada Arena Metro.

Beliau yang sebelum ini menjadi jurulatih sementara selepas Dollah Salleh meletakkan jawatan pada 4 September lalu mengakui merancang untuk melakukan transformasi pasukan dengan membawa masuk ramai pemain muda namun ia akan dilakukan secara berperingkat.

Dalam pada itu Kim Swee melantik Hassan Sazali Waras dan Brad Maloney yang pernah bersamanya dengan skuad Harimau Muda A sebagai penolong jurulatih serta Kris Yong Wai Hwang sebagai jurulatih penjaga gol.

Manakala beberapa jawatan lain dalam barisan kejurulatihannya akan diputuskan minggu depan.

“Individu yang dilantik ini sudah lama bersama saya dan saya percaya dengan kebolehan mereka akan dapat membantu pembentukan pasukan,” ujar Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:17 AM

KIM Swee pantau prestasi semua pemain Liga Malaysia.


- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/108924#sthash.IVmuJVu6.dpuf

No comments:

Post a Comment