Rizar Mohd Noor -rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Harimau Malaysia
tidak menghadapi masalah untuk mencipta kemenangan apabila menewaskan Timor
Leste 3-0 dan layak ke saingan kelayakan kumpulan Piala Asia dengan agregat 6-0
pada aksi di Stadium Larkin, malam tadi.
Gol yang dihasilkan menerusi
Khair Jones pada babak pertama dan dua gol pada babak kedua menerusi Hazwan
Bakri dan pemain gantian S Chanthuru membuktikan betapa percaturan Datuk Ong
Kim Swee serba menjadi pada aksi kedua saingan play-off kelayakan Piala Asia.
Dengan membariskan barisan
pemain yang sama ketika menewaskan Timor Leste 3-0 pada aksi pertama Khamis
lalu, Kim Swee hanya melakukan perubahan di posisi sayap kiri apabila
meletakkan Khair menggantikan Christie Jeyaseelan bagi menguatkan lagi posisi
itu.
Harimau Malaysia yang hadir
selaku pelawat pada aksi itu hampir memecah kebuntuan pada minit ke-10 apabila
rembatan awal Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ditampan penjaga gol Ramos
Maxanches namun rembatan susulan Amirulhadi Zainal masih belum mampu mencipta
jaringan.
Selepas mengasak bertubi-tubi,
anak didik Kim Swee berjaya meleraikan jaringan pada minit ke-15 berpunca
daripada sepakan lintang S Kunanlan cuba dirembat Hazwan, namun bola lemah itu
singgah ke kaki Khair yang tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan
Maxanches.
Selang dua minit kemudian,
Amirulhadi sepatutnya melebarkan jaringan namun bola rembatan deras hanya
melepasi palang gol selepas menerima bola umpanan Fazly Mazlan.
Tersentak dengan jaringan itu,
anak buah Fabio Maciel mula mengatur serangan dan pada minit ke-23 bola
rembatan Paulo Heleber dari jarak 30 meter mencemaskan pintu gol Harimau
Malaysia namun penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sempat melayangkan badan untuk
menepis bola keluar.
Hazwan terlepas peluang terbaik
untuk mencipta jaringan pada minit ke-28 apabila bola lorongan dari Khair
dirembat kencang namun Maxanches sudah bersedia menangkap bola kemas.
Bersambung babak kedua, Kim
Swee melakukan perubahan di posisi sayap kiri apabila memasukkan Chanthuru dan
mengeluarkan Khair untuk menambah sengat di posisi itu dalam usaha menambah
jaringan.
Timor Leste tampak begitu
agresif untuk memburu gol penyamaan apabila bola sepakan percuma Junior De
Souza pada minit ke-54 tepat ke pintu gol, namun Izham lebih tangkas menepis
bola keluar.
Namun, Harimau Malaysia
bagaikan melenyapkan sisa perjuangan Timor Leste apabila bola sepakan lintang
Azrif tepat kepada Hazwan yang menanduk kencang menewaskan Maxanches yang
sekadar tergamam melihat bola menerjah jaring.
Pada minit ke-68, giliran
Chanthuru mencetak nama selaku penjaring apabila menyudahkan bola sepakan
lintang Kunanlan menyaksikan Maxanches tewas buat kali ketiga, sekali gus
memastikan Harimau Malaysia menewaskan Timor Leste 3-0 dan mara ke pusingan
seterusnya dengan agregat 6-0.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:49 AM
HAZWAN (kanan) meraikan
jaringan bersama rakan sepasukan.
No comments:
Post a Comment