NORFARHIZA MOHD ATAR
7 Mac 2015
Trauma lokasi sama anak 'pergi'
Ahli keluarga sugul ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.
KUALA LIPIS - Seorang bapa
tidak menyangka padang sekolah sekali lagi meragut nyawa anaknya setelah dua
anak perempuannya meninggal dunia di lokasi yang sama sebelum ini, juga ketika
menghadiri aktiviti sukan.
Borhan Yunus, 51, berkata, anak
keempatnya, Ahmad Norhanizam, 12, meninggal dunia ketika menyertai kejohanan
Olahraga Zon Padang Tengku di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh, petang
kelmarin.
Menurutnya, Ahmad Norhanizam
dipercayai pengsan ketika menanti baton bagi acara balapan 4x200 meter sebelum
dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh oleh pihak sekolah, bagaimanapun disahkan
telah meninggal dunia.
Borhan menjelaskan, Ahmad
Norhanizam yang juga murid tahun 6, SK Teluk Gunung dipercayai rebah dalam
jarak dua meter dari tempat dua orang kakaknya meninggal dunia sebelum ini.
“Pada 2006, anak sulung saya,
Norhana Akma ketika itu berusia 10 tahun meninggal dunia di padang yang sama
dipercayai akibat terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk.
“Selang dua tahun kemudian,
anak kedua, Nurul Syafikah juga ketika kejadian berusia 10 tahun turut
meninggal dunia di tempat yang sama kakaknya 'pergi'.
“Ketika itu, Nurul Syafikah
mengadu sakit perut dan meminta izin gurunya untuk ke tandas. Ketika melalui
kawasan kakaknya 'pergi' secara tiba-tiba dia rebah dan disahkan meninggal
dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.
Borhan berkata, dia hadir ke
kejohanan olahraga itu pagi kelmarin untuk melihat Ahmad Norhanizam bersukan
sebelum pulang ke rumah jam 1.30 petang.
"Sebelum pulang saya
sempat pesan kepada gurunya untuk menghantar dia (Ahmad Norhanizam) pulang ke
rumah setelah selesai kejohanan," katanya yang tinggal di Kampung Merapoh,
di sini.
Bagaimanapun, Borhan berkata,
kira-kira jam 3 petang sepupunya datang ke rumah memberitahu kejadian yang
menimpa Ahmad Norhanizam dan bergegas ke klinik, namun dia disahkan telah meninggal
dunia.
“Dua minggu lalu saya sempat
menghantar Ahmad Norhanizam membuat pemeriksaan kesihatan di klinik kerana dia
ada pertandingan bola sepak.
“Doktor memaklumkan tekanan
darah dan jantung anak saya berada di tahap normal dan dibenarkan menjalani aktiviti
sukan,” katanya.
Borhan berkata, selain tiga
anaknya yang meninggal dunia di sekolah, dia turut kehilangan anak kelimanya,
Rizal Adha pada tahun 2011.
"Kejadian yang menimpa
anak kelima yang ketika itu berusia enam tahun berlaku tiga hari sebelum umat
Islam menyambut Aidilfitri.
"Ketika itu, dia sedang
berlari mengelilingi meja makan bersama sepupunya sebelum rebah dan disahkan
meninggal dunia ketika tiba di klinik berdekatan," katanya yang reda
dengan apa yang berlaku kepada anak-anaknyadan menerimanya sebagai ujian
daripada ALLAH SWT.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian jam 2.26
petang itu, mangsa pengsan ketika menyertai pertandingan olahraga di padang
sekolah berkenaan.
“Mangsa yang dibawa ke klinik
Merapoh kemudiannya telah disahkan meninggal dunia pada jam 3.20 petang,”
katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa
dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan punca kematian masih
lagi dalam siasatan.
Menurutnya, jenazah murid itu
selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merapoh, petang semalam.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7.3.2015
No comments:
Post a Comment