Ad

Monday, 5 May 2014

Isu naturalisasi tak pernah timbul

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menyampaikan sijil kepada sebahagian jurulatih hoki pada Majlis Persidangan Jurulatih dan Pengadil di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) tidak pernah membincangkan soal pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili negara seperti yang disarankan beberapa pihak sebelum ini.

Menurut Timbalan Pre­siden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, proses naturalisasi adalah dasar kepada individu dan bukan bergantung kepada kehendak badan induk bola sepak negara.

“Saya tak kata takkan berlaku, kalau dia dapat pasport (Malaysia) atas sebab-sebab tersendiri, mungkin dia kahwin dengan orang Malaysia atau dia ada anak orang Malaysia.

“Tapi kalau nak ambil orang luar nak bagi pasport Malaysia, maaf saya pun tak setuju. Kalau dia bagus sangat mungkin kita boleh tengok, he’s got to be extraordinary," kata Tengku Abdullah selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Seminar Jurulatih dan Pe­ngadil Hoki di sini semalam.

Tengku Abdullah diminta mengulas mengenai hasrat seorang pemain kelahiran Brazil dan penyerang Selangor, Paulo Rangel untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila meledak 10 gol dalam 13 penampilan bersama skuad Red Giants dalam saingan Liga Super musim ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin me­nyatakan bahawa beliau tidak menyokong sebarang usaha untuk menggunakan khidmat pemain luar bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Tengku Abdullah menambah, beliau tidak bercakap mengenai mana-mana individu sebaliknya bercakap mengenai dasar dan polisi.

“Kami tak pernah berbincang pasal itu (naturalisasi) dalam FAM, tapi kita tak tahu masa depan, walau siapa pun presiden baharu (FAM)," titah baginda yang juga merupakan calon untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM, 25 Mei ini.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140505/su_04/Isu-naturalisasi-tak-pernah-timbul#ixzz30snsyFb1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah rantai Harimau

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my
 
Mohd. Amri Yahyah (kanan) cuba melepasi halangan pemain Pahang, R. Gopinathan pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
JOHOR BAHRU - Kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila membenarkan Pahang memperoleh ke­lebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berkesudahan 1-1, semalam.

Beraksi dengan sokongan 30,000 penonton di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, pa­sukan Harimau Selatan yang mengasak hebat sebaik sepak mula me­nguji benteng Tok Gajah yang kelihatan sedikit longlai dan kurang tersusun.

Kealpaan pertahanan Tok Gajah akhirnya dihukum tuan rumah de­ngan gol pembukaan pe­nyerang, Luciano Figueroa pada minit ke-12 yang merembat dari jarak dekat umpanan cantik sepakan percuma Safiq Rahim.

Tersentak dengan gol tersebut, Pahang kembali bangkit mengatur permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 melalui penyerang Matias Conti.

Gol penyamaan Pahang hadir menerusi sepakan Azidan Sarudin yang menemui Damion Stewart di bahagian kiri pintu gol JDT, sebelum pemain Jamaica itu melakukan tandukan yang disudahkan Conti untuk menewaskan Izham Tarmizi Roslan.

Aksi separuh akhir pertama sedikit tegang di penghujung babak pertama setelah Damion me­lakukan terjahan keras ke atas Figueroa yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan bercakaran sesama sendiri sebelum pengadil melayangkan kad kuning kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Saiful Nizam Miswan.

Sebaik babak kedua bermula, JDT terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan menerusi jentera serangan yang diketuai Figueroa, namun beberapa peluang yang diperolehi penyerang antarabangsa Argentina itu disia-siakan terutama seawal minit ke-47.

Pahang mempamer corak bertahan di sepanjang babak kedua bagi menyekat kemaraan Harimau Selatan mendapatkan gol kedua.

Gerakan terbaik Pahang untuk berada di depan hadir pada minit ke-63 melalui rembatan R. Gopinathan, namun sedikit tersasar ke arah sebelah kiri gawang JDT.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140506/su_02/Tok-Gajah-rantai-Harimau#ixzz30smCN9qF © Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, 2 May 2014

Muhammad Ziyad pahat sejarah tersendiri

 
 MUHAMMAD ZIYAD semakin meniti puncak kejayaan selepas kejayaannya meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon tahun lalu.

ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memahat satu lagi sejarah dalam kariernya.

