Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
Cesar Ferrando Jiminez (kanan),
bersama peguam Baljit Sigh Sidhu (tengah) dan Fahmy Yahya menunjukkan salinan
laporan polis yang dibuat di Balai Polis Johor Bahru Selatan, semalam. -
UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Selepas pasukan
T-Team mendakwa pemain mereka ditumbuk dan membuat laporan polis di Kuala
Terengganu kelmarin, semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula
tampil membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku semasa
perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team
di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu lalu.
Laporan tersebut dibuat oleh
Ketua Jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez yang juga Pengurus Pasukan JDT di Balai
Polis Sentral, di sini pukul 2 petang dengan diiringi oleh Naib Presiden PBNJ,
Onn Jabar; Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya dan peguam, Datuk Baljit
Singh Sidhu.
Menurut Baljit, laporan
berkenaan dibuat bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk insiden
di terowong ekoran terlalu banyak tohmahan selain perkara sebenar
diputarbelitkan oleh pihak T-Team sedangkan yang menjadi mangsa dalam kejadian
itu adalah Jiminez.
"Terlalu banyak tohmahan
tentang insiden itu, fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu,
dia (Jiminez) tampil buat laporan bahawa dia yang diserang oleh jurulatih
kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi nombor 16 pasukan tersebut.
"Dalam insiden itu, kolar
baju dia telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team...itu sebenarnya yang
berlaku. Dia (Jiminez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain itu
tiada apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan
berkenaan.
Kelmarin, polis Terengganu
menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung kekecohan
itu yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan
di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Operasi T-Team,
Syahrizan Mohd. Zain yang membuat laporan tersebut mendakwa pemain T-Team,
Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi PBNJ, manakala
jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo disepak di bahagian kemaluan.
Baljit berkata, PBNJ akan
menyiasat secara terperinci perkara tersebut termasuk mengambil tindakan
sewajarnya sekiranya terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas dan pada masa
sama akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, laporan itu disiasat
mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_02/Siapa-serang-siapa#ixzz2sSI1yu9h
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment