ROSILAWATI ROSEDI
2 Mac 2015
Usah sia-sia peluang di Kuantan
Zainal percaya aksi berdepan JDT satu cabaran sukar bagi kedua-dua pasukan.
PENGENDALI Tok Gajah, Zainal
Abidin Hassan mahu anak-anak buahnya tidak mensia-siakan peluang beraksi di
laman sendiri, sekali gus memastikan kemenangan apabila melayan kunjungan
Harimau Selatan aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini,
malam ini.
Menurutnya, kemenangan menjadi
buruan Tok Gajah untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan pertemuan menentang
Johor Darul Ta’aim (JDT) itu pastinya mengundang aksi sengit daripada kedua-dua
pasukan.
“Aksi di laman sendiri perlu
digunakan sebaik mungkin dan walaupun memang kita mengakui ada sedikit
kepenatan, namun ia bukan menjadi alasan untuk cepat mengalah.
“Malah dengan kejayaan pasukan
melakar kemenangan ke atas Yadarnabon FC pada Rabu lalu, memang menyuntik lagi
semangat pemain untuk perlawanan esok (hari ini),” katanya mengakui semua
pemain tidak sabar untuk berdepan lawan.
Mengakui para pemain sudah
sedar dan semakin mendapat rentak, Zainal Abidin turut menggesa pemain supaya
menggandakan usaha dan mengekalkan disiplin baik hingga ke wisel penamat.
Ditanya keadaan penyerang
kebangsaan, Azamuddin Mohd Akil ataupun mesra dipanggil Alex itu, dia
memberitahu, pemain itu masih tidak dapat turun beraksi kerana mahu memberikan
peluang buat pemain kelahiran Lipis itu bersedia sepenuhnya selepas mengalami
kecederaan lutut kanan sejak penghujung Disember tahun lalu.
“Tetapi saya yakin dengan
semangat juang, pemain lain akan berusaha sehabis mungkin untuk tidak
menghampakan harapan penyokong Pahang yang mahukan kemenangan buat kita malam
esok (ini).
“Kami mohon doa dan sokongan
peminat Pahang untuk kejayaan pasukan kesayangan mereka,” katanya.
Pada musim lalu, Pahang
menghampakan skuad kendalian Bojan Hodak itu di pusingan separuh akhir dengan
agregat 2-1.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
3.2.2015
No comments:
Post a Comment