Nama Muhammad Ziyad kini secara rasmi disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) 2014 menerusi Anugerah Pencapaian Sukan Luar Biasa (Individu).

Anugerah tersebut diraih selepas Muhammad Ziyad, 24, muncul sebagai atlet paralimpik pertama negara meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia.

Dia meraih emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis pada 22 Julai tahun lalu.

"Saya sangat bersyukur apabila diberikan anugerah terbesar ini. Secara jujur, saya langsung tidak menyangka boleh tersenarai dalam MBOR.

"Dengan anugerah ini, saya akan terus berusaha selagi kudrat saya ada dan akan pastikan cita-cita dan sasaran saya tercapai.

"Bagi mereka yang selalu menyokong, saya ucapkan terima kasih," kata Muhammad Ziyad kelmarin.

Atlet elit kelahiran Gombak, Selangor itu menempa nama di bumi Lyon tahun lalu apabila meraih emas dengan lontaran sejauh 15.32 meter (m).

Setahun sebelum itu, Muhammad Ziyad membawa pulang pingat gangsa pada temasya Sukan Paralimpik 2012 di London apabila merekodkan catatan 15.21m.

Pada Sukan Para ASEAN di Myanmar tahun lalu, Muhammad Ziyad meraih dua pingat emas.


Boeteng mahu pulih reputasi Kelantan

MISI memulihkan reputasi skuad Kelantan menjadi agenda utama Goerge Boeteng (gambar) sebaik memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih baharu skuad The Red Warriors itu pada Isnin lalu, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Menurutnya, keutamaan adalah untuk membina semula kekuatan pasukan yang dilihat agak terumbang-ambing sepanjang kempen Liga Super musim ini.

"Proses tersebut amat penting dalam usaha mengembalikan reputasi Kelantan bagi menghadapi baki saingan liga musim ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Lota Bharu semalam.

Menurutnya, pembinaan semula itu meliputi aspek kawalan bola bagi memastikan pasukannya mampu mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung.

"Saya mahu pemain menguasai perlawanan, ini kerana kita mempunyai ramai pemain yang bagus dan berkualiti sama ada tempatan mahupun import," katanya

Tambahnya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Kelantan mampu bangkit dalam perlawanan selepas ini walaupun mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar sebelum ini.

Jelasnya, dengan ramuan pemain yang ada, beliau optimis Kelantan mampu kembali ke landasan sebenar dalam baki saingan liga selepas ini.

Boeteng dilantik sebagai pengendali baharu The Red Warriors selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih sebelum ini, Steve Darby gara-gara prestasi hambar.

Bekas pemain kebangsaan Belanda itu turut memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain Kelantan yang begitu bersemangat ketika menjalani latihan di bawah kendaliannya.

Katanya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan selepas ini.

Boeteng bakal menempuh ujian pertamanya apabila Kelantan bakal menentang Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 6 Mei nanti.
RUJUKAN-

Atletico menanti detik bersejarah

 
PENYERANG Atletico, Diego Costa (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama-sama
rakan-rakan sepasukan ketika menentang Chelsea pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stamford Bridge awal pagi semalam.

LONDON - Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone berada dalam prospek terbaik menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini.

Awal pagi semalam, barisan kendalian Simeone megah mengesahkan tiket final Liga Juara-Juara selepas membenam Chelsea 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stamford Bridge.

Kemenangan itu menyaksikan Atletico mara ke final dengan agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Vicente Calderon minggu lalu.

Pada aksi final di Lisbon, Portugal 25 Mei ini, Atletico akan menentang jiran setempat, Real Madrid.

Real menempah tiket final apabila membenam penyandang juara, Bayern Munich dengan agregat 5-0 selepas menang besar 4-0 di Allianz Arena awal pagi Selasa lalu.

Pertembungan kedua-dua kelab Sepanyol itu juga sekali gus menyaksikan sejarah baharu dalam kempen Liga Juara-Juara apabila ia adalah final pertama menemukan pasukan dari bandar yang sama - Madrid.

Sebagai rekod, Atletico yang kini memimpin carta Liga Sepanyol dengan kelebihan empat mata di depan Real, berjaya menewaskan skuad The Galacticos itu buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun pada final Piala Raja Sepanyol musim lalu.

