KIM SWEE (dua dari kanan)
bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Timor Leste, Fabio Magrao selepas
selesai sidang akhbar di Hotel Double Tree, Johor Bahru semalam yang turut
dihadiri Baddrol (kanan) dan pemain Timor Leste, Diogo Santos.
MALAYSIA akan tampil berbeza
apabila turun membuat perhitungan dengan Timor Leste pada aksi playoff kedua
kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin
malam ini.
Jurulatih Datuk Ong Kim Swee
bakal menerapkan corak permainan yang lebih mudah dalam misi untuk memerangkap
pergerakan pemain pasukan lawan yang dilihat memiliki kelebihan dari segi saiz
fizikal.
Menurut Kim Swee, beliau akan
cuba mengamalkan corak hantaran pendek serta serangan balas yang pantas
berbanding taktikal yang lebih terbuka pada perlawanan pertama, 2 Jun lalu.
Setakat ini katanya, para
pemain nampak selesa dengan corak tersebut dan ia telah menjadi keutamaan
mereka dalam setiap sesi latihan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Timor
Leste pada aksi pertama, Khamis lalu.
Walaupun selesa dengan agregat
3-0 tetapi para pemain skuad Harimau Malaysia tidak boleh leka kerana pasukan
lawan pasti bangkit untuk memadam kelebihan tersebut.
Jelas Kim Swee lagi, beliau
percaya skuad kendalian Fabio Magrao itu akan tampil dengan corak permainan
yang berbeza pada aksi kedua nanti dan atas sebab itulah mereka perlu
mempelbagai taktikal permainan dalam misi menyekat kemaraan pasukan lawan.
“Kita mungkin akan tampil
dengan corak hantaran pendek dan pada masa yang sama akan bermain secara
berhati-hati serta waspada. Yang pasti, pasukan lawan akan tampil dengan corak
berbeza untuk mencari gol bagi mengatasi kelebihan agregat yang kita pegang
ketika ini.
“Saya berharap setiap pemain
dapat menggalas tugas dengan baik serta mengikut arahan yang telah dirancang.
Kita akan bermain dengan taktikal hantaran pendek serta serangan balas yang
pantas dalam usaha mencari peluang membolosi pintu gol pasukan lawan,” kata Kim
Swee pada sidang akhbar di Hotel Double Tree, Johor Bahru semalam.
Timor Leste akan menjadi tuan
rumah pada aksi playoff kedua ini di venue yang sama.
Dalam perkembangan lain, Kim
Swee turut melahirkan rasa lega terhadap tahap kecederaan yang dialami tiga
pemain utamanya iaitu Brendan Gan, Shahrom Kalam dan penjaga gol, Mohd. Izham
Tarmizi yang dilaporkan semakin pulih.
“Kemungkinan mereka akan
diturunkan pada perlawanan kedua nanti, namun saya perlu menilai prestasi
mereka kerana kami akan menjalani satu lagi sesi latihan petang ini (petang
semalam) untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dan boleh beraksi,”
katanya.
Ketiga-tiga tersebut mengalami
kecederaan ketika turun pada perlawanan pertama, 2 Jun lalu.
Sementara itu, pemain tengah,
Baddrol Baktiar turut berharap agar Brendan dan Shahrom dapat turun beraksi
memandangkan mereka antara pemain yang memegang watak penting dalam skuad
negara.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4AnEsw3Fe
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment