Pada hari ini 01.07.1946,
Kerajaan Inggeris secara rasminya telah mengambil alih pentadbiran Sarawak
daripada Raja Sarawak iaitu Raja Charles Vyner Brooke. Majlis penyerahan
tersebut yang berlangsung di Dewan Persembahan, Kuching, Sarawak telah dihadiri
oleh Sir Malcolm Mac Donald, Gabenor Jeneral Inggeris; pegawai-pegawai kanan
serta wakil-wakil Kerajaan Inggeris. Di majlis tersebut, E.C.W. Dawson telah
mengangkat sumpah sebagai Gabenor Sarawak yang pertama. Rancangan untuk
mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada Vyner Brooke sesungguhnya bermula
sebelum perang Dunia Kedua lagi apabila Vyner Brooke membuat satu perubahan
dalam perlembagaan, yang memansuhkan kekuasaan mutlaknya. Perbincangan telah
diadakan di London antara beliau dan Kerajaan Inggeris mengenai rancangan
tersebut. Akhirnya pada 20 Mei 1946, Vyner Brooke telah menandatangani dokumen
penyerahan pentadbiran Sarawak kepada Kerajaan Inggeris. Rancangan tersebut
sesungguhnya telah mendapat tentangan daripada rakyat, ketua-ketua Melayu,
ketua-ketua suku bumiputera, ahli-ahli Dewan Negeri Sarawak yang dipelopori
oleh Pertubuhan Melayu Sarawak. Penentangan dapat dilihat apabila Dato'
Patinggi dan Tuan Ong Ting Sui (Ketua Puak Cina) tidak hadir dalam majlis
penyerahan tersebut. Penduduk-penduduk tempatan juga tidak langsung mengambil
berat untuk meraikan majlis tersebut. Penyerahan pentadbiran Sarawak kepada
Kerajaan Inggeris pada hari ini dalam tahun 1946, telah menamatkan pemerintahan
Raja-raja Brooke selama kira-kira seratus tahun di Sarawak. Sarawak daripada
dikuasai oleh orang perseorangan telah bertukar manjadi sebuah Tanah Jajahan
Inggeris. Sesungguhnya penyerahan tersebut tidak direstui oleh
penduduk-penduduk tempatan dan kemuncak penentangan tersebut ialah apabila
Gabenor Kedua En. Duncan George Stewart ditikam oleh Rosli Dhoby.
Sumber-http://www2.arkib.gov.my/hids/sejarah.php
No comments:
Post a Comment