LONDON - England bakal menerima kunjungan Moldova dalam kelayakan Piala Dunia esok tanpa bintang penyerang, Wayne Rooney serta dua tonggak pertahanan, Glen Johnson dan Phil Jones, namun krisis kecederaan yang membelenggu skuad Three Lions itu tidak membimbangkan mereka dalam mencari tiga mata penuh di Wembley.
Namun begitu, apa yang merisaukan pengurus pasukan, Roy Hodgson adalah Rooney, yang terpaksa diketepikan selama tiga minggu akibat kecederaan di muka serta dua pertahanan mereka itu turut terpaksa diketepikan daripada pertemuan getir Kumpulan H menentang Ukraine di Kiev, Rabu depan.
England memulakan kempen kelayakan dengan mencatat kemenangan meyakinkan 5-0 ke atas Moldova di Chisinau hampir setahun lalu, tetapi sejak itu mereka mencatat keputusan bercampur baur daripada enam perlawanan yang diharungi, apabila menang tiga dan seri tiga kali.
Montenegro mengungguli Kumpulan H dengan 14 mata daripada tujuh perlawanan, namun melepaskan peluang untuk melebarkan kedudukan pendahulu kepada lima mata apabila dikalahkan 4-0 oleh Ukraine, Jun lalu.
Ukraine, yang menghuni tempat ketiga, satu mata di belakang England hampir pasti akan meraih tiga mata apabila menentang pasukan kerdil, San Marino esok, manakala Poland yang menduduki tempat keempat dengan sembilan akan memberi tekanan kepada trio teratas jika menang ke atas Montenegro di Warsaw.
Jika England mahu layak secara automatik ke pusingan akhir di Brazil tahun depan, mereka perlu menang kedua-dua perlawanan menentang Moldova dan Ukraine. Seri di Ukraine bermakna, skuad Three Lions menempah laluan sukar dan tidak boleh melakukan kesilapan dalam dua baki perlawanan di tempat sendiri menentang Montenegro dan Poland.
Hodgson juga akan beraksi tanpa penyerang tinggi lampai, Andy Carroll, selain pemain tengah Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain dan penjaga gol, Ben Foster, sekali gus memaksa pengendali England itu memanggil ramai pemain kurang berpengalaman. Daripada 25 yang disenaraikan, 11 daripada mereka memiliki kurang daripada 10 cap bersama skuad kebangsaan.
"Kami tidak akan memandang mudah cabaran Moldova, walaupun saya yakin pemain kami mampu mencari tiga mata penuh bagi menaikkan keyakinan menjelang pertemuan lebih sukar menentang Ukraine di Kiev minggu depan.
"Mereka (Moldova) hanya kalah pada saat akhir kepada Montenegro (0-1) menerusi gol yang kurang bernasib baik. Itu menunjukkan mereka juga sebuah pasukan yang berbahaya dan harus diberi perhatian," kata Hodgson.
Hodgson juga masih belum pasti apakah dia dapat menurunkan penyerang yang sedang berada dalam prestasi terbaiknya, Daniel Sturridge kerana bintang Liverpool itu mengalami kecederaan paha ketika membantu Reds mengalahkan Manchester United 1-0, minggu lalu.
Dengan Rooney turut dihimpit kecederaan, opsyen terbaik yang dimiliki Hodgson kini menurunkan penyerang Tottenham, Jermain Defoe atau memilih di antara Rickie Lambert atau Danny Welbeck. Pemain remaja Everton, Ross Barkley dan pemain sayap Spurs, Andros Townsend turut berharap untuk membuat penampilan sulung. - REUTERRujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130906/sl_01/Krisis-kecederaan-bayangi-England#ixzz2e79KsfOG
No comments:
Post a Comment