Ad

Monday, 6 June 2016

Harimau Malaysia tetap waspada

06 Jun 2016 12:40 AM
Skuad negara menjalani latihan persediaan untuk perlawanan playoff
Skuad negara menjalani latihan persediaan untuk perlawanan playoff kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Pasir Gudang semalam.
JOHOR BAHRU 5 Jun – Meskipun menang dalam pertemuan pertama, namun skuad Harimau Malaysia tetap berwaspada apabila melangkah ke padang untuk pertemuan kedua playoff kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste esok.
Ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee berkata, Timor Leste pastinya akan berusaha bangkit dan menggunakan taktikal baharu untuk mencipta kemenangan selepas tewas 0-3 dalam pertemuan pertama Khamis lalu.
Menurutnya, kemenangan ke atas pasukan kendalian Fabio Joaquim Maciel di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin itu sememangnya bekalan terbaik untuk memastikan skuad kebangsaan layak ke pusingan peringkat kumpulan.
“Kami harus bersiap sedia de­ngan segala perancangan kerana kami tidak pasti apa yang akan mereka lakukan. Kami harus bersedia jika mereka menggunakan corak yang pantas atau mengasak. Jadi kami harus tahu mengendalikan situasi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Timor Leste akan menjadi tuan rumah playoff kedua di venue yang sama malam esok kerana padang di gelanggang mereka di Dili tidak sesuai untuk perlawanan antarabangsa.
Kim Swee berkata walaupun akan menggunakan corak permainan sama yang diterapkan pada perlawanan terdahulu, namun dia bersedia melakukan perubahan taktikal sekiranya keadaan memerlukan.
“Jika saya perlu menukar corak permainan ketika perlawanan tersebut, saya akan lakukan. Tidak semestinya kita mengekalkan langkah yang sama.
“Ini merupakan perlawanan timbal-balik dan kita kena faham pasukan Timor Leste sudah tentu inginkan gol. Jadi, mungkin situasi akan berubah ketika perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee turut lega apabila tiga pemain utama iaitu Brendan Gan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan penjaga gol Mohd. Izham Tarmizi semakin pulih setelah mengalami kecederaan dalam perlawanan Khamis lalu.
“Kemungkinan mereka akan diturunkan esok, namun kami ada satu lagi sesi latihan petang ini untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dan boleh beraksi,” katanya sambil yakin bahawa persembahan anak buahnya tidak terjejas walaupun bermain pada hari pertama Ramadan.
Sementara itu, pemain tengah skuad negara Baddrol Bakhtiar berkata keseluruhan pasukan tidak akan mengambil mudah perlawanan berkenaan walaupun berjaya menewaskan Timor Leste dengan jaringan 3-0 sebelum ini.
“Dalam perlawanan kedua ini kami akan lebih berwaspada. Bagi saya bahagian tengah Timor Leste begitu berbahaya,” kata ketua pasukan Kedah itu.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaysia-tetap-waspada-1.339175#sthash.lmvI9WLZ.dpuf

No comments:

Post a Comment