Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD.
HANAFIAH
TEKA-TEKI berhubung jawatan
ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan bakal terjawab hari ini
sejak ‘kerusi panas’ itu dibiarkan kosong selama 134 hari selepas pengendali
terdahulu, Dollah Salleh bertindak melepaskan jawatan pada September tahun
lalu.
Pengendali berusia 52 tahun
tersebut berbuat demikian selepas kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kelayakan Piala Asia 2018 dan Piala
Dunia 2019.
Ketika ini, Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti tiga calon yang sesuai, antaranya
bekas jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Bojan Hodak, bekas pengendali
Sarawak, Robert Alberts dan ‘orang kuat’ Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.
Tiga daripada mereka ini pasti
menjadi tumpuan semua peminat dan pemerhati bola sepak negara untuk mengetahui
siapakah yang akan menjadi pilihan FAM mengisi kerusi panas tersebut.
Bagaimanapun, perkara tersebut
turut mendapat perhatian bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan, Dali Omar
(gambar) yang menyifatkan tiga calon yang dipilih oleh FAM untuk mengendali
skuad kebangsaan tidak memiliki kelebihan yang boleh membantu mengubah nasib
skuad kebangsaan.
Menurutnya, tiga jurulatih
tersebut sekadar membuktikan kemampuan pada peringkat Asia Tenggara sahaja.
“Ambil tiga-tiga senang
rasanya dan tak payah buat pilihan bagi memudahkan tugas FAM. Saya kecewa
dengan orang yang tidak tahu pasal bola ini kerana mereka tidak mahu belajar
daripada kesilapan.
“Saya rasa mereka semua
terlebih bijak. Apa yang saya lihat ketika ini kita masih gagal untuk menjejak
ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
“FAM pula macam belum sedar
dengan prestasi pasukan negara jiran yang sudah mula melangkah ke pentas Piala
Dunia, sedangkan kita masih terkapai-kapai mencari rentak.
“Sudah 15 tahun saya pulang ke
tanah air selepas ke luar negara, namun malangnya tahap bola sepak kita masih
mendukacitakan. Kini, mereka nak lantik salah seorang daripada tiga calon ini.
Kita tunggu dan lihat, kalau pasukan pentadbirannya sama, hasilnya pun juga
sama nanti.
“Kalau nak pilih Kim Swee, saya
anggap dia kurang berjaya kerana gagal membawa skuad remaja kita mencapai tahap
yang kita impikan. Bawa pemain pergi ke Slovakia dan hasil pun tidak ke mana,
malah gagal pada Sukan SEA di Singapura tahun lalu.
“Robert Alberts juga gagal bawa
Sarawak dan Bojan Hodak pun sama, jadi macam mana kita nak memberi kepercayaan
kepada jurulatih seperti ini. FAM masih tidur lagi,” tegas Dali kepada Kosmo!
semalam.
Dali merupakan pemain bola
sepak pertama di negara ini yang mendapat tawaran untuk beraksi di luar selepas
mengambil keputusan beraksi bersama kelab Azzuri di Australia.
Beliau juga pernah menjadi
jurulatih untuk pasukan Olympics Kingsway di negara Kanggaru itu dan menetap di
Australia selama 30 tahun.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3xb6rk6NB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment