Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain
kebangsaan Serbegeth Singh percaya langkah penstrukturan dan pentadbiran
Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang menyaksikan Tunku Mahkota Johor
Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini menjadi pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor
DT) bakal melonjakkan lagi nama kelab dari selatan tanah air itu.
Katanya, langkah itu akan
membolehkan Johor DT bergerak ke arah kelab lebih profesional sekali gus
menjadi contoh buat pasukan negeri dan kelab lain di negara ini.
“Langkah ini sesuatu diamalkan
di Eropah serta liga utama di dunia yang mana sesuatu pasukan itu menjadi milik
individu atau syarikat.
“Ini menunjukkan kesungguhan
Tunku Ismail untuk membawa Johor DT ke peringkat lebih tinggi dengan cara lebih
profesional seiring dengan penswastaan Liga Malaysia bermula tahun ini.
“Sebelum ini pasukan bertanding
seperti pasukan ‘amal’ yang banyak mengharapkan sokongan kerajaan negeri dan
penaja semata-mata jadi kita patut tinggalkan cara pengurusan amatur ini untuk
menjadi pasukan lebih profesional,” kata Serbegeth yang juga bekas Penasihat
Global Blackburn Rovers kepada Arena Metro semalam.
Kelab juara Liga Super dan
Piala AFC tahun lalu Johor DT kelmarin mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota
Johor sebagai pemilik kelab dengan pegangan milikan majoriti dan selebihnya
milikan bersama penyokong.
Selain itu Johor DT turut
mendapat khabar gembira dengan suntikan dana oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar sebanyak RM50 juta kepada kelab itu.
“Dengan dana ini dapat
memantapkan lagi pasukan Johor DT. Ini bukan saja untuk mendapatkan pemain
lebih berkualiti tapi juga akan digunakan untuk pembangunan bola sepak Johor
serta infrastruktur bola sepak negeri itu,” kata Serbegeth.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 12 January 2016 @ 10:46 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/106637#sthash.W2s8tUps.dpuf
No comments:
Post a Comment