Bagi Simeone, beliau berharap kejayaan tersebut akan memberikan motivasi kepada anak-anak buahnya bagi menghadapi Real pada aksi final di Lisbon nanti.

"Saya tidak lihat rekod kemenangan Atletico terhadap Real sebelum ini sebagai kelebihan mahupun kelemahan kepada kami.

"Secara realiti, kami cukup mengenali antara satu sama lain dan memiliki rekod pertemuan yang cukup banyak dalam tempoh lama.

"Kami akan menentang salah satu kelab paling berkuasa di Eropah yang mana mereka masih segar dengan kejayaan bergaya (menewaskan Bayern pada aksi separuh akhir).

"Ia adalah satu pertarungan yang berbeza biarpun kami kerap berjumpa (dalam saingan Liga Sepanyol).

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini, kami semakin bersemangat untuk beraksi di pentas final Liga Juara-Juara nanti," kata Simeone. - AFP

Suhu panas cairkan salji

Susunan MOHAMMAD HAFIZ AHMAD
rencana@kosmo.com.my
 
PERUBAHAN cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur Gunung Everest.

HARAPAN seorang gadis berumur 17 tahun untuk menjadi warga Australia termuda menakluki puncak tertinggi dunia di Gunung Everest, Himalaya terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan berbahaya yang telah meragut 16 nyawa baru-baru ini.

Namun, semangat membara dalam diri Alyssa Azar tidak terus padam, malah terus menyala dan berjanji untuk kembali melunaskan impian pada masa hadapan.

“Terlalu banyak perkara di luar kawalan saya. Isu keselamatan diri dan keadaan pergunungan itu sendiri tidak membenarkan pendaki untuk meneruskan misi,” ujarnya menerusi laman sosial, Facebook.

Dia yang telah bersiap siaga menanti giliran mendaki terpaksa menurut aturan alam itu dan mula mengemas barang-barang yang turut diikuti hampir 70 peratus kumpulan ekspedisi dari seluruh negara.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa pada Sabtu lalu, sebanyak 15 kumpulan meninggalkan Kem Induk Everest (EBC) dan selebihnya masih menunggu masa untuk berkemas.

Tahun ini, kerajaan Nepal telah mengeluarkan 334 permit individu untuk 39 kumpulan bagi kebenaran mendaki gunung yang berketinggian 8,850 meter dari paras laut itu.

Detik hitam terburuk dalam sejarah pendakian Everest itu mengorbankan sekumpulan Sherpa yang mengikuti misi ekspedisi pada 18 April lalu. Tiga cedera teruk dan masih dalam rawatan.

Kemalangan itu berlaku akibat runtuhan salji ketika mereka sedang memecahkan ais dan membetulkan tali untuk menuju ke Khumbu Icefall.

Sherpa merupakan suku kaum di pergunungan Himalaya yang tinggal di sempadan Nepal dan Tibet. Kemahiran mendaki gunung membolehkan mereka menjadi pengiring, pemandu arah dan pembawa barang untuk pendaki gunung dari luar negara.

Setakat ini, lebih 200 kes kematian dilaporkan pada ketinggian 8,000 kilometer dan ia tidak termasuk mangsa yang hilang dan tidak ditemui.

Namun begitu, mengikut kenyataan pendaki dan penulis, Alan Arnete, isu keselamatan di pergunungan itu semakin baik menerusi penurunan ratio kematian dari 5.6 peratus pada tahun 1900-an kepada 1.5 peratus pada tahun 2000-an.


AHLI keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi di Gunung Everest menyalakan lampu minyak di dalam kuil di Kathmandu.

Struktur gunung

Mengulas aspek keselamatan dan geografi Gunung Everest, Panel Antarakerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) ada mengeluarkan amaran bulan lalu bahawa perubahan cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur gunung tersebut.

Menurut kenyataan IPCC, perubahan cuaca yang disebabkan oleh tindakan penduduk dunia telah merombak kondisi cuaca sukar diramal.

Para saintis memberi amaran perubahan itu telah meningkatkan kadar bahaya di kawasan beraltitud tinggi. Ini bermaksud akan berlakunya banyak runtuhan salji yang memberi kesan kepada keadaan batu-batu untuk pendakian dan pencairan glasier.

Suhu global meningkat kepada 1.4 darjah Fahrenheit (tukar Celcius) sejak Revolusi Industri berabad lalu yang menyebabkan suhu di Himalaya memanas tiga kali lebih tinggi.

