MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
7 Mac 2015
Yassin Mohd Noor Yassin
menunjukkan kad perakuan sebagai bekas pemain kebangsaan yang disimpan rapi
oleh dia sehingga hari ini.
TANGGAL 11 Julai 1989 merupakan
detik yang tidak boleh dilupakan bekas pemain pertahanan Kelantan, Yassin Mohd
Noor apabila dia terbabit dalam sejarah hitam bola sepak negara sekali gus
membawa kepada hukuman penggantungan.
Pada tarikh tersebut, Yassin
yang merupakan kapten Kelantan bertindak di luar emosi apabila menumbuk Hamzah
Sebok setelah tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Melaka itu
menghadiahkan sepakan penalti sekali gus membolehkan Singapura menewaskan
pasukannya 1-0 pada pertandingan Piala Malaysia.
Biarpun pada mulanya hanya pemain
pertahanan import, Robby Darwis dilayangkan kad merah dalam perlawanan itu,
namun Yassin turut tidak terlepas daripada tindakan apabila Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) berjaya mengesan kesalahan dilakukannya menerusi rakaman
video selepas itu.
Kesannya, Yassin yang ketika
itu berusia 29 tahun dikenakan hukuman berat apabila digantung daripada
terbabit dalam mana-mana aktiviti bola sepak selama dua tahun oleh badan induk
bola sepak kebangsaan.
SEGAR DALAM INGATAN
Biarpun peristiwa itu sudah berlalu
hampir 26 tahun, pemain yang digelar kereta kebal skuad pantai timur
memberitahu ia masih segar dalam ingatannya dan tidak mungkin akan dilupakan
sampai bila-bila.
“Saya buat keputusan bersara
terus daripada mewakili Kelantan sejurus dijatuhi hukuman tersebut. Saya
bukanlah seorang pemain yang panas baran tetapi entah macam mana malam itu,
mungkin saya gagal mengawal emosi.
“Saya meminta maaf kepada
Hamzah di atas insiden tersebut. Saya tidak pasti sama ada beliau masih aktif
atau tidak kerana selepas saya bersara,
namanya tidak lagi kedengaran dalam bidang pengadilan,” katanya.
BUKAN KAKI GADUH
Pemain yang memakai jersi
nombor 15 itu menepis tanggapan dia seorang panas baran atau pun kaki gaduh di
atas padang sebaliknya memberitahu mungkin aksi kasar membuatkannya dilabelkan
sedemikian.
“Orang mungkin anggap saya
terlalu keras tetapi memang itulah corak permainan saya sejak dahulu lagi.
Kalau orang (pemain lawan) main elok, saya pun ok sahaja. Kita main secara
profesional, kalau bola itu 50-50 (peluang) memang saya akan makan (cantas)
pemain lawan,” katanya.
Maka tidak hairanlah, Yassin
yang kini merupakan seorang ahli perniagaan memberitahu, ramai penyerang
kebangsaan seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Allahyarham Mokhtar
Dahari dan James Wong sentiasa takut setiap kali mendengar nama berada dalam
kesebelasan utama apabila pasukan lawan beraksi di Kota Bharu.
PROFIL
Nama : Yassin Mohd Noor
Tarikh lahir : 25 Mac 1960
Tempat lahir : Kota Bharu,
Kelantan
Posisi : Pertahanan tengah
Isteri : Faridah Mohd Nasir
Bilangan anak : 4 orang
Idola : Pele
Kerjaya : Ahli perniagaan
Pengalaman manis : Menjaringkan
gol pada jarak 35 meter dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, Kelantan
menentang Selangor pada 1981
Pengalaman pahit : Kelantan
gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1981
Kerjaya sebagai pemain
1978 – 1986 – Kelantan
1988 – 1989 – Kelantan
Kerjaya sebagai Jurulatih
2002 – JKR Kelantan
2003 – SKMK Kelantan
2004 – JPS Kelantan
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7.3.2015
No comments:
Post a Comment