Ad

Friday, 2 May 2014

Suhu panas cairkan salji

Susunan MOHAMMAD HAFIZ AHMAD
rencana@kosmo.com.my
 
PERUBAHAN cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur Gunung Everest.

HARAPAN seorang gadis berumur 17 tahun untuk menjadi warga Australia termuda menakluki puncak tertinggi dunia di Gunung Everest, Himalaya terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan berbahaya yang telah meragut 16 nyawa baru-baru ini.

Namun, semangat membara dalam diri Alyssa Azar tidak terus padam, malah terus menyala dan berjanji untuk kembali melunaskan impian pada masa hadapan.

“Terlalu banyak perkara di luar kawalan saya. Isu keselamatan diri dan keadaan pergunungan itu sendiri tidak membenarkan pendaki untuk meneruskan misi,” ujarnya menerusi laman sosial, Facebook.

Dia yang telah bersiap siaga menanti giliran mendaki terpaksa menurut aturan alam itu dan mula mengemas barang-barang yang turut diikuti hampir 70 peratus kumpulan ekspedisi dari seluruh negara.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa pada Sabtu lalu, sebanyak 15 kumpulan meninggalkan Kem Induk Everest (EBC) dan selebihnya masih menunggu masa untuk berkemas.

Tahun ini, kerajaan Nepal telah mengeluarkan 334 permit individu untuk 39 kumpulan bagi kebenaran mendaki gunung yang berketinggian 8,850 meter dari paras laut itu.

Detik hitam terburuk dalam sejarah pendakian Everest itu mengorbankan sekumpulan Sherpa yang mengikuti misi ekspedisi pada 18 April lalu. Tiga cedera teruk dan masih dalam rawatan.

Kemalangan itu berlaku akibat runtuhan salji ketika mereka sedang memecahkan ais dan membetulkan tali untuk menuju ke Khumbu Icefall.

Sherpa merupakan suku kaum di pergunungan Himalaya yang tinggal di sempadan Nepal dan Tibet. Kemahiran mendaki gunung membolehkan mereka menjadi pengiring, pemandu arah dan pembawa barang untuk pendaki gunung dari luar negara.

Setakat ini, lebih 200 kes kematian dilaporkan pada ketinggian 8,000 kilometer dan ia tidak termasuk mangsa yang hilang dan tidak ditemui.

Namun begitu, mengikut kenyataan pendaki dan penulis, Alan Arnete, isu keselamatan di pergunungan itu semakin baik menerusi penurunan ratio kematian dari 5.6 peratus pada tahun 1900-an kepada 1.5 peratus pada tahun 2000-an.


AHLI keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi di Gunung Everest menyalakan lampu minyak di dalam kuil di Kathmandu.

Struktur gunung

Mengulas aspek keselamatan dan geografi Gunung Everest, Panel Antarakerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) ada mengeluarkan amaran bulan lalu bahawa perubahan cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur gunung tersebut.

Menurut kenyataan IPCC, perubahan cuaca yang disebabkan oleh tindakan penduduk dunia telah merombak kondisi cuaca sukar diramal.

Para saintis memberi amaran perubahan itu telah meningkatkan kadar bahaya di kawasan beraltitud tinggi. Ini bermaksud akan berlakunya banyak runtuhan salji yang memberi kesan kepada keadaan batu-batu untuk pendakian dan pencairan glasier.

Suhu global meningkat kepada 1.4 darjah Fahrenheit (tukar Celcius) sejak Revolusi Industri berabad lalu yang menyebabkan suhu di Himalaya memanas tiga kali lebih tinggi.

“Jika suhu berterusan meningkat, perubahan pada glasier akan berlaku yang membawa kepada bencana kepada pendaki,” ujar pakar hidrologi dari Universiti Arizona, Jeff Kargel yang melakukan kajian mengenai perubahan glasier di Himalaya.