“Jika suhu berterusan meningkat, perubahan pada glasier akan berlaku yang membawa kepada bencana kepada pendaki,” ujar pakar hidrologi dari Universiti Arizona, Jeff Kargel yang melakukan kajian mengenai perubahan glasier di Himalaya.

Sebagai penghormatan kepada rakan-rakan yang terkorban, komuniti Sherpa seramai 600 itu telah melakukan pemboikotan dengan harapan semua misi ekspedisi tahun ini dihentikan.

Kemarahan dan kekecewaan mereka turut dijana daripada tindakan tidak berperikemanusiaan pihak pemerintah Himalaya yang lambat memberikan respons.

Dalam satu pertemuan tergempar antara syarikat ekspedisi, ketua Sherpa dan kerajaan yang berlangsung selama tiga jam telah memutuskan untuk membatalkan semua ekspedisi tahun ini.

Pihak pemerintah juga memberikan pampasan sebanyak RM1,811 kepada keluarga mangsa untuk digunakan untuk acara pengebumian. Selain itu, permit untuk Sherpa dan kumpulan ekspedisi dilanjutkan selama lima tahun.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat diterima oleh ahli keluarga kerana ia tidak setimpal dengan risiko yang dihadapi oleh Sherpa.

Seorang Sherpa tidak hanya menjadi pemandu arah, malah menjadi tukang masak dan menjadi pakar untuk membetulkan tali dan tangga di setiap puncak.

Upah untuk satu musim yang mengambil masa antara dua hingga tiga bulan itu adalah sebanyak RM9,798 hingga RM19,596.

Mereka hanya menerima RM32,659 insurans hayat dan perlindungan perubatan sebanyak RM9,798 yang dikatakan tidak mencukupi untuk menyewa helikopter ke kem induk ketika berlaku kecemasan.


DAWA TASHI masih menerima rawatan di hospital selepas diselamatkan dalam satu tragedi di Gunung Everest pada pertengahan April lalu.

Royalti

Para sherpa sering mempersoalkan royalti yang diterima kerajaan sebanyak RM32,659 untuk satu kumpulan seramai tujuh orang.

Kos keseluruhan bagi seorang pendaki adalah antara RM130,639 hingga RM293,939 bergantung kepada jumlah pemandu arah dan servis tambahan.

Industri pelancongan merupakan salah satu sektor utama ekonomi Nepal. Ia mengumpul RM10.78 juta untuk musim pendakian tahun ini. Namun, negara itu terus berdepan dengan masalah kemiskinan.

Bidang pekerjaan sebagai pemandu arah ke Gunung Everest merupakan dilihat memberi pulangan yang tinggi kepada kebanyakan penduduk di sekitar Himalaya.

Walaupun jumlah upah semakin menurun, mereka masih sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyara kehidupan seisi keluarga.

“Kami datang ke sini adalah disebabkan kerana bayaran. Pembatalan musim pendakian tahun ini pasti memberi kesan yang teruk kepada ekonomi keluarga,” ujar sherpa Lam Babu kepada AFP.

Bagi Tenzing Chottar, Sherpa yang pertama kali menyertai ekspedisi Everest, upah tersebut akan disalurkan kepada pendidikan anak ke sekolah swasta.

Dalam perbualannya bersama isteri, Ang Dali Sherpa, dia berpesan supaya Ang Dali menjaga anak-anak mereka sebaik mungkin.

“Dia kata banyak bersabar dengan kelakuan anak perempuan kami yang sangat nakal,” ujar ibu kepada dua orang anak itu. Malangnya, Tenzing merupakan antara tiga orang pemandu arah yang cedera teruk.

“Saya mahukan masa depan cerah kepada anak-anak dan tidak sesekali membenarkan mereka menjadi seorang pemandu arah,” luah Ang Dali.

Ketika acara pengebumian di Kathmandu, seorang wanita yang suaminya terselamat daripada runtuhan, berkata walaupun berdepan dengan pelbagai risiko, etnik Sherpa tetap tidak akan meninggalkan pekerjaan itu.

“Gunung Everest adalah sumber mata pencarian kami. Tragedi ini sangat menyedihkan tetapi kami tiada pilihan lain,” kata Sarkini.

