02 Julai 2016 12:21 AM
SUASANA trek sepanjang 500
meter di atas padang rumput dalam Sukan Olimpik Paris 1900.
BERIKUTAN kejayaan Olimpik
Athens 1896, Raja Greece menuntut supaya semua temasya Olimpik berlangsung di
Athens.
Namun hasrat itu terhalang
selepas peperangan sengit dengan Turki pada 1897 yang menyebabkan kerajaannya
terus dihimpit masalah kewangan.
Sehubungan itu, Pierre de
Coubertin meneruskan rancangannya untuk menggabungkan temasya seterusnya dengan
Paris Universal Exposition pada 1900, namun bukanlah semudah yang dijangka
kerana kegagalan mencapai kesepakatan dalam beberapa isu.
Penganjur ekspo umpamanya,
keberatan menggabungkannya dengan acara sukan, manakala Union des Societes
Francaise de Sports Athletiques (USFSA) di mana Coubertin adalah salah seorang
pegawainya tidak menyokong jawatankuasa penganjur Olimpik sehingga menyebabkan
Coubertin meletak jawatan.
Pada saat akhir, perancangan
berkenaan diberi perhatian semula dan Olimpik Paris 1900 dimulakan pada 20
Mei.
Jika edisi 1896 merupakan satu
kejayaan, sambutan di Paris pula tidak terurus sehinggakan Coubertin sendiri
tertanya-tanya sama ada temasya itu boleh diteruskan pada masa depan.
Perjalanan Olimpik Paris yang
berlangsung selama beberapa bulan adalah yang paling tidak memuaskan dalam era
moden selain gagal menarik perhatian sebagaimana yang diraih oleh Paris
Universal Exposition secara keseluruhannya.
Tanpa upacara pembukaan dan
penutup, temasya berkenaan berlangsung antara 20 Mei dan 28 Oktober dalam
suasana perselisihan dan kekeliruan empat gelanggang di ibu negara Perancis
itu.
Malah, adalah tidak jelas pada
masa itu sama ada Sukan Olimpik berlangsung kerana program dan kebanyakan
laporan akhbar menyifatkannya sebagai kejohanan antarabangsa sempena Paris
Universal Exposition.
Sebagaimana empat tahun
sebelumnya, Amerika Syarikat (AS) memberi tumpuan yang lebih serius berbanding
kebanyakan negara dan mereka juga menghantar pasukan yang kuat daripada
Universiti Pennsylvania, Michigan, Georgetown, Syracuse, Princeton dan Chicago
serta Kelab Olahraga New York.
Atlet olahraga mereka juga
mempunyai gaya tersendiri sewaktu bersedia di garisan permulaan acara larian
pecut dan perkara itu menarik perhatian banyak pihak sehingga teknik tersebut
digunakan hingga hari ini.
Secara umum, kecemerlangan
pasukan AS yang menguasai acara olahraga dengan menang dalam 17 daripada 24
acara berjaya menyelamatkan kejohanan berkenaan daripada menjadi satu bencana.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/paris-1900-yang-tidak-teratur-1.349031#sthash.eA7SsljJ.dpuf
No comments:
Post a Comment