Sebagai penghormatan kepada rakan-rakan yang terkorban, komuniti Sherpa seramai 600 itu telah melakukan pemboikotan dengan harapan semua misi ekspedisi tahun ini dihentikan.

Kemarahan dan kekecewaan mereka turut dijana daripada tindakan tidak berperikemanusiaan pihak pemerintah Himalaya yang lambat memberikan respons.

Dalam satu pertemuan tergempar antara syarikat ekspedisi, ketua Sherpa dan kerajaan yang berlangsung selama tiga jam telah memutuskan untuk membatalkan semua ekspedisi tahun ini.

Pihak pemerintah juga memberikan pampasan sebanyak RM1,811 kepada keluarga mangsa untuk digunakan untuk acara pengebumian. Selain itu, permit untuk Sherpa dan kumpulan ekspedisi dilanjutkan selama lima tahun.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat diterima oleh ahli keluarga kerana ia tidak setimpal dengan risiko yang dihadapi oleh Sherpa.

Seorang Sherpa tidak hanya menjadi pemandu arah, malah menjadi tukang masak dan menjadi pakar untuk membetulkan tali dan tangga di setiap puncak.

Upah untuk satu musim yang mengambil masa antara dua hingga tiga bulan itu adalah sebanyak RM9,798 hingga RM19,596.

Mereka hanya menerima RM32,659 insurans hayat dan perlindungan perubatan sebanyak RM9,798 yang dikatakan tidak mencukupi untuk menyewa helikopter ke kem induk ketika berlaku kecemasan.


DAWA TASHI masih menerima rawatan di hospital selepas diselamatkan dalam satu tragedi di Gunung Everest pada pertengahan April lalu.

Royalti

Para sherpa sering mempersoalkan royalti yang diterima kerajaan sebanyak RM32,659 untuk satu kumpulan seramai tujuh orang.

Kos keseluruhan bagi seorang pendaki adalah antara RM130,639 hingga RM293,939 bergantung kepada jumlah pemandu arah dan servis tambahan.

Industri pelancongan merupakan salah satu sektor utama ekonomi Nepal. Ia mengumpul RM10.78 juta untuk musim pendakian tahun ini. Namun, negara itu terus berdepan dengan masalah kemiskinan.

Bidang pekerjaan sebagai pemandu arah ke Gunung Everest merupakan dilihat memberi pulangan yang tinggi kepada kebanyakan penduduk di sekitar Himalaya.

Walaupun jumlah upah semakin menurun, mereka masih sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyara kehidupan seisi keluarga.

“Kami datang ke sini adalah disebabkan kerana bayaran. Pembatalan musim pendakian tahun ini pasti memberi kesan yang teruk kepada ekonomi keluarga,” ujar sherpa Lam Babu kepada AFP.

Bagi Tenzing Chottar, Sherpa yang pertama kali menyertai ekspedisi Everest, upah tersebut akan disalurkan kepada pendidikan anak ke sekolah swasta.

Dalam perbualannya bersama isteri, Ang Dali Sherpa, dia berpesan supaya Ang Dali menjaga anak-anak mereka sebaik mungkin.

“Dia kata banyak bersabar dengan kelakuan anak perempuan kami yang sangat nakal,” ujar ibu kepada dua orang anak itu. Malangnya, Tenzing merupakan antara tiga orang pemandu arah yang cedera teruk.

“Saya mahukan masa depan cerah kepada anak-anak dan tidak sesekali membenarkan mereka menjadi seorang pemandu arah,” luah Ang Dali.

Ketika acara pengebumian di Kathmandu, seorang wanita yang suaminya terselamat daripada runtuhan, berkata walaupun berdepan dengan pelbagai risiko, etnik Sherpa tetap tidak akan meninggalkan pekerjaan itu.

“Gunung Everest adalah sumber mata pencarian kami. Tragedi ini sangat menyedihkan tetapi kami tiada pilihan lain,” kata Sarkini.

No comments:

Post a Comment