Thursday, 1 May 2014

Al-Masudi Ahli Geografi dan Tokoh Pelayaran Islam.

oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Nama penuh Al-Mas'udi ialah Abu al-Hassan Ali bin Husayn binAli al-Mas'udi. Beliau dilahirkan di kota Baghdad pada 283 H. atau 895 M.. Beliau berketurunan Arab. Beliau pernah menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Penjelajahan beliau bermula dari Parsi pada tahun 914 M.. Kemudian beliau meneruskan pelayaran ke India, Sri Lanka, Indo-China hingga ke China. Dalam perjalanan pulang,beliau pemah singgah di Madagascar, Zanzibar,Sudan, Oman dan Basrah. Semasa beliau berada di Fustat, beliau telah mengarang Akhbar al-Zaman yang mengandungi 30 jilid.Kandungan kitab ini adalah tentang cerita-cerita sejarah. Berdasarkan pengalaman dan pengembaraan, beliau telah banyak membuat penyelidikan. Hasil penyelidikannya dapat dilihat dalam bidang geografi.

      Antara sumbangan beliau yang amat terkenal ialah karya agungnya, iaitu kitab Muruj al-Dhahab.Kitab ini boleh dianggap sebagai sebuah ensiklopedia geografi. Kitab ini turut menggabungkan geografi fizikal dengan geografi manusia. Beliau cuba menggabungkan disiplin geografi dengan disiplin sejarah agar kajiannya lebih menarik dan relevan. Beliau juga memberikan gambaran tentang gempa bumi, perairan Laut Mati dan tajuk-tajuk geologi yang lain.

      Sumbangan Al-Mas'udi yang seterusnya ialah sokongannya untuk teori Determinisme Alam Sekitar. Beliau menyokong tanggapan bahawa faktor persekitaran, iaitu iklim yang dipengaruhi oleh planet mempunyai pengaruh yangrapat dengan sikap manusia. Menurut beliau, matahari dan bulan dikatakan menentukan nasib atau jalan hidup orang dari utara dan merupakan sebab mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam peperangan manakala orang dari selatan mempunyai sifat yang lebih tafakur dan sederhana.

      Beliau juga membahagikan dunia kepada dua bahagian, iaitu bahagian Barat di kawasan
garis lintang tinggi yang dipengaruhi oleh bulan.Penduduk di kawasan ini juga dikatakan panjang umur. Bahagian yang satu lagi ialah bahagian Timur, iaitu di garis lintang pertengahan.

       Al-Mas'udi juga menerangkan perkaitan antara sikap dengan penghidupan manusia. Beliau juga mengaitkan fenomena alam semula jadi dengan kehidupan manusia. Penyelidikannya adalah tentang perwatakan dan gaya hidup puak Arab Badwi. Beliau mengatakan ketegasan dan kecergasan tubuh badan orang Arab Badwi adalah dikaitkan dengan kualiti alam sekitar dan tempat tinggal mereka. Beliau juga berpendapat bahawa iklim juga memainkan pengaruh yang penting. Misalnya, kulit orang Turki yang tinggal di India tidak serupa dengan kulit orang Turki yang tinggal di Turki.

      Al-Mas'udi juga membuat kajian tentang tanah fay. Tanah fay ialah tanah yang diperoleh oleh orang Islam tanpa peperangan. Beliau cuba mengkaji perbezaan wilayah-wilayah ini. Beliau
juga mengkaji flora dan fauna yang terdapat di India, iaitu kawasan di tepi Laut Combay.Dalam aspek geografi kawasan, beliau cuba menerangkan secara terperinci tentang beberapa kawasan di India seperti wilayah Sind dan Makran.

      Aspek penting dalam sumbangan al-Mas'udi ialah metodologi beliau dalam kajian geografi.
Pendekatan beliau berbeza daripada pengkajipengkaji yang lain. Beliau menggabungkan disiplin
geografi dengan disiplin sejarah atau disiplin sosiologi. Beliau juga menggunakan pengetahuan geografinya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelaut.


      Kesimpulnnya,Al-Mas'udi bukan sahaja memberikan sumbangan yang besar dalam bidang geografi tetapi juga dalam bidang pelayaran dan sejarah. Sumbangan beliau secara tidak langsung memberikan manfaat kepada orang Islam serta memberikan gambaran tentang kemajuan umat Islam.