7 Mac 2015
drone drone
KUALA LUMPUR - Tindakan
menerbangkan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) boleh mengancam
keselamatan awam, membahayakan operasi
penerbangan dan keselamatan
negara.
Ketua Pengarah Jabatan
Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, ia juga
melanggar privasi orang ramai.
Selasa lalu, DCA mengeluarkan
amaran melarang tindakan menerbangkan dron atau UAV di kawasan lapangan terbang
kerana ia merupakan kesalahan mengikut
Akta Penerbangan Awam 1969.
Tindakan segera itu diambil
berikutan foto dari udara dipercayai dirakam melalui penggunaan dron memaparkan
dua pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk
mendarat, menjadi viral setelah dimuat naik di laman media sosial sehingga
menimbulkan kebimbangan orang ramai dan kemarahan warga internet yang
berpandangan bahawa penggunaan dron di KLIA itu membahayakan dan boleh
mengakibatkan nahas udara.
"Kita khuatir ia boleh
membawa kamera atau barang yang tidak diingini dan terbang di tempat larangan,
tempat-tempat sulit seperti kawasan rumah pemimpin negara, penjara, atau di
sekitar kawasan fasiliti kerajaan yang akhirnya boleh menggugat keselamatan
orang awam," katanya kepada Bernama.
Azharuddin berkata,
penyalahgunaan dron juga mampu menjurus kepada berlakunya situasi pencerobohan
terhadap hak privasi apabila pengguna merakam video atau gambar tanpa kebenaran.
"Sebenarnya dron tidak
boleh terbang bukan sahaja di lapangan terbang, malah di kawasan yang mempunyai
ramai orang tanpa kebenaran DCA," katanya.
Beliau berkata, DCA mewajibkan
setiap dron yang ingin terbang untuk memohon kebenaran supaya penerbangan dron
itu dapat dipantau dari segi jarak dan ketinggian agar tidak membahayakan ruang
udara.
"Kalau terbang di kawasan
orang ramai dan dron itu mempunyai masalah hingga menyebabkan ia jatuh tentu
memburukkan keadaan, tujuan kita beri kebenaran supaya kita dapat pantau
penerbangan dron itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak
menafikan terdapat banyak kebaikan yang diperoleh daripada penggunaan pesawat
kawalan jauh itu yang kini mudah didapati dengan harga berpatutan.
"Saya tak nafikan ada
kebaikannya penggunaan dron ini seperti waktu bencana banjir yang melanda
negara tempoh hari, dron digunakan untuk terbang ke kawasan yang terputus
hubungan dan sukar untuk penghantaran bantuan," kata Azharuddin.
Sehubungan itu, bagi
meningkatkan kesedaran peminat dan pemilik dron, DCA akan mengadakan satu
taklimat khas dalam masa terdekat yang akan memperincikan peraturan dan
larangan terhadap penggunaan dan operasi penerbangan dron dan UAV.
Azharuddin berkata, sesi khas
oleh DCA tentang penggunaan dron atau UAV juga akan diadakan di Pameran Udara
dan Maritim Antarabangsa Langkawi Ke-13 (LIMA '15) yang bermula pada 17 hingga
21 Mac depan.
Katanya, DCA juga kini sedang
mengkaji semula pembaharuan terhadap Pekeliling Maklumat Aeronautika (AIC)
4/2008 yang akan ditambah dengan peraturan baharu berkaitan penggunaan dron.
Sementara itu, pengarah
eksekutif sebuah syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan sinematografi
resolusi tinggi pemetaan udara menggunakan dron, Khairul Ariffin Mohd Aris
berkata taklimat itu nanti dapat meningkatkan kesedaran pengguna mengenai
perkara tersebut.
Beliau berkata, sebagai
pengguna dron untuk tujuan komersial, pihaknya sentiasa mematuhi peraturan yang
ditetapkan DCA berbanding pihak yang menggunakan dron sebagai hobi yang ternyata kurang jelas
mengenai peraturan penggunaan UAV ini.
"Kami yang menggunakan
dron untuk tujuan komersial memang sedia maklum berhubung peraturan DCA tentang
penggunaan dron ini," katanya. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7.3.2015
No comments:
Post a Comment