Ad

Monday, 9 March 2015

‘Saya bukan wira’

Oleh Rizar Mohd Noor rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Saya hanya melaksanakan tugas untuk pastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) meraih kemenangan,” kata kapten Safiq Rahim.

Malah Safiq yang ditemui juga tidak mahu dilabel sebagai wira sebaliknya menganggap dua gol yang dijaringkan pada babak pertama berpunca daripada kerjasama rakan sepasukan untuk memastikan Johor DT menewaskan Sarawak 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

Katanya, kekecewaan untuk meneruskan perjuangan pada saingan Piala FA dijadikan motivasi oleh semua pemain Johor DT untuk memburu kemenangan dan mengelak daripada terus dikecewakan.

“Kesungguhan dan kerjasama rakan sepasukan menjadi nadi utama Johor DT mencipta kemenangan dan saya anggap memang rezeki pada perlawanan itu apabila menjaringkan dua gol sekali gus memastikan tiga mata milik kami.

“Kami mahu melupakan detik hitam apabila tersingkir awal pada saingan Piala FA dan ia menjadi kekuatan semangat untuk mempamerkan aksi terbaik malah apa yang diusahakan itu membuahkan hasil.

“Jadual perlawanan yang padat menganggu rentak permainan saya dan rakan sepasukan tetapi kami lupakan kepenatan dan beraksi dengan konsisten untuk mengelak daripada tewas kepada Sarawak,” katanya.

Safiq menambah, pada pertembungan menentang Sarawak, moral pemain Johor DT begitu tinggi dan semangat itu membantu rakan sepasukan beraksi dengan tenang dan menidakkan penguasaan pasukan lawan di awal babak pertama.

Dia yang bergandingan bersama Hariss Harun dan Junior Eldstal berjaya menyekat penguasaan pemain tengah Sarawak turut menegaskan faktor disiplin ketika beraksi di padang menambahkan lagi keyakinan pemain untuk mencatat kemenangan

“Tidak kira siapa yang jaringkan gol dan pada perlawanan itu rezeki memihak kepada saya malah tanpa bantuan rakan sepasukan sudah pasti saya tidak hasilkan jaringan itu dan saya yakin kita sudah bersedia untuk menempuh saingan Piala AFC menentang Balestier Khalsa, malam esok,” kata Safiq.

Sementara itu ketua jurulatih Bojan Hodak lega selepas skuad bimbingannya menepati ramalan mencatat kemenangan walaupun aksi 20 minit di awal babak pertama kesebelasan utama yang diturunkan tampak gugup apabila penguasaan milik skuad bimbingan Robert Alberts.

Beliau menambah pertembungan menentang Sarawak lebih terarah kepada corak permainan fizikal sehingga sukar pemain Johor DT mendominasi penguasaan di posisi tengah dan kesempatan itu diambil pasukan pelawat untuk menjaringkan gol pada minit ke-26 menerusi Billy Mehmet.

“Sebaik gol dijaringkan oleh Sarawak, pemain Johor DT kembali menguasai perlawanan dan bertindak mengatur serangan dan usaha berterusan itu membuahkan hasil untuk menyamakan jaringan menerusi sepakan percuma Safiq Rahim m-39 dan seterusnya gol kemenangan m-42.

“Memang sukar untuk berdepan pasukan yang yang mengamalkan corak taktikal fizikal dan pemain saya seolah-olah hilang konsentrasi namun kebangkitan yang dilakukan amat membanggakan,” katanya.

Kini tumpuan Johor DT membuat persiapan berdepan Balestier Khalsa dan Hodak belum putuskan sama ada mahu mengekalkan kesebelasan sama atau membuat rombakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:23 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/35633#sthash.rEw3yrJr.dpuf

No comments:

Post a Comment