05 Jun 2016 12:25 AM
MUHAMMAD ALI
MUHAMMAD Ali mungkin telah
melakar banyak kejutan sepanjang kariernya yang hebat, namun kejutan sebenar
yang dilakukan legenda tinju dunia itu adalah apabila dia memilik untuk memeluk
Islam pada 1964, hanya dua hari selepas bergelar juara dunia buat kali pertama.
Menggunakan nama Cassius
Marcellus Clay Jr., yang mewakili penentangan terhadap penghambaan di Amerika
Syarikat, Ali bagaimanapun menukar kepada nama Islam selepas menjalin kerjasama
dengan Nation of Islam sebuah pertubuhan yang membantu membaiki gaya hidup
masyarakat kulit hitam.
Pada mulanya, pengumuman
mengejut Ali untuk memeluk Islam sukar diterima masyarakat barat, malah dalam
kalangan media mereka tetap menggunakan nama Cassius dan enggan menyebut nama
Muhammad Ali dalam artikel mereka.
Ali pernah mendedahkan tentang
hasrat menggunakan populariti yang ditempa untuk mendedikasikan diri kepada
Allah dan melakukan kebaikan selain menyatukan manusia selepas menamatkan
karier dalam sukan itu.
Perkara itu didedahkan menerusi
satu wawancara televisyen di Newcastle, England pada 1977, kira-kira empat
tahun sebelum bersara, apabila Ali diajukan soalan oleh seorang peminat cilik
yang menyentuh tentang perancangannya selepas bersara daripada dunia tinju.
“Bersedia untuk bertemu Allah,”
jawab petinju itu dengan penuh ketenangan dan keyakinan.
Sambil menyentuh tentang soal
kepercayaan agama dalam kalangan penonton, Ali tidak teragak-agak menolak
peluang kekayaan yang boleh diperolehi daripada bidang pelaburan dalam bidang
hartanah, perniagaan atau mengajar tinju kerana baginya kemewahan tidak akan
membawanya ke syurga.
Tambahnya, dia akan sedaya
upaya untuk membantu orang lain kerana Allah sentiasa memerhati setiap
tindak-tanduknya.
“Allah tidak kisah tentang saya
menewaskan Joe Frazier.
“Begitu juga England atau
Amerika Syarikat (AS) seperti yang dibimbangi kita, sebaliknya Allah hanya
menilai bagaimana kita membantu satu sama lain.
“Saya mahu mendedikasikan
seluruh kehidupan saya membantu pusat kebajikan, membantu orang lain,
menyatukan masyarakat dan menjadikan dunia ini lebih aman.
“Jika saya mati, dan masuk ke
syurga, saya mahu melihat hasilnya,” katanya.
Ternyata Ali menetapi janjinya
apabila menggunakan kemashyuran tersebut menerusi anak perempuannya, Hana Ali
untuk mempromosikan keamanan, toleransi dan nilai kemanusiaan di seluruh
dunia.– AGENSI
• Nama : Mohammad Ali (sebelum
masuk Islam pada 1964, dikenali sebagai Cassius Marcellus Clay Jr.)
• Gelaran : The Greatest (Yang
Terhebat)
• Tarikh Lahir : 17 Januari
1942
• Tempat Lahir : Louisville,
Kentucky, Amerika Syarikat
• Isteri : Yolanda Williams
• Anak: Laila Ali, Rasheda Ali,
Hana Ali, Asaad Amin (anak angkat), Maryum Ali, Jamillah Ali, Khaliah Ali,
Muhammad Ali Jr., Miya Ali
• Kerjaya : Peninju (bersara
pada 1981)
• Rekod Kerjaya : 56
kemenangan, 37 daripadanya menerusi knock-out dan hanya tewas lima kali
• Pencapaian Terbaik : Juara
tiga kali Kejohanan Heavyweight Dunia.
• Anugerah Terbaik : Atlet
Lelaki Terbaik Abad ke-20
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/kejutan-terbesar-ali-adalah-memeluk-islam-1.338672#sthash.9SbIpOn4.dpuf
No comments:
Post a Comment