Ad

Friday, 9 May 2014

Samurai Biru julang maruah rantau Asia

 
Susunan NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

HONDA antara tonggak utama Jepun pada Piala Dunia 2014.

SEDAR atau tidak, Jepun tidak pernah tercicir menempah slot pusingan akhir Piala Dunia sejak 1998.

Selepas insiden Agony of Doha yang menyaksikan skuad Samurai Biru kempunan beraksi pada edisi 1994 di Amerika Syarikat, gergasi Asia itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Sebaliknya, mereka berjaya menyambar tiket pusingan akhir Piala Dunia buat kali kelima berturut-turut pada kempen tahun ini di Rio de Janeiro, Brazil.

Namun, atas kertas, pencapaian terbaik skuad Matahari Terbit itu hanyalah sekadar layak ke pusingan kalah mati dua kali - ketika menjadi tuan rumah bersama-sama Korea Selatan pada 2002 dan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pada edisi 2002, gegak gempita penyokong fanatik Samurai Biru di Stadium Miyagi ketika itu tiba-tiba bertukar sunyi sebaik pasukan kesayangan mereka tumpas 0-1 kepada Turki hasil jaringan tunggal Umit Davala.

Skrip yang sama terkandas di peringkat kalah mati juga kembali menimpa Jepun empat tahun lalu apabila mereka dikecewakan Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Namun, pengendali Jepun, Alberto Zaccheroni percaya anak-anak buahnya mampu memadam cabaran Colombia, Ivory Coast dan Greece apabila sama-sama diundi dalam Kumpulan C pada edisi di Brazil kali ini.

“Saya optimis kami mampu menundukkan mana-mana pasukan dalam kumpulan kali ini sekiranya kami berjaya mempamerkan persembahan yang berkualiti dalam setiap perlawanan.

“Bagi saya, jurang perbezaan antara pasukan dalam kumpulan kali ini tidak begitu ketara.

“Jadi, saya optimis kami mampu melepasi peringkat kumpulan kali ini,” kata Zaccheroni.

Zaccheroni dijangka tidak membuat kejutan besar apabila kekal menaruh kepercayaan kepada beberapa tonggak utama - Keisuke Honda dan Shinji Kagawa meskipun kedua-dua pemain itu tampak kurang menyinar ketika bersama kelab masing-masing - AC Milan dan Manchester United musim ini.

Namun, beliau terpaksa melupakan khidmat dua lagi tonggak utama yang tercicir ke Brazil kali ini - Atsuto Uchida (Schalke 04) dan Makoto Hasebe (Nuremberg) gara-gara kecederaan jangka panjang.

Selain itu, Zaccheroni juga enggan menjadikan kedudukan ranking dunia sebagai alasan buat anak-anak buahnya merendah diri ketika berdepan lawan mereka nanti.

Untuk rekod, Colombia kini menduduki ranking kelima dunia, Greece (12) sementara Ivory Coast (23) sedangkan Jepun jauh ketinggalan di tangga ke-50.

“Ia bukan kumpulan yang mudah tetapi saya percaya kekuatan kesemua pasukan dilihat seimbang.

“Ranking FIFA juga tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan Piala Dunia sentiasa penuh dengan kejutan,” jelas beliau.

Zaccheroni berkata, cabaran Colombia tidak boleh dipandang mudah kerana memiliki beberapa pemain berbakat yang beraksi beberapa kelab terkemuka dunia seperti Radamel Falcao dan Edwin Valencia.

Beliau menambah, Ivory Coast juga mampu melakar kejutan kerana sudah biasa beraksi pada cuaca panas seperti di Brazil.

“Namun, saya percaya kami lebih sukar berdepan pasukan seperti Greece memandangkan mereka sering menggunakan corak taktikal yang membunuh strategi lawan.

“Bagi saya, Greece cukup tajam setiap kali melancarkan serangan pantas selain mampu bertahan dengan baik,” jelas Zaccheroni yang mengambil alih tugas Takeshi Okada yang meletak jawatan sebaik kempen Piala Dunia 2010 berakhir.

Perancang Jepun, Yasuhito Endo juga menggesa rakan-rakan sepasukannya supaya kembali membuka buku baharu sebaik menjejakkan kaki di Rio de Janeiro kelak.

“Meskipun muncul pasukan pertama layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 dalam aksi kelayakan sebelum ini, ia tidak membawa sebarang makna jika kami tersingkir awal.

“Jadi, kami perlu sentiasa bersedia mengharungi perlawanan demi perlawanan dalam usaha layak ke suku akhir buat kali pertama kali ini,” kata Endo.

Penyerang berbisa Samurai Biru, Shinji Okazaki juga percaya harapan peminat Jepun kini lebih tinggi menggunung berbanding edisi terdahulu.

Ini kerana, kemampuan pemain Jepun kini dilihat mula diiktiraf ramai pihak apabila beraksi bersama beberapa kelab terkemuka dunia seperti Kagawa dan Honda.

“Kesemua pemain juga senang bekerja dengan Zaccheroni, ini cukup bagus buat pasukan.

“Majoriti pemain juga kini beraksi di liga antarabangsa bersama kelab yang hebat, jadi sudah tentu peminat mengharapkan sesuatu dari kami untuk berjaya ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah,” kata bekas penyerang VfB Stuttgart itu yang kini bersama Mainz.

Okazaki juga percaya mereka tidak perlu merencana strategi baharu semata-mata bagi mengimbangi cuaca panas di Brazil nanti.

“Terpaksa beraksi di bawah matahari yang cukup terik pastinya mengundang masalah buat mana-mana pasukan, jadi kami perlu memberikan yang terbaik dan mengekalkan stamina sepanjang perlawanan.

“Saya juga bersedia untuk diturunkan pada mana-mana posisi tidak kira di bahagian sayap mahupun sebagai penyerang utama,” jelas Okazaki. – Agensi
RUJUKAN

No comments:

Post a Comment