PENYERANG Atletico, Diego Costa (dua dari kiri) meraikan jaringannya
bersama-sama
rakan-rakan sepasukan ketika menentang Chelsea pada aksi separuh akhir
kedua Liga Juara-Juara di Stamford Bridge awal pagi semalam.
LONDON - Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone berada dalam prospek
terbaik menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini.
Awal pagi semalam, barisan kendalian Simeone megah mengesahkan tiket final
Liga Juara-Juara selepas membenam Chelsea 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di
Stamford Bridge.
Kemenangan itu menyaksikan Atletico mara ke final dengan agregat 3-1
selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir
pertama di Vicente Calderon minggu lalu.
Pada aksi final di Lisbon, Portugal 25 Mei ini, Atletico akan menentang
jiran setempat, Real Madrid.
Real menempah tiket final apabila membenam penyandang juara, Bayern Munich
dengan agregat 5-0 selepas menang besar 4-0 di Allianz Arena awal pagi Selasa
lalu.
Pertembungan kedua-dua kelab Sepanyol itu juga sekali gus menyaksikan
sejarah baharu dalam kempen Liga Juara-Juara apabila ia adalah final pertama
menemukan pasukan dari bandar yang sama - Madrid.
Sebagai rekod, Atletico yang kini memimpin carta Liga Sepanyol dengan
kelebihan empat mata di depan Real, berjaya menewaskan skuad The Galacticos itu
buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun pada final Piala Raja Sepanyol musim
lalu.
Bagi Simeone, beliau berharap kejayaan tersebut akan memberikan motivasi
kepada anak-anak buahnya bagi menghadapi Real pada aksi final di Lisbon nanti.
"Saya tidak lihat rekod kemenangan Atletico terhadap Real sebelum ini
sebagai kelebihan mahupun kelemahan kepada kami.
"Secara realiti, kami cukup mengenali antara satu sama lain dan
memiliki rekod pertemuan yang cukup banyak dalam tempoh lama.
"Kami akan menentang salah satu kelab paling berkuasa di Eropah yang
mana mereka masih segar dengan kejayaan bergaya (menewaskan Bayern pada aksi
separuh akhir).
"Ia adalah satu pertarungan yang berbeza biarpun kami kerap berjumpa
(dalam saingan Liga Sepanyol).
"Apa yang boleh saya katakan ketika ini, kami semakin bersemangat
untuk beraksi di pentas final Liga Juara-Juara nanti," kata Simeone. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo
ONLINE 2.5.2014
No comments:
Post